Bagi menangani kemelut tersebut, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) telah menganjurkan Dialog Novel Interlok pada 8 Januari 2010, bertempat di rumah PENA yang dihadiri para sarjana sastera dan penulis tanah air. Ahli Panel terdiri daripada pengkaji sastera dan penulis, Dr.Ilias Zaidi, Dr.Fatimah Busu dan Penerima Anugerah Penulis Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), Syed Mohd. Zakir S. Othman dan dipengerusikan oleh Presiden PENA, Sdr. Mohamad Saleeh Rahamad. Antara sarjana yang turut serta ialah Profesor Dato’ Dr. Md Salleh Yaapar, Dr. Mohd.Hanafi Ibrahim, Dr. Fatimah Busu, Dr. Norhayati Abd. Rahman, Profesor Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas, dan Profesor Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan.
PENA juga telah menemui Sasterawan Negara (SN), Datuk Abdullah Hussain pada 18 Disember 2010, di rumah anaknya di Puchong yang diwakili oleh Timbalan Presiden PENA, Amiruddin bin Md. Ali Hanafiah bersama dengan wartawan Berita Harian, Sdr. Nazmi Yaakub. PENA bersama-sama beberapa orang sarjana sekali lagi telah menemui SN Datuk Abdullah Hussain, di rumahnya di Petaling Jaya pada 8 Januari 2011. Pertemuan tersebut diketuai Presiden PENA, Sdr. Mohamad Saleeh Rahamad berserta Timbalannya Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Ahli Jawatankuasa PENA, Rahimidin Zahari dan Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim. Antara sarjana lain yang turut hadir ialah Dr. Fatimah Busu dan Dr. Norhayati Abd.Rahman serta editor Dewan Sastera, Puan Rozninah Abd. Azib. Pertemuan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang penghasilan novel Interlok di samping menziarahinya yang sedang uzur.
Seterusnya, PENA juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil badan bukan kerajaan bagi membincangkan isu tersebut pada 9 Januari 2011 di Rumah PENA. Antara wakil yang hadir ialah Dr. Hassan Mad (Majlis Permuafakatan Melayu), Profesor Madya Datuk Hj. Mohamad Ali Hasan, Presiden Mimbar Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional, Sdr. Zainal Mohd. Jais, Timbalan Pengerusi Majlis Kebudayaan Negeri Selangor, Sdr. Abu Hassan Ashari Hj. Abas, Naib Ketua PERKASA Daerah Klang, Hj. Megat Md. Saleh Md. Arshad, Timbalan Setiausaha Agung KONGRES, dan Haji Razali Endon, Ketua 1 Ikatan Persuratan Melayu (IPM).
Daripada perbincangan dan persetujuan yang disepakati, PENA serta beberapa badan bukan kerajaan yang namanya disenaraikan meminta Kementerian Pelajaran Malaysia mengekalkan novel Interlok sebagai teks KOMSAS dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan lima. Kami juga dengan tegas menolak sebarang campur tangan politik yang berpentingan peribadi dan bersifat politik perkauman. Kami juga menolak tuntutan supaya novel itu dipinda jika alasannya adalah kerana wujudnya unsur penghinaan terhadap kaum tertentu. Bagi kami, tiada unsur penghinaan sama sekali dalam novel itu.
