Saturday, 5 November 2011

Pemarkahan Pertandingan Baca Cerpen Kavyan

Berikut maklumat pemarkahan bagi Baca Cerpen Kavyan 2011.

Pemarkahan dilakukan oleh panel yang ditetapkan oleh penganjur. Keputusan panel hakim adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.


Peserta yang menyertai mana-mana aktiviti Kavyan diminta patuh pada Waktu Kavyan.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, hubungi infokavyan@yahoo.com.my atau 016-3288142 (SMS tidak dibalas).


Pemarkahan Baca Cerpen Kavyan 2011 dibahagikan kepada lima pecahan iaitu:


Sebutan - 5 markah


Kelancaran dan Pemahaman - 5 markah


Intonasi dan Nada Pembacaan - 5 markah


Gaya Penyampaian Cerita - 5 markah


Suara dan Keyakinan Diri - 5 markah


Jumlah - 25 markah


Perincian Pecahan Pemarkahan seperti berikut:


Sebutan


Prinsip dan dasar sebutan baku diberi perhatian; iaitu sebutan berdasarkan sebutan fonemik atau sebutan huruf, sebutan kata dan intonasi. Huruf dan fonem vokal, diftong serta konsonan juga didengar dengan teliti. Sebutan bagi kata dasar, kata terbitan, kata pinjaman, sebutan yang disengaukan serta sebutan bagi nama khas juga diperhatikan dalam memberi markah.


Kelancaran dan Pemahaman


Antara aspek yang dijadikan panduan adalah kemampuan peserta membaca petikan cerpen dengan lancar/berterusan, berhenti seketika pada bahagian-bahagian yang perlu mengikut kesesuaian, tempo yang sederhana (tidak terlalu laju atau terlalu perlahan), tiada gangguan semasa membaca (eh, em, ya dan sebagainya). Aspek kelancaran membaca boleh membantu mengesan sama ada peserta memahami atau tidak petikan cerpen yang dibaca.


Intonasi dan Nada Pembacaan


Penilaian dibuat berdasarkan faktor sama ada suara peserta sedap didengar dan menarik. Nada dan intonasi haruslah dipelbagaikan dan dikawal; misalnya nada tinggi dan bersemangat, nada perlahan, nada sederhana, nada propaganda, nada tinggi dan lantang mengikut kesesuaian.


Gaya Penyampaian Cerita


Cerita perlu dibacakan dengan gaya yang sesuai. Antara aspek gaya yang diperhatikan oleh penilai adalah gerak tangan, mata dan gerak badan, tidak kaku dan tidak juga beraksi berlebihan, mimik muka mengikut penekanan suara, serta memandang penonton/khalayak sesekali bagi tujuan eye-contact.


Suara dan Keyakinan Diri


Suara peserta mesti cukup kuat untuk didengar oleh penonton dan penilai. Peserta perlu ‘mesra mikrofon’ serta tidak gentar membaca di pentas. Peserta perlu memperlihatkan perwatakan, sikap dan pandangan yang positif serta penuh dengan keyakinan diri apabila tampil di pentas membaca petikan cerpen. Pakaian yang dipakai perlulah kemas dan sesuai dengan acara. Peserta juga perlu mengamalkan adab dan tatasusila ketika berada di pentas. Penggunaan props tidak dibenarkan kerana membazir masa, wang dan tenaga.


Nota: Keputusan panel hakim adalah muktamad dan sebarang bantahan tidak dilayan.