14 Jun 2010

Baca Cerpen Zaen Kasturi

Penulis generasi baharu harus berani menghasilkan karya sastera yang tidak terikat pada gaya dan teknik konvensional. Sebaliknya, mereka amat wajar cuba melakukan pembaharuan agar karya yang terhasil nanti membantu memperkaya khazanah sastera negara.
.

Pengarang generasi baharu yang disegani, Zaen Kasturi menegaskan demikian ketika berucap pada akhir acara Baca Cerpen Zaen Kasturi yang berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor pada 26 Februari 2005.

.

Menurut beliau, sebuah karya yang bermutu biasanya tidak dibaca oleh khalayak yang ramai. Namun, karya bermutu tetap akan kekal tanpa ditelan zaman. Malah, ia mungkin menjadi karya agung pada masa akan datang.

.

Zaen Kasturi atau nama sebenarnya Zainal Palit melibatkan diri dalam bidang penulisan pada pertengahan tahun 1980-an dengan menulis cerpen, puisi, esei sastera dan novel.

.

Beliau pernah memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank serta Hadiah Cerpen Maybank-DBP. Buku Zaen Kasturi yang sudah diterbitkan adalah Yuda (DBP: 1992), Fujiyama (DBP: 1992) dan Rapsodi (DBP: 1998).

.

Beberapa cerpen dalam Rapsodi dijadikan teks pada acara Baca Cerpen Zaen Kasturi anjuran Kumpulan Sasterawan (Kavyan) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor (PPAS) dan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!