Bagi menegaskan pendirian kami, satu laporan polis telah dibuat pada 10 Januari 2011 di Balai Polis Dang Wangi (no repot:000943/11) ekoran tindakan segelintir orang India membakar novel Interlok dan menghina gambar Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain di Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Kelang pada 8 Januari dan dilaporkan dalam Mingguan Malaysia bertarikh 9 Januari 2011. Kami menyifatkan perbuatan itu melampau dan boleh mencetuskan ketegangan kaum. Sebagai badan penulis, kami berasa bahawa penghinaan itu sangat biadab apatah lagi dilakukan terhadap Sasterawan Negara yang menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong. Oleh itu, penghinaan terhadap Sasterawan Negara bukan sahaja dapat dianggap sebagai penghinaan terhadap orang Melayu dan penulis, malahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Dengan ini, PENA menyerahkan memorandum ini kepada YAB Tan Sri dengan maksud meminta YAB Tan Sri mengekalkan novel Interlok tanpa tunduk kepada sebarang tuntutan daripada pihak yang menentangnya. Pendirian ini berdasarkan alasan yang berikut:
1. Novel Interlok ialah novel sejarah pembinaan bangsa dan pembentukan sebuah negara Malaysia yang merdeka. Daripada novel tersebut dapat dipelajari susur galur pembentukan negara dan bangsa Malaysia yang wujud hari ini. Dengan kata lain, sejarah sosial negara ini dapat diikuti secara halus kerana paparannya dalam bentuk seni. Secara tidak langsung pelajar dapat mmahami sejarah sekali gus mempelajari nilai sastera dan bahasa melalui novel tersebut.
2. Novel Interlok menampilkan peranan penting tiga kaum terbesar di Tanah Melayu yang saling membangunkan kegiatan ekonomi, politik dan sosiobudaya, iaitu Melayu, Cina dan India tanpa prejudis dan bias perkauman. Gambaran realiti masyarakat tiga kaum terbesar di Tanah Melayu dipaparkan tanpa menghakimi mana-mana kaum tetapi menggagaskan harapan wujudnya perpaduan yang mutlak.
3. Interlok menceritakan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Ia juga mengisahkan kehidupan bangsa Melayu, Cina dan India yang dibina secara terpisah dan diceritakan dalam bentuk mozaik budaya, tetapi menjurus kepada pertemuan penyatuan bangsa seperti dalam bab akhir (bab 4), iaitu Interlok.
4. Interlok tidak menghina mana-mana kaum di negara ini sebaliknya menonjolkan gagasan perpaduan untuk melestarikan kemerdekaan bagi sebuah negara yang baru dibentuk dan berdaulat. Perkara ini dapat dijelaskan melalui diskusi ilmiah yang diadakan di Rumah PENA pada 8 Januari yang kemudian dilaporkan atau diulas oleh wartawan dalam Berita Harian bertarikh 9 Januari 2011 dan sebuah tulisan dalam akhbar The Star. Antara tulisan yang dapat dirujuk adalah daripada penulis yang berikut dan karya mereka kami lampirkan:
5. Fatimah Busu (kertas kerja diskusi di Rumah PENA)
6. Datuk Meor Kamarul Shahid Kamarul Baid (Berita Minggu, 9 Januari 2011)
7. Baradan Kuppusamy (Sunday Star, 9 Januari 2011)
Dengan penjelasan itu, telah terbuktilah bahawa premis yang digunakan oleh para sarjana dan penulis itu mampu menjawab dakwaan yang dilemparkan oleh pihak penentang novel Interlok. Pandangan mereka itu adalah informatif, signifikan, lebih relevan dan tidak bersifat bias etnik sama sekali.
8. Interlok ditulis untuk menyahut seruan pemimpin negara supaya menghasilkan karya yang mengisi kemerdekaan negara dan menghayati semangat perpaduan kaum. Melalui Sayembara Menulis Novel 10 Tahun Merdeka, novel tersebut dihasilkan dengan niat yang murni. Malahan menurut pengarangnya, Abdullah Hussain, dalam pertemuan PENA dengan beliau pada 8 Januari di rumahnya, novel itu ditulis dengan bantuan daripada seorang pensyarah India di jabatan Pengajian India Universiti Malaya. Ini bermakna, maklumat tersebut datangnya daripada etnik India dan sekali gus menunjukkan bahawa tiada unsur penghinaan mendasari penulisannya. Pandangan beliau ini juga dapat dilihat dalam laporan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Januari 2011.
