Uthaya Sankar SB, “Wanita” dalam Menara 6 (KL: DBP, 1995), hlm. 81-88.
‘Saya’ seorang pemuda yang mempunyai pandangan tidak konvensional berhubung kedudukan golongan isteri khasnya dan wanita amnya di sisi golongan suami khasnya dan lelaki amnya. Dia berpendapat bahawa kaum wanita akan tetap kekal sebagai hamba buat selama-lamanya jika mereka terlalu mendewa-dewakan nama si suami. Pada pendapat ‘Saya’, walaupun suami dan isteri sudah bersatu hati dan jiwa, mereka masih juga dua individu yang berbeza. Ini bermakna si isteri masih ada harga diri dan martabat diri.
Demikian ‘Saya’ sering memberitahu para pekerja wanita di tempat kerjanya. ‘Saya’ tidak bersetuju dengan amalan kebanyakan wanita kaum India yang membuang nama sendiri lalu menukarnya dengan nama suami selepas sahaja berkahwin. ‘Saya’ menganggapnya sebagai tindakan yang bodoh dan kurang bertamadun. Malah begitulah juga dia memberitahu tunangannya.
Sikap ‘Saya’ kurang disenangi oleh banyak pihak; khususnya golongan wanita yang menganggap ‘Saya’ cuba mempengaruhi mereka dengan pandangannya yang ‘tidak betul’. Ini telah menyebabkan ‘Saya’ dibuang kerja oleh majikan di Asiana Shoe Manufacturer.
Selepas itu, ‘Saya’ bekerja sebagai kerani akaun di Kilang Kasut Malaysian Flavour. Salah seorang daripada rakan sekerjanya ialah Citra, 28 tahun. Wanita itu pada mulanya dikenali dengan sapaan “Cik Citra”. Tetapi setelah dia berkahwin dengan Encik Ramachandran, pengurus jualan kilang berkenaan, namanya ditukar kepada “Puan Ramachandran”. Nama pada pas kerja diubah. Nama dalam hal surat-menyurat diubah. Rakan sepejabat pula memanggilnya “Puan Rama”. Tanda nama pula ditukar daripada “Citra” kepada “Puan Ram”.
Perkembangan ini tidak menggembirakan ‘Saya’. Pada suatu hari, ‘Saya’ berpeluang untuk bertemu Citra @ Puan Rama di kantin kilang. ‘Saya’ tetap menyapa wanita itu dengan panggilan “Cik Citra”. Tindakan ini menimbulkan kemarahan wanita berkenaan. Dia meminta supaya dipanggil dengan nama “Puan Rama”. Dia menerangkan bahawa nama “Cik Citra” hanya boleh digunakan sementara dia belum berkahwin dahulu.
‘Saya’ seterusnya berpura-pura tidak tahu dan mula bertanyakan sebab sebenar pertukaran nama itu dibuat. ‘Saya’ bertanya apa akan berlaku jika seorang wanita itu berkahwin misalnya dengan lelaki bernama Ramu. Nama si wanita menjadi “Puan Ramu”. Apakah jika si suami meninggal dunia maka si wanita tadi dikenali sebagai “Balu Ramu”? Bagaimana pula jika pasangan itu bercerai; apakah wanita itu menjadi “Janda Ramu”? Dan bagaimana pula jika wanita itu mengahwini lelaki lain selepas itu?
Pertanyaan berupa sindiran tajam itu benar-benar membuatkan Citra marah. Dia cuba beredar dari kantin tetapi ditahan oleh ‘Saya’ yang meminta penjelasan berhubung amalan wanita kaum India menggunakan nama suami.
Citra memberi pelbagai alasan. Misalnya dengan mengatakan bahawa selepas berkahwin, wanita itu bukan lagi sama dengan dirinya yang lama. Maka ‘Saya’ memintas dengan bertanya mengapa dalam sijil kelahiran anak-anak, nama asal si isteri digunakan; bukan nama yang dipinjam daripada nama suami.
Kemudian Citra mengaitkan pula perkembangan itu dengan wanita zaman moden yang sudah maju, merdeka dan bebas. Kenyataan itu juga dibidas secara sinis oleh ‘Saya’. Rata-rata setiap alasan yang dikemukakan terus sahaja dikritik dengan pedas dan bijak oleh ‘Saya’. Apatah lagi apabila Citra mengaitkan penggunaan nama suami oleh isteri sebagai trend masa kini. Katanya lagi, trend itu dipinjam daripada perjuangan wanita barat yang maju dalam pelbagai bidang. Terus pula ‘Saya’ mengingatkan bahawa wanita barat pada masa sekarang sedang berjuang meminta hak untuk kembali menggunakan nama sendiri @ nama asal walaupun selepas berkahwin.
‘Saya’ dan Citra terus berbahas beberapa lama. Akhirnya Citra bergegas pergi setelah memberi alasan bahawa waktu rehat sudah lama berakhir.
Pada hari-hari seterusnya, Citra tidak mahu bercakap dengan ‘Saya’. Tunang ‘Saya’ juga kurang bersetuju dengan sikap ‘Saya’ yang tidak membenarkan dia menggunakan nama ‘Saya’ selepas mereka berkahwin nanti.
Seminggu berlalu. Citra sudah menukar tanda namanya daripada “Puan Ram” kepada “Puan Ramachandran”; menggunakan saiz huruf yang lebih besar pula. ‘Saya’ pula menerima notis dibuang kerja atas alasan mengganggu ketenteraman pekerja wanita. ‘Saya’ memang telah menjangkakan akan menerima notis seperti itu.
Nasib ‘Saya’ lebih malang kerana tunangnya meninggalkan pesanan dalam answering machine; memintanya memutuskan pertunangan mereka kerana gadis itu tidak mampu menurut segala permintaan ‘Saya’ yang dianggap pelik dan non-trendy. Gadis itu mengatakan bahawa dia mahukan seorang suami yang normal – dengan erti kata, suami yang membenarkan isteri menggunakan namanya!
‘Saya’ memutuskan bahawa “Wanita adalah selamanya hamba abdi yang lemah selagi mereka tidak memerdekakan diri dan minda. … selagi mereka masih menganiaya diri sendiri; mengikat diri pada amalan karut yang tidak berasas.”
.
[Baca petikan cerpen DI SINI]
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998). Cerpen in boleh dibaca dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013).
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!