..
Bagaimana mungkin menggapai mimpi 
jika tangan masih bergari 
Luput sudah ingatan 
pada hijau bumi 
dan peluh darah 
membangunkan pondok di belantara 
..
Bagaimana mungkin bermaruah diri 
andai anak cucu sendiri masih merendah diri 
menganggap bumi dipijak bukan milik 
tapi hanya pinjaman sementara 
menanti dihalau pergi 
...
Usaha bercakap lagi dan lagi dan lagi 
tentang sebuah perjuangan membela nasib warga 
sedang diri dan jiwa sendiri masih kelam dihitami bayang kebutaan 
pada perjuangan, sumbangan dan maruah diri 
..
Ini bukan lagi soal menumpang di pondok buruk 
sementara menanti hujan reda 
dan meneruskan perjalanan pulang ke mahligai kaca 
Tidak sama sekali 
..
Tapi pondok yang dibina bersama 
pondok yang kini milik bersama 
Ah! Bukan baru kini tapi sejak lama 
sejak bermula tapak membangun pondok 
yang kini bertukar bentuk 
Ya, inilah mahligai yang telah dibina bersama 
bukan milik kau, kau, kau atau kau atau kau sahaja 
tapi milik sah setiap yang bernama warga 
..
Lihat dindingnya – darah kita semua 
Sentuh tiangnya – tulang kita semua 
Hidu baunya – peluh kita semua 
Dengar – degup jantung kita yang penat bekerja 
..
Usah gentar untuk tinggal di pondok sendiri 
dan bercucu-cicit di sini
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!