9. Setelah 40 tahun novel yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena 10 tahun Merdeka itu diterbitkan, tidak pernah timbul sebarang isu atau kesan negatif dalam masyarakat dan ini membuktikan novel Interlok tidak mengandungi unsur penghinaan. Malahan sebelum ini pun novel Interlok sudah menjadi teks sastera bagi tingkatan enam. Kenapakah tiada masalah kekeliruan timbul pada waktu itu. Adakah pada waktu itu masyarakat India tidak menyedarinya?
10. Tidak ada unsur penghinaan dalam karya tersebut, sebaliknya isu yang didakwa sesetengah pihak itu bersifat menghina dan menggugat kefahaman generasi masa kini tidak wujud sama sekali jika dibaca dengan akal yang waras dan objektif. Mesej dan matlamat novel ini jelas untuk mengangkat Malaysia sebagai negara yang bersih daripada pemisahan kasta. Novel ini bertujuan menimbulkan rasa kecintaan setiap kaum terhadap negara ini dan menjadi warganegara Malaysia yang mengakui kedaulatan negara ini dan menjunjung Perlembagaan serta budayanya.
11. Kami meragui hasrat dan niat pihak yang mempersoalkan perkara tersebut pada masa sekarang setelah empat dekad diterbitkan. Kami bimbang tanggapan negatif kelompok tertentu akan mencetuskan gejala yang tidak sihat kepada perpaduan yang telah wujud di negara ini. Melayani tuntutan yang tidak munasabah seperti itu hanya mendedahkan kerajaan kepada risiko sindrom takut pada ancaman demagogue politik.
12. Tuntutan yang dibuat oleh mereka adalah tidak munasabah dan boleh menyebabkan kerajaan sukar untuk menjalankan tugasnya sebagai pemerintah yang tegas dan berwibawa, serta akan mengganggu suasana harmoni persekolahan di negara ini.
13. Kesan penarikan balik novel ini akan merosakkan imej karya sastera yang bertaraf tinggi dan dihasilkan oleh Sasterawan Negara. Apabila karya Sasteraan Negara dianggap sebagai berunsur negatif dan menimbulkan kekeliruan, di manakah kayu ukur penilaian beliau sebagai Sasterawan Negara sebelum ini? Bukankah beliau telah dinilai secara telus dan terperinci sebelum dinobatkan sebagai Sasterawan Negara yang kemudian mendapat pengiktirafan daripada Yang di-Pertun Agong?
14. Teks tersebut telah dikaji secara mendalam sebelum diluluskan oleh panel yang berwibawa dan diperakukan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Oleh itu, tidak wajar kepercayaan yang telah diberikan ditarik balik. Penulis pada asalnya mengarang novel ini sempena Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1967. Peraduan ini diusulkan oleh Tun Abdul Razak (pada masa itu Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran PENA. Tun Abdul Razak ialah seorang pemimpin yang sangat prihatin tentang soal perpaduan, dan beliau pernah berkata dalam satu ucapan: "Masalah-masalah yang kita hadapi sekarang dan di masa-masa yang akan datang adalah adalah berlainan dengan masalah-masalah yang ada sebelum 13 Mei 1969." (Noor Azam. 1981. Perspektif. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm. 7).
Novel ini memenangi hadiah sagu hati dan diterbitkan pada tahun 1971 atas arahan Tun Abdul Razak. Antara panel juri yang menilai penyertaan peraduan ini adalah mantan Ketua Hakim, Tan Sri Mohamed Suffian Hashim (Pengerusi Panel), termasuk sarjana universiti, sasterawan, wartawan serta pegawai tinggi kerajaan yang meminati sastera sebagai panel. Jika novel Interlok dipinda atau diubah isi kandungannya, ia seolah-olah mempertikaikan kewibawaan panel juri yang terdiri daripada kalangan mereka yang profesional dalam bidang masing-masing.
