21 Mar 2010

Adaptasi Cerpen ke Drama

Sekumpulan ahli Kelab Seni & Sastera (KSS), Kumpulan Kolej Prime, Subang Jaya bekerjasama dengan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dalam mengadaptasi sebuah cerpen ke drama eksperimental berbentuk audio dan tayangan slaid.
.

Cerpen yang dipilih adalah “Arkitek Keluarga” karya Uthaya Sankar SB di mana manuskrip cerpen diadaptasi ke dalam bentuk skrip drama. Seterusnya, empat belas peserta dipilih untuk memegang watak-watak serta menjadi pencerita dalam drama eksperimental berkenaan.

.

Selepas mengadakan latihan selama seminggu, peserta yang terdiri daripada ahli Kavyan, ahli KSS dan pelajar kursus LAN1001-Bahasa Malaysia merakamkan lakonan mereka secara audio.

.

Seterusnya, lebih dua ratus foto dirakam secara digital di pelbagai lokasi terpilih untuk ditayangkan dalam bentuk slaid bersama-sama rakaman audio tadi. Foto diambil di tepi tasik di Kota Kemuning, Shah Alam, Taiping, Johor dan Jelebu, Negeri Sembilan.

.

Setelah siap diedit menjadi bentuk drama cereka eksperimental yang diberi judul “Arkitek Keluarga”, drama berkenaan ditayangkan buat pertama kali di Auditorium Kolej Prime pada 27 Julai 2005 sempena “Malam Apresiasi Kavyan-KSS”.

.

Para peserta yang menjayakan drama “Arkitek Keluarga” ternyata mendapat pengalaman yang amat berguna dari aspek penggambaran drama, pembacaan skrip drama serta penghayatan karya sastera.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!