10 Mar 2010

Jiwa juang bangsa Melayu sudah mati

MALAM Mengenang Kembali Sejarah Puisi dalam Antologi Keranda 152 sudah berlalu pada 5 Julai 2007 dan meskipun ia sebahagian acara bulanan Persatuan Penulis Nasional (Pena), sebenarnya program itu turut mewakili reaksi penukaran istilah bahasa Melayu kepada bahasa Malaysia.
..
Keputusan Kabinet menetapkan penggunaan bahasa Malaysia bagi merujuk bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, jelas kurang disenangi pejuang bahasa yang yakin istilah asal sudah mantap, tanpa perlu diubah, biar bagaimana cuba diganggu gugat oleh pihak mana sekalipun.
..
Justeru, tidak menghairankan apabila penulis masih menerima panggilan menyatakan reaksi mereka berhubung perkara terbabit, termasuk luahan rasa tidak puas hati seorang sasterawan mapan yang juga mantan ahli akademik di sebuah universiti negara ini.
..
Sasterawan terbabit tidak berpuas hati dengan reaksi yang ditunjukkan persatuan penulis seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Pena selain Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berhubung perkara terbabit.
..
“Nyata dalam kes ini, DBP sudah hilang taring dan badan yang suatu waktu dulu menjadi tulang belakang pejuang bahasa memartabatkan bahasa Melayu, semakin tidak lagi berfungsi selepas era kemerdekaan negara, sedangkan ia sepatutnya membawa bersamanya kecemerlangan bahasa Melayu,” katanya.
..
Badan induk penulis seperti Gapena dan Pena serta persatuan penulis setiap negeri turut dibidas dan dilihat sasterawan ini, seolah-olah tiada jiwa kerana hanya berdiam diri, sedangkan hal sedemikian sewajarnya menjadi agenda yang diutamakan dalam perjuangan mereka.
..
“Kita mempunyai persatuan penulis di seluruh negara dengan sesetengah diwakili lebih daripada satu badan. Kerap kita dengar berlaku kekecohan semata-mata demi merebut jawatan kerana masing-masing ada agenda peribadi. Mengapa dalam hal bahasa mereka bisu,” katanya.
..
Penulis turut menerima e-mel daripada penyair, pejuang bahasa dan Penasihat Kavyan, Datuk Dr Anwar Ridhwan, berhubung tindakan penyair muda yang menghina pejuang bahasa lewat sajaknya “Pe(r)juang(an) Bahasa II” yang disinggung dalam kolum ini minggu lalu.
..
Dr Anwar membuat keputusan mengundur diri sebagai Penasihat Kavyan berkuat kuasa serta-merta kerana terkejut dengan kandungan sajak yang ditulis Presiden Kavyan, Uthaya Sankar SB, khusus dalam baris yang berbunyi: Menumpaskan petualang/ Menewaskan dalang/ Tari si dalang sudah berakhir/ Nescaya ada lagi dalang dan talam cuba mencabar/ Buktikan siapa benar, siapa bertopeng/ Petualang bahasa sudah tumpas dan Dalang bahasa sudah tewas. [BACA LAGI DI SINI]
..
Penulis juga turut menerima e -mel daripada Uthaya pada hari tulisan “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” disiarkan dan penulis dikatakan salah menafsir maksud tersurat di sebalik yang tersirat dalam puisinya, "Pe(r)juang(an) Bahasa II". [Baca DI SINI]
..
Jika benar, mengapa sejumlah sasterawan mapan yang menghubungi penulis sama ada lewat emel atau telefon, begitu juga penyair pada program Pena malam itu dan Pemegang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Beijing, China, Prof Datuk Dr Awang Sariyan, yang juga Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, berkongsi pandangan serupa dengan penulis.
..
Penulis yakin jika Sasterawan Negara (SN), Allahyarham Datuk Dr Usman Awang, masih bernyawa pasti tokoh terbabit sesak nafas melihat tindak balas sedemikian.
..
Apa tidaknya, ketika hayatnya Allahyarham Usman turut sama terbabit dalam demonstrasi yang dicetuskan oleh pejuang bahasa pada 3 Mac 1967 sebagai usaha untuk mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal negara.
..
Demonstrasi besar-besaran oleh Kongres Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK) itu diadakan di Balai Budaya DBP, Kuala Lumpur dan mereka berarak membawa keranda 152 sambil membawa sepanduk ke kediaman Tunku Abdul Rahman bagi menyampaikan surat protes rakyat akan sikap liberal terhadap bahasa Melayu.
..
Apakah keselesaan hidup dan pangkat yang dinikmati sebahagian bangsa Melayu Malaysia hari ini menyebabkan mereka lalai atau reaksi terhadap isu bahasa dan sastera dilihat seperti “anjing menyalak bukit”.
..

(Salbiah Ani, Berita Harian, 12 Julai 2007)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!