15. Mempertikaikan kewibawaan panel juri yang dipilih untuk menilai penyertaan Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka, termasuk menilai novel Interlok juga dianggap mempersoalkan kredibiliti Tun Abdul Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri (kemudian menjadi Perdana Menteri) yang telah bersetuju dengan barisan panel juri penilai peraduan. Kami juga menganggap perbuatan mempersoalkan isi kandungan ataupun perkataan yang telah ditulis oleh Datuk Abdullah Hussain ibarat menderhakai Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah memperkenankan penganugerahan status Sasterawan Negara kepada Datuk Abdullah Hussain pada tahun 1996 atas kejerihan beliau memartabatkan kesusasteraan dan persuratan Malaysia, termasuklah menghasilkan novel Interlok.
Saranan
1. Kami menyokong penuh tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak yang berkepentingan untuk mencemari ketulenan novel Interlok yang telah berusia 44 tahun kerana ia jelas merakam realiti semasa mengenai masyarakat negara ini pada zaman pramerdeka. Sebenarnya sebelum diterbitkan dalam edisi pelajar memang telah dibuat beberapa pindaan bahasa yang dianggap tidak sesuai bagi pelajar. Namun begitu, pindaan seterusnya atas faktor kepentingan politik (yang tidak berasas) tidak wajar dilayan sama sekali. Desakan politik itu lebih bersifat provoksi dan ugutan kepada kerajaan sekali gus untuk menggugat keutuhan kerajaan sebagai pemerintah yang berwibawa.
2. Bagi mengatasi kekeliruan dalam kalangan pelajar seperti yang didakwa oleh pihak tertentu, kami menyarankan agar guru yang mengajarkan teks tersebut dilengkapi kemahiran bersepadu dengan ilmu bantu supaya mereka dapat membimbing pelajar dalam nilai-nilai murni yang terdapat dalam novel Interlok. Penjelasan tentang konsep pariah dan nilai dalam agama Hindu yang disentuh dalam novel tersebut boleh dijelaskan oleh guru secara mudah sekiranya diperlukan. Malahan inilah antara perkara yang patut disentuh dalam kurikulum di sekolah mahupun dalam subjek Hubungan Etnik di institusi pengajian tinggi.
3. Isu ini hendaklah diselesaikan secara berhemah dan ilmiah serta ditangani dengan akal yang bijaksana agar tidak menjejaskan keharmonian masyarakat.
5. Penubuhan sebuah jawatankuasa baharu untuk mengkaji dan meminda buku itu tidak relevan sama sekali kerana segala penjelasan telah diberikan oleh para sarjana.
6. Kami menggesa Interlok dikekalkan kerana novel tersebut berperanan penting dalam membina generasi muda yang celik sejarah dan budaya dan menjunjung tinggi perlembagaan negara.
7. Kerajaan perlu bertindak tegas terhadap pihak yang menghina Sasterawan Negara kerana kedudukannya sudah dimartabatkan melalui anugerah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong. Penghinaan kepada beliau samalah seperti menghina Yang di-Pertuan Agong, yakni institusi yang tinggi di negara berdaulat ini.
8. Sudah sampai masanya kerajaan mewajibkan mata pelajaran sastera secara lebih serius pada peringkat sekolah dan universiti tanpa mengira aliran pengajian. Dengan pewajiban itu banyak manfaat akan diperoleh kerana kesusasteraan terbukti memiliki nilai pendidikan, moral, kehalusan rasa, intelektualiti, dan kreativiti yang dapat menjana pemikiran pelajar atau generasi muda negara ini. Pemisahan sastera daripada pelajar beraliran sains dalam bentuk dikotomi merupakan sistem yang lapuk dan jauh ketinggalan daripada sistem pendidikan di negara-negara maju. Negara-negara maju tidak pernah meninggalkan kesusasteraan dalam sistem pendidikannya walaupun bagi aliran sains, tekonologi, dan sebagainya.
9. Kerajaan juga wajar menurutsertakan wakil-wakil persatuan penulis atau sarjana sastera yang berkaliber dan jujur dalam sebaran bentuk perbincangan bagi memutuskan satu-satu perkara yang melibatkan pembelajaran dan pengajaran di sekolah termasuk dalam soal pemilihan buku teks.
Mohamad Saleeh Rahamad
Presiden
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
11 Januari 2011