29 Nov 2010

PKR Perlu Realistik

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu bersifat realistik dalam mengeluarkan kenyataan berhubung ketuanan Melayu kerana akan menyentuh sensitiviti kaum Melayu.
..

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukriz Mahathir berkata, mereka tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat sedangkan mereka mengetahui akibatnya.

.

"Saya melihat mereka sengaja salah definisikan Ketuanan Melayu yang menganggap Melayu sebagai tuan kepada kaum lain.

..

"Sedangkan kita memperkatakan mengenai kedudukan Raja-Raja Melayu dan orang Melayu kaum majoriti di negara ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

.

Mukriz mengulas mengenai kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan perasmian Kongres PKR Ke-7, kelmarin, bahawa Ketuanan Melayu perlu ditinggalkan kerana ia hanya slogan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk memperdaya kaum Melayu secara keseluruhan demi kepentingan diri. [BACA DI SINI]

.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan PKR tidak perlu memusnahkan kaum sendiri dalam keghairahannya hendak mendapatkan sokongan kaum lain bagi meraih undi.

.

"Sekiranya PKR tidak mahu Ketuanan Melayu, itu hak mereka. UMNO tidak boleh menghalangnya.

.

"Kalau hendak kritik pun, itu hak mereka. Tapi jangan samakan Ketuanan Melayu dengan bangsa-bangsa lain yang hancur kerana kezalimannya seperti kisah dalam al-Quran," katanya.

.

Menurutnya, perjuangan UMNO dalam Ketuanan Melayu berbeza.

.

"Kita tak zalim, sebaliknya bersifat inklusif.

.

"Jika 10 kali pun PKR mahu sokongan kaum lain, saya mengingatkan jangan hingga memomokkan kaum sendiri," katanya.

.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata, Dr Wan Azizah merupakan klon kepada suaminya, Anwar yang sanggup melakukan apa saja demi kepentingan politik.

.

"Saya menasihatkan mereka agar berpijak di bumi nyata. Saya percaya darah Melayu yang mengalir dalam diri mereka terlalu nipis sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan demikian.

.

"Amat buruk jika kerana sokongan dan kuasa, orang sanggup mencagarkan agama dan kaum," katanya.

..

(Sinar Harian, 29 November 2010)