Waktu itu saya belum bergelar sasterawan. Saya masih seorang pelajar. Seorang pelajar yang bercita-cita menjadi penulis. Maka kedatangan Datuk ke kampung kami seharusnya merupakan suatu anugerah besar. Sesungguhnyalah masing-masing penduduk berasa bangga kerana Datuk telah sudi menerima undangan bagi merasmikan ceramah yang diadakan.
Saya sebagai seorang peminat sastera tidak sabar-sabar menantikan ceramah yang dijadualkan selama tiga jam itu. Apabila salah seorang rakan memberitahu saya hampir sebulan lalu bahawa Pertubuhan Politik India (PPI) di kampung kami bakal menganjurkan sebuah sesi ceramah sastera di Dewan Besar Siru Kambam, saya sudah dapat membayangkan bahawa jalan bakal terbuka bagi saya mendekati seorang sasterawan. Sudah terbayang dalam imaginasi saya bahawa saya akan mendapat bimbingan dan motivasi untuk berusaha menerbitkan karya-karya saya.
Sesungguhnya saya telah mula menulis sejak berada dalam tingkatan tiga di Sekolah Menengah Darul Ridwan. Saya minta rakan-rakan saya membaca cerpen-cerpen yang saya hasilkan. Mereka sukakannya. Malangnya saya belum cukup berani untuk cuba menghantar karya-karya saya ke mana-mana penerbitan.
Tetapi itu bab lain, saya kira. Apa yang mahu saya ceritakan adalah tentang ceramah sastera itu. Saya agak kurang percaya juga apabila mendapat tahu bahawa PPI Cawangan Siru Kambam sanggup menjadi penganjur bagi ceramah seumpama itu. Sebelum ini, ia biasanya hanya menganjurkan acara-acara pesta, Malam Deepavali, hari sukan, ceramah politik (menjelang pilihan raya), pertemuan wanita dan seumpamanya yang pasti dihubungkaitkan dengan Datuk dan kepimpinan Datuk.
Saya tidak harus berprasangka buruk, bukan? Sepatutnya saya menghargai usaha PPI Siru Kambam menjemput seorang tokoh sasterawan kaum India bagi memberi ceramah. Tambahan pula, karya-karya beliau adalah antara yang paling saya minati. Saya sukakan cara beliau mengangkat tema daripada hidup masyarakat India di negara kita untuk dijadikan bahan cerpen.
[Baca petikan Tamil di sini]
Kalau boleh, saya sendiri mahu mengikut jejak beliau. Dan kedatangan beliau ke Siru Kambam merupakan suatu impian yang menjadi kenyataan bagi saya. Judul ceramahnya juga cukup menarik:
Sasterawan dan Pembaca Kaum India dalam Sastera Bahasa Malaysia: Untuk Apa? Di Mana Mereka? Berapa Ramai? Siapa Mereka? Perlukah Mereka?
Tarikh yang dijadualkan pun tiba. Sejak dua minggu sebelumnya, para ahli jawatankuasa PPI telah memulakan kerja membaik pulih dan menghias dewan. Surat-surat jemputan telah diedarkan; terutamanya kepada para penduduk kaum India – kerana ceramah akan dikendalikan dalam bahasa Tamil. Khabarnya penceramah @ sasterawan itu sendiri yang meminta supaya dibenarkan memberi ceramah dalam bahasa Tamil. Cuma kertas kerja akan menggunakan Bahasa Malaysia – kerana beliau kurang lancar menulis dan membaca tulisan Tamil.
Petikan cerpen “Datuk Datang ke Kampung Kami” (Sasterawan Pulau Cinta, 2001 dan Kisah Dari Siru Kambam, 2013). Sila KLIK DI SINI untuk membaca ulasan oleh Amir Muhammad.