Uthaya Sankar SB, “Sebuah Cerita Biasa” dalam Menara 6 (KL: DBP, 1995), hlm. 89-95.
Kannama seorang balu beranak dua. Anak sulung, Rajoo sudah berkahwin dengan Yasoda dan mereka tinggal di bandar. Kannama pula tinggal bersama Karpagam yang berumur 12 tahun.
Rajoo memelihara seekor burung nuri. Yasoda tidak menyukai burung itu. Burung nuri itu – ia menjadi pencerita dalam cerpen ini – juga membenci Yasoda. Ia memberi pelbagai komentar berhubung gaya hidup Yasoda dan Rajoo.
Tidak lama kemudian, rumah Kannama di kampung dirobohkan oleh pihak berkuasa. Lalu Rajoo membawa Kannama dan Karpagam ke rumahnya di bandar. Sejak awal lagi Yasoda tidak menyenangi kedatangan mereka. Walau bagaimanapun, Rajoo memberi kata dua: jika Yasoda tidak suka Kannama dan Karpagam tinggal bersama mereka, Yasoda boleh balik sahaja ke rumah ibu bapanya.
Hampir dua minggu sudah berlalu. Rasa benci Yasoda terhadap Kannama dan Karpagam semakin bertambah. Si burung nuri yang menjadi pencerita pula semakin intim dengan Karpagam. Ia benar-benar sayangkan gadis itu. Ia menganggap Karpagam seorang anak yang sangat baik dan berbudi pekerti tinggi. Burung nuri itu sangat membenci Yasoda tetapi sebaliknya sangat menyayangi Karpagam.
Pada suatu pagi, Yasoda mengatakan bahawa wang RM50 yang disimpannya untuk membeli sari baru sudah hilang. Dia menuduh Karpagam mencurinya dari bilik tidur. Karpagam berkali-kali cuba meyakinkan Yasoda bahawa dia tidak mencuri. Namun, Yasoda tetap menuduh gadis itu. Karpagam dipukul tanpa belas kasihan. Segala rayuan yang diajukan olah Kannama nampaknya tidak membuahkan hasil.
Tidak lama kemudian, Rajoo pulang selepas bersenam di luar. Yasoda menceritakan tentang kehilangan wang. Rajoo dapat menduga bahawa Yasoda kemungkinan besar sedang cuba mencari alasan untuk menghalau Kannama dan Karpagam dari rumah itu. Walau bagaimanapun, untuk bersikap adil, Rajoo mencadangkan agar mereka mencari wang yang hilang itu dengan teliti. Dia berpendapat mungkin Yasoda tersalah letak di mana-mana.
Mereka berempat masuk ke bilik tidur Yasoda dan Rajoo. Masing-masing mencari kalau-kalau wang itu tercicir di mana-mana. Sementara itu, si burung nuri pula terus menanti dalam sangkar. Ia tetap yakin bahawa Karpagam tidak bersalah. Ia berharap rahsia dan penipuan Yasoda akan segera terbongkar.
Tidak lama kemudian, burung nuri itu ternampak Yasoda keluar dari bilik tidur. Dia dengan penuh hati-hati pergi ke bilik tidur Kannama dan Karpagam. Kemudian dia meletakkan sesuatu di bawah bantal Karpagam sebelum berlari semula dan masuk ke bilik tidur di mana Rajoo, Kannama dan Karpagam masih cuba mencari wang RM50 yang mungkin tercicir di sana.
Burung nuri itu menduga bahawa Yasoda tentu sahaja sedang cuba mengenakan Karpagam. Ia fikir, Yasoda telah menyembunyikan wang di bawah bantal. Jadi, apabila bilik itu diselongkar nanti, wang yang dicari akan ditemui; dan Karpagam akan dituduh mencurinya.
Maka burung nuri itu mula bising untuk menarik perhatian Karpagam. Tidak lama kemudian, Karpagam keluar dari bilik tidur abang dan kakak iparnya. Burung nuri itu cuba menceritakan apa yang telah berlaku. Tetapi tentulah Karpagam tidak memahami bahasa burung.
Tanpa banyak soal, Karpagam mengeluarkan wang kertas RM50 dari dalam saku baju! Wang itu dilipat menjadi kecil dan disembunyikan di dalam rekahan kecil pada sangkar burung. Si burung nuri amat terkejut melihat segala kejadian itu. Ia tidak faham apa yang telah dan sedang berlaku. Ia cuba bertanya tetapi tentulah Karpagam tidak memahami bahasa burung. Tanpa berlengah, Karpagam pun terus berlari masuk semula ke dalam bilik di mana abang, kakak ipar dan emaknya berada.
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998). Cerpen ini boleh dibaca dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013).
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!