Sunday, 9 January 2011

Novel Interlok Dibakar

KLANG 8 Jan. - Kira-kira 100 penduduk berketurunan India hari ini mengadakan demonstrasi sambil membakar novel Interlok di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini.
.

Mereka yang mendesak kerajaan agar mengharamkan novel tersebut dan menarik balik keputusan menjadikannya sebagai buku teks mata pelajaran Sastera Bahasa Malaysia tingkatan lima di sekolah, turut membakar salinan gambar penulis novel itu, Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

.

Sepanjang demonstrasi kira-kira sejam itu, kumpulan itu menaikkan poster antaranya tertulis, 'Hapuskan Interlok', 'Jangan Hina Kami' dan 'Fikir Dulu Sebelum Laksanakan' selain menggantungkan kasut pada replika novel itu sebelum membakarnya.

.

Malah, pada satu ketika, seorang lelaki yang gagal mengawal emosinya dilihat menampar gambar Abdullah dan menggelarkan beliau sebagai 'sasterawan bodoh'.

.

Turut hadir pada demonstrasi itu, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan.

.

Ketika bercakap kepada pemberita, Mariah berkata, pihaknya mengaku Interlok adalah karya yang hebat tetapi terdapat frasa yang begitu sensitif di kalangan masyarakat India di negara ini.

.

"Bagi saya, sebagai orang yang ada pendidikan tinggi tidak terasa apa-apa tetapi di kalangan orang biasa, dia baca rasa tersinggung dan terguris.

.

"Kalau begitu perasaan orang India kita perlu menghormati mereka, apa yang mereka minta ialah ia tidak dijadikan buku teks, ia boleh dijual sebagai novel tetapi tidak dibaca di sekolah kerana boleh membentuk pemikiran para pelajar," katanya.

.

Katanya, orang India di negara ini sekarang bertungkus lumus untuk tidak membesarkan isu kasta dan jika boleh, mereka mahu membesarkan anak-anak tanpa mengenal kasta.

.

"Sistem kasta adalah sejarah yang terlampau menghimpit orang India, jadi kita kena hormati mereka.

.

"Terpulang kepada pengarang (Interlok) kalau beliau tidak sanggup mengubah frasa terbabit, itu haknya tetapi menjadi tanggungjawab Kementerian Pelajaran untuk menghormati kaum India," katanya [sebelum meninggalkan tempat demonstrasi - BACA DI SINI]

.

Sementara itu, Manoharan pula melontarkan pandangan berbeza apabila mahu kerajaan mengharamkan terus Interlok yang telah mula diterbitkan pada 1971 dan ia wajar dibakar selain tidak dijadikan sebagai buku teks.

.

"Buku (novel) ini harus diharamkan sama sekali kerana ia digunakan kepada pelajar tingkatan lima sebagai teks wajib, harus dianalisis dan terpaksa lulus dalam peperiksaan Bahasa Malaysia," katanya.

.

Beliau yang mengaku sudah dua kali membaca novel itu mendakwa, terdapat tulisan dalam karya tersebut menyatakan kaum India di negara ini semuanya berasal daripada kasta paria dan ia suatu yang amat sensitif.

.

Dalam hal ini, beliau membangkitkan konsep kesamarataan kaum dengan menyatakan:

.

"Kaum India tidak tergolong daripada mana-mana kasta, sebaliknya mereka adalah daripada kasta manusia."

.

Beliau marah apabila dalam Interlok dinyatakan kaum India yang datang ke Malaysia terdiri daripada keturunan Tamil, Telegu dan Malayalam dan kesemuanya adalah dari kasta paria.

...

(Utusan Malaysia, 9 Januari 2011)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!