Uthaya Sankar SB, “Doa Tahun Baru” dalam Menara 6 (KL: DBP, 1995), hlm. 70-80.
Kisah ini berlaku pada hari sambutan Chithirai (Tahun Baru Tamil) pada tahun 1964. Cerita disampaikan melalui sudut penceritaan watak ‘Saya’ (Rama) yang berumur tujuh tahun yang tinggal bersama ibu bapa (Amma dan Appa) dan saudara kembarnya, Ragu.
Kisah bermula pada awal pagi bilamana ‘Saya’ bangun pagi dan menyedari hari itu ialah sambutan Tahun Baru Tamil. Dalam suasana yang masih gelap, ‘Saya’ dapat menduga segala persiapan yang sedang dibuat oleh Amma. ‘Saya’ juga terkenangkan kerja-kerja persiapan yang telah dilakukannya bersama Ragu pada malam sebelumnya.
‘Saya’ lalu mengejutkan Ragu. Mereka pun mula berbual dengan gembira tentang sambutan tahun baru. Mereka sedar bahawa tidak lama lagi, Amma akan datang mengejutkan mereka. Sebagaimana tahun lalu, Amma akan meminta mereka menutup mata. Kemudian Amma akan memimpin mereka berdua berjalan dalam keadaan mata masih tertutup menuju ke bilik sembahyang. Apabila sampai di sana, mereka akan diarah membuka mata dan melihat berhala dewa Muruhan sebagai objek pertama.
Menurut Amma, pada pagi Tahun Baru, Ponggal (Pesta Menuai) dan Diwali, orang Hindu digalakkan melihat sesuatu objek suci sebaik sahaja mereka membuka mata pada awal pagi.
‘Saya’ mencadangkan kepada Ragu agar melihat wajah Amma sebagai objek pertama pada pagi itu. Ragu terus bersetuju dengan cadangan itu. Mereka berdua terasa sangat bangga dengan keputusan tersebut.
Tidak lama kemudian, Amma datang dan memimpin mereka ke bilik sembahyang dalam keadaan mata tertutup. Sewaktu berjalan, ‘Saya’ langsung tidak berasa takut kerana dia pasti bahawa Amma tentu tidak akan membiarkannya terjatuh.
Sesampai di bilik sembahyang, Amma menyuruh ‘Saya’ dan Ragu membuka mata. Mereka lalu membuka mata dan melihat wajah Amma sebagai objek pertama pada pagi tahun baru. ‘Saya’ menganggap Amma sebagai objek yang paling indah dalam hidupnya. Pasangan kembar itu terasa sangat gembira dan megah kerana telah berpeluang melihat wajah Amma sebagai objek pertama.
Tidak lama selepas itu, Amma memimpin Appa masuk ke bilik sembahyang dalam keadaan mata tertutup juga. ‘Saya’ dan Ragu terkejut apabila Appa juga memandang wajah Amma sebagai objek pertama pada pagi itu. Appa malah mengatakan bahawa Amma ialah Lakshmi (Dewi Kemewahan dan Kebahagiaan) dalam keluarga mereka.
‘Saya’ dan Ragu terasa sangat kagum mendengar perbandingan itu. ‘Saya’ mengakui bahawa Amma memang cantik seperti Dewi Lakshmi. Pada pendapatnya, Amma tidak kurang hebat berbanding Dewi Lakshmi walaupun Amma tidak memiliki empat pasang tangan seperti yang dimiliki dewi berkenaan.
Keluarga itu seterusnya mandi dan memakai pakaian baru sempena sambutan Tahun Baru Tamil. Kemudian mereka sekeluarga sembahyang. ‘Saya’ memohon kepada Tuhan agar pada masa-masa akan datang, ‘Saya’ dapat memandang wajah Amma dan Appa sebagai objek pertama pada pagi Diwali, Ponggal dan Chithirai. ‘Saya’ yakin bahawa permintaannya akan dikabulkan Tuhan.
Selepas bersarapan. Mereka berempat pergi ke kuil. Sembahyang khas diadakan di sana. ‘Saya’ dan Ragu bertemu beberapa orang rakan sepermainan. Mereka berbual tentang beberapa hal. Misalnya tentang pakaian baru yang mereka pakai, tentang masyarakat majmuk di kampung mereka dan tentang doa tahun baru masing-masing.
Apabila upacara sembahyang di kuil selesai, Amma, Appa, Ragu dan ‘Saya’ pulang ke rumah. Tidak lama kemudian, para pekerja ladang tebu datang berkunjung. Amma mula sibuk menghidangkan makanan dan minuman kepada para tetamu.
‘Saya’ sedar bahawa Amma paling sibuk pada hari-hari perayaan. ‘Saya’ terasa kasihan dan mula berfikir betapa baik jika Amma mempunyai lapan tangan seperti Dewi Lakshmi untuk memudahkannya membuat segala pekerjaan. Namun, ‘Saya’ tetap kagum dengan keupayaan Amma melaksanakan segala kerja seorang diri walaupun hanya memiliki sepasang tangan. Tambahan pula, fikir ‘Saya’, tentu sukar untuk menjahit baju berlengan lapan jika Amma memiliki empat pasang tangan!
Selepas semua tetamu selesai makan, Appa meminta Amma membawa kaivisyesyam (wang yang dilipat menggunakan sirih) untuk diberikan kepada para pekerja ladang tebu sebagai hadiah tahun baru.
Tidak lama selepas Amma masuk ke bilik sembahyang untuk mengambil kaivisyesyam, kedengaran bunyi barang jatuh. Appa, Ragu, ‘Saya’ dan para tetamu bergegas ke bilik sembahyang. Amma ditemui dalam keadaan tidak bermaya di atas lantai. Amma dibawa ke bilik dan dibaringkan atas katil. Appa menangis teresak-esak.
‘Saya’ dan Ragu diminta menunggu di luar bilik. Sesampai di bilik tamu, Ragu juga mula menangis. ‘Saya’ pula segera berlari masuk ke bilik sembahyang. ‘Saya’ berdoa dan meminta Tuhan memastikan bahawa ‘Saya’ akan dapat memandang wajah Amma sebagai objek pertama pada Diwali, Ponggal dan Chithirai pada setiap tahun yang mendatang. ‘Saya’ benar-benar percaya bahawa Tuhan akan menerima doa tahun baru kanak-kanak yang tidak nakal.
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998). Cerpen ini boleh dibaca dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013).
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!