Sejak dahulu, kalau saya mengisi apa-apa borang, saya mencatatkan begini pada maklumat berkaitan yang diminta: keturunan Malayalam, kaum India, bangsa Malaysia. Tambahan, dalam surat beranak saya memang dicatatkan keturunan saya adalah Malayalam (Malabari; Malayali).
Perbuatan saya sering menimbulkan rasa tidak puas hati kepada kerani atau pegawai yang meminta saya mengisi borang. Katanya, saya sepatutnya mencatatkan begini sahaja: bangsa India.
Lalu saya bertanya; bagaimana dengan kaum? Katanya, kaum, keturunan dan bangsa sama sahaja. Saya perlu mengisi India sahaja bagi ketiga-tiganya.
Mengikut definisi dalam kamus, bangsa adalah kumpulan manusia yang sama asal usulnya serta serupa sifat-sifatnya atau kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara.
Kaum pula didefinisikan sebagai golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa.
Jadi, frasa bangsa India sebenarnya boleh membawa (sekurang-kurangnya) dua makna yang sangat berbeza. Pertama, orang itu adalah rakyat negara India. Kedua, orang itu termasuk dalam kumpulan manusia yang memiliki sifat-sifat yang sama; tetapi tidak semestinya warganegara India.
Saya kemukakan contoh bagi membezakan kaum dan bangsa. Katakan A berasal dari negeri Perak, B dari negeri Selangor dan C dari negeri Sabah. Andainya A, B dan C dikatakan memiliki sifat kenegerian, kita faham apa yang dimaksudkan.
Begitu juga jika D, E dan F berasal dari daerah yang berbeza dan memiliki sifat kedaerahan. Kita faham apa yang dimaksudkan.
Sekarang kita teliti pula konvensi di negara kita terhadap definisi bangsa yang disamakan dengan kaum. Kita ambil contoh G dikatakan bangsa Melayu, H bangsa Cina dan I bangsa India.
Jadi, apakah yang dimaksudkan apabila kita katakan G, H dan I memiliki sifat kebangsaan? Apakah masing-masing berjiwa Malaysia atau pun masing-masing masih bersifat kemelayuan, kecinaan dan keindiaan?
Bezakan pula apabila kita katakan bahawa G kaum Melayu, H kaum Cina dan I kaum India. Kita harap tidak akan wujud sifat perkauman (kekauman?). Sebaliknya timbul semangat kebangsaan iaitu semangat keMalaysiaan.
Jika kaum dan bangsa dianggap sama sahaja, bayangkan makna yang boleh dibawa oleh frasa lagu kebangsaan, bahasa kebangsaan, budaya kebangsaan dan seumpamanya!
Contoh-contoh di atas diharap akan membuka mata orang ramai terhadap kekeliruan yang boleh timbul apabila bangsa dan kaum dianggap sama dan serupa daripada aspek makna dalaman.
Sementara itu, saya akan tetap mengisi borang-borang rasmi dengan data yang sama: keturunan Malayalam, kaum India, bangsa Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!