Tuesday, 4 May 2010

Yang Aneh-aneh

BENAR-BENAR di luar dugaan saya, wanita itu meluru ke arah tingkap lalu melompat keluar. Tingkap yang terbuka telah memungkinkannya berbuat begitu dengan mudah. Jika tidak, tentu tubuhnya tercalar oleh kaca yang pecah.
.

Setelah tercegat seketika memikirkan tindakan berani wanita itu, barulah saya mula risau. Tentu dia telah jatuh ke bawah; dari bilik di tingkat lima hotel empat bintang. Nescaya dia akan mati terus. Jika pun tidak, tentu cedera teruk.

.

Walau apa sekalipun yang berlaku, tentu saya yang akan dicari nanti. Si penyambut tetamu tentu cam wajah saya sewaktu saya bertanyakan kepadanya perihal bilik wanita ini. Kalau saya terus berlengah, tentu pihak polis akan datang memberkas saya.

.

Sambil memikirkan segala kemungkinan yang boleh berlaku, saya menghampiri tingkap dan menjenguk keluar. Dalam diam, saya mula terasa seronok memikirkan segala excitement yang bakal saya lalui sekiranya saya disabitkan kesalahan membunuh wanita berkenaan. Tentu seronok mencari segala lubang dalam undang-undang untuk melepaskan diri. Atau sekurang-kurangnya dalam menimbulkan kemusykilan dalam tuduhan agar prima facie tidak dapat dikemukakan terhadap saya!

.

Alangkah terkejut – dan kecewa – apabila saya perhatikan tidak ada orang ramai berkerumun di bawah sana. Saya perhatikan betul-betul sambil menyumpah-nyumpah kerana kecewa. Benarlah wanita itu sudah tidak ada di sana.

.

Lalu saya segera berlari keluar bilik. Saya perlu tinggalkan segera bilik ini sebelum sesuatu yang buruk berlaku. Sudahlah lidah saya hampir terputus sewaktu berbalah dengan wanita itu tadi! Kalau saya terus berlengah, entah-entah dia akan datang semula untuk membotakkan kepala saya pula.

.

Apabila sampai di hadapan meja penyambut tetamu, gadis tadi menahan saya dengan suara yang lunak.

.

“Sila jelaskan bayaran, tuan.”

.

“Bayaran? Bayaran apa?”

.

Tentu saya terkejut kerana saya tidak menyewa apa-apa bilik. Kedatangan saya tadi hanyalah untuk bertemu wanita itu. Itu biliknya. Buat apa saya yang perlu bayar!

.

“Bayaran bilik nombor 111, tuan.”

.

“Hei, itu bukan bilik saya. Saya sekadar pergi berjumpa seorang wanita di sana,” saya cuba menjelaskan.

.

“Maaf, tuan. Wanita itu telah memindahkan segala tunggakan bayaran ke atas nama tuan.”

.

“Bila?”

.

“Baru sebentar tadi, tuan. … Err, dia datang dalam keadaan berlumuran darah, tuan.”

.

“Cih!”

.

Saya hulurkan wang lima ratus ringgit dengan hati yang berat lalu segera meninggalkan hotel itu. Tetapi belum pun sempat saya keluar, wanita tadi menahan saya. Benarlah pakaiannya berlumuran darah. Wajahnya yang selama ini bos saya puji, kini sudah tercalar sedikit.

.

Petikan cerpen “Yang Aneh-aneh” dalam Dewan Sastera, Mei 1996 serta kumpulan Yang Aneh-aneh (1997) dan Sasterawan Pulau Cinta (2001). Cerpen ini menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1996/97. Sila KLIK DI SINI untuk membaca ulasan Amir Muhammad.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!