“Sajak-sajak arwah ayah memiliki mesej yang amat sesuai dengan konsep Satu Malaysia yang sedang hangat diperkatakan sekarang,” kata Haslina Usman yang kini sedang mengusahakan penerbitan 50 buah sajak Usman Awang dengan judul Kekasih.
Selain itu, 12 sajak bertema perpaduan sedang giat diterjemah ke Bahasa Inggeris, Mandarin dan Tamil untuk diterbitkan dalam edisi khas berjudul Sahabatku.
“Sajak-sajak dalam empat bahasa itu akan dibacakan di Pasar Seni, Kuala Lumpur pada majlis Baca Puisi Sasterawan Negara yang dirancang pada 19 Julai 2009, iaitu tepat seminggu selepas tarikh ulang tahun ke-80 kelahiran arwah,” kata Haslina sewaktu ditemui di Subang Jaya.
Beliau mengakui bahawa masalah mendapat tajaan dana menjadi punca utama buku-buku arwah bapanya sukar diterbitkan semula oleh UA Enterprises Sdn Bhd.
Usman Awang yang antara lain menggunakan nama pena Tongkat Warrant, Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A. dan Zaini dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor.
Pada tahun 1962, Usman Awang mula berkhidmat sebagai sidang pengarang majalah “Dewan Bahasa” di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum dilantik menjadi pengarang majalah “Dewan Masyarakat”, “Dewan Sastera” dan “Dewan Budaya”.
Selepas bersara pada Julai 1985, beliau terus giat dalam beberapa pertubuhan masyarakat; khususnya Persatuan Persahabatan Malaysia-China.
“Pada tahun 1991-2001, ayah dilantik sebagai Ahli Jemaah Kolej Selatan; suatu pelantikan yang disifatkan oleh arwah sebagai pemangkin ke arah meningkatkan hubungan antara kaum dalam proses pembentukan Bangsa Malaysia,” Haslina menceritakan sambil menambah bahawa Usman Awang juga dilantik sebagai Penasihat Sastera Maybank dari 1991 hingga 2001.
Pada tahun 1991, Usman Awang dianugerahkan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Sultan Perak, yang membawa gelaran Dato’.
Terdahulu, pada 29 Mei 1976, Usman Awang dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera”; SEA Write Award pada tahun 1982; Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya pada 11 Ogos 1983; Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran “Sasterawan Negara” pada tahun 1983; dan “Zamalah Sastera” daripada akhbar Berita Harian pada tahun 1985.
Pada 29 November 2001, pada usia 72 tahun, Usman Awang meninggal dunia akibat menghidap penyakit jantung.
Pusaka dan khazanah sastera yang ditinggalkan oleh Usman Awang kini dipelihara melalui UA Enterprises Sdn Bhd yang telah menerbitkan semula “Tulang2 Berserakan” (novel tunggal, 2006), “Turunnya Sebuah Bendera” (kumpulan cerpen, 2007), “Scattered Bones” (novel, bersama ITNM, 2009) dan “Jiwa Hamba/Enslaved Soul” (puisi, bersama ITNM, 2009).
“Saya benar-benar berharap dapat meneruskan legasi arwah ayah yang mengimpikan sajak-sajaknya terus hidup zaman berzaman dan menjadi pemangkin kepada pembinaan Bangsa Malaysia, atau apa yang kita panggil sekarang sebagai Satu Malaysia,” kata Haslina dengan penuh harapan.
Maklumat lanjut mengenai Kekasih dan Sahabatku boleh diperoleh dengan melayari www.usmanawang.com.my atau menghubungi Haslina Usman di talian 012-3193440 atau 013-3310161. [Biodata lengkap DI SINI]
(Uthaya Sankar SB, Sinar Harian, Isnin, 29 Jun 2009)
Terima kasih atas cerita tentang arwah ayah dan yang paling penting kerja-kerja yang sedang dilakukan untuk memartabatkan karya-karya beliau. Terima kasih dan salam untuk seorang kawan.
ReplyDeleteSaya mencari apa maksud dan asal usul nama pena "tongkat warrant" itu sendiri, kerana ia lain dari yang lain bagaikan ada tersembunyi kisah menarik yang mendalam ketika arwah usman awang memilihnya
ReplyDeleteMerujuk kepada pekerjaan beliau dahulu sebagai "mata-mata" (polis) dan memiliki tongkat sebagai alat rasmi anggota polis masa itu.
Delete