Mustahil engkau sudah lupa tentang muslihat yang engkau gunakan untuk melemahkan Karna. Ya. Bukankah sudah banyak kali juga aku mengulang-ulang kisah itu kepada engkau apabila aku berjaya memburu engkau!
Aku tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap engkau. Buat sementara waktu, biar mereka mendewa-dewakan engkau. Biar mereka menyembah engkau pagi petang. Biar mereka cipta mitos tentang engkau. Itu hak mereka. Hak orang yang tidak tahu peribadi sebenar orang yang disembah.
Atau pilihan orang-orang yang tidak mahu menerima hakikat warna kelabu pada peribadi engkau. Mereka melihat yang putih sahaja. Yang hitam pun diputihkan. Apatah lagi yang kelabu!
“Aku mahukah baju besi dan anting-anting kau.”
Demikian engkau meminta kepada Karna. Dan si tolol itu – maaf – pula langsung tidak sedar bahawa insan fakir yang menemuinya adalah engkau yang memang pandai menyamar untuk menipu.
“Aku tahu bahawa kau memang dermawan …”
Tanpa banyak soal, Karna mengambil pisau lalu memotong baju besi dan anting-anting itu. Diserahkannya kepada engkau. Ah! Betapa engkau sampai hati meminta pahlawan itu memotong baju besi dan anting-anting yang melekat pada tubuhnya sejak lahir.
Tetapi tiada apa-apa yang perlu dihairankan. Bukankah engkau memang pakar mengatur muslihat? Tujuan engkau hanya mahukan kemenangan pada pihak engkau. Apa-apa yang lain, engkau persetankan.
Engkau marah mendengar pendedahan berani ini?
Ha! Burulah aku. Bunuhlah aku, wahai pahlawan bacul. Kalau tidak, aku akan terus memburu engkau dengan segala penceritaan kisah lampau. Akan aku ulang dan ulang dan ulang dan terus mengulang segala peribadi hitam engkau. Biar berdesing telinga engkau mendengarnya. Biar engkau tahu malu.
Engkau eksploitasikan kasih sayang antara ibu dan anak demi untuk menjayakan rancangan engkau. Engkau dedahkan kepada Kunthi Devi siapa sebenarnya Karna.
Diffuse to two-shot.
“Apa? Diakah bayi yang aku hanyutkan di sungai dahulu?”
“Ya. Dialah dosa yang kau cuba sembunyikan …”
“Aku terpaksa,” Kunthi Devi merintih. “Anak itu lahir sebelum aku berkahwin. Aku terpaksa membuangnya mengikut trend semasa.”
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!