29 Nov 2010

Tidak Menjadi “Tuan” Selepas 53 Tahun

PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa konsep Ketuanan Melayu tidak ada makna sekiranya majoriti rakyat termiskin negara ini masih terdiri daripada kaum Melayu selepas UMNO memerintah selama 53 tahun.
.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, daripada kajian yang dijalankan, terbukti 97 peratus daripada kira-kira 65,000 isi rumah termiskin seluruh negara terdiri daripada golongan Melayu-Bumiputera.

.

Menurutnya, dengan adanya konsep Ketuanan Melayu serta diperkuatkan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), masih belum mampu meningkatkan ekonomi orang Melayu kerana dasar tersebut menguntungkan sebilangan kecil orang Melayu sahaja.

.

Katanya, oleh kerana kegagalan pemimpin sekarang, penyelesaian kepada isu tersebut adalah meninggalkan konsep Ketuanan Melayu dan menghapuskan perbezaan etnik demi kepentingan bersama.

.

“Kita tidak nafikan kepentingan masa depan orang Melayu di negara ini, sebab itu pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat (PR) bersetuju menandatangani deklarasi bersama mempertahankan prinsip asal Perlembagaan negara.

.

“Kita bersetuju dengan hak-hak orang Melayu dan pada masa sama juga hak kaum lain turut terjaga,” katanya ketika sesi penggulungan pada Kongres PKR ke-7, di sini, semalam.

.

Selain itu, Anwar turut mengingatkan perwakilan yang ada agar tidak lagi risau dengan dakyah pihak lawan yang menakutkan orang Melayu mengenai nasib mereka sekiranya PR menang pada pilihan raya umum akan datang.

.

Katanya, dakwaan sebegitu muncul kerana pihak lawan berasa takut dengan kebangkitan rakyat yang mahukan reformasi secara besar-besaran dan ini pasti akan diterjemahkan pada pilihan raya melalui undi.

.

“Bagi saya, baik saya hidup di bawah pemerintahan bukan Islam yang adil daripada pemerintahan orang Islam yang penuh dengan rasuah dan salah laku,” katanya.

.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menasihatkan semua pemimpin dan ahli parti agar terus bersabar apabila diserang bertubi-tubi oleh pihak lawan.

.

Katanya, PKR telah melalui pelbagai cabaran yang amat getir sehingga pernah disifatkan telah mati, namun Pilihan Raya Umum 2008 membuktikan PKR kembali kuat dan menjadi parti masa depan negara.

.

“Sekarang adalah pusingan terakhir, sebab itu kita diserang hebat dari segenap arah, dari luar dan dalam.

.

“Tetapi saya bersyukur kita sudah berjaya membersihkan parti kita daripada pemimpin yang berniat lain daripada perjuangan sebenar PKR,” katanya.

..

(Sinar Harian, 29 November 2010)