Saroja Theavy Balakrishnan, “Dalam Perut Jerung Raksasa”, Dewan Sastera, Mei 1997, hlm. 34-37.
Selvi, 30 tahun, sangat risau kerana adiknya, Saravanan yang berumur 15 tahun terlalu asyik menonton filem Tamil di pawagam dan video. Pada suatu hari, apabila Selvi mendapat tahu bahawa Saravanan sudah pergi ke pawagam, dia pun pergi ke situ.
Berjam-jam lamanya Selvi menunggu di perhentian bas berhampiran pawagam tersebut tetapi adiknya tidak kelihatan. Gadis itu mula risau. Pada waktu itu, datang seorang wanita tua bersari putih. Wanita itu rupa-rupanya tahu di mana Saravanan berada. Dia mula menceritakan kepada Selvi bahawa adiknya sudah jauh tersesat akibat terpengaruh dengan filem Tamil yang ditontonnya saban hari.
Selvi mengaku bahawa Saravanan memang gian menonton filem Tamil. Malah sejak kematian bapanya, kelakuan remaja itu semakin teruk. Saravanan telah memaksa ibu mereka membeli video dengan mengugut bahawa sekiranya permintaannya tidak dipenuhi, dia tidak akan menduduki PMR pada tahun tersebut.
Selepas lama berbual, wanita tua itu membawa Selvi ke suatu tempat yang aneh. Menurut si wanita, Saravanan sudah sesat dalam dunia yang aneh itu. Untuk menyelamatkannya, Selvi perlu sangguh menghadapi pelbagai rintangan – “menerjuni gaung, merempuh belantara, menyelami dasar lautan dan beradu tenaga dengan singa betina yang kelaparan”.
Demi kasih-sayang dan keinginan untuk menyelamatkan adiknya, Selvi sanggup melakukan apa sahaja; termasuk berkorban nyawa. Tiba-tiba Selvi mendapati dirinya berada di dalam sebuah pawagam yang aneh. Dia mencari-cari kelibat adiknya.
Akhirnya dia ternampak Saravanan yang seperti orang ketagihan ganja dan hanya mampu memanggil Selvi dengan suara yang perlahan dan terketar-ketar. Selvi terus memimpin Saravanan keluar dari dalam pawagam yang berupa seekor jerung raksasa.
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998).
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!