Berikut adalah komentar Ridhuan Tee
Abdullah (nama
asal: Tee Chuan Seng) di akhbar Sinar Harian pada 18 Februari 2013. Pandangan dan kata-kata individu
keturunan Cina beragama Islam ini mendapat reaksi pelbagai pihak. Pandangan
Ridhuan didokumentasikan di blog ini bagi tujuan rujukan masa depan.
Majlis
Madrasah India Muslim Malaysia (MIM) memberi maklumat kepada saya mengenai
kontroversi filem Vishwaroopam, yang dihentikan
penayangannya buat sementara waktu oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), ekoran
banyak adegan menghina agama Islam. Malangnya, parti politik India komponen Barisan Nasional (BN), mendesak mahukan
filem ini terus ditayangkan kerana pada mereka ia hanya lakonan. Jahil sungguh
mereka dalam memahami budaya masyarakat Islam.
Bayangkan jika orang India Muslim tidak tampil ke hadapan, sudah tentu ultra kiasu ini bersorak gembira. Jika ikhlas, sepatutnya merekalah yang tampil ke hadapan memaklumkan perkara ini kepada KDN.
Berikut adalah ringkasan penghinaan yang sengaja dilakukan terhadap agama Islam yang mulia ini. Pertama, umat Islam digambarkan sebagai pengganas. Kedua, Kitab suci al-Quran katakan sebagai rujukan pengganas. Ketiga, pakaian wanita berhijab/purdah tempat menyimpan senjata api dan bom. Keempat, ayat-ayat al-Quran dibaca bagi memulakan aktiviti jahat. Kelima, pengikut Taliban dikaitkan dengan penyembelihan manusia dan keenam, agama Islam digambarkan sebagai agama yang tidak berperikemanusiaan.
Apa tujuan filem ini sebenar? Bagaimana filem ini boleh terlepas? Walaupun KDN telah menarik penayangannya buat sementara waktu, itu bukan bermakna kita perlu berdiam diri dan berbaik sangka dengan mengatakan ia tidak disengajakan? Bagaimana jika kita melakukannya terhadap agama lain?
Difahamkan sebanyak 16 penyuntingan akan dibuat sebelum tayangan semula dilakukan. Siapakah yang menyunting filem ini sebelum ditayangkan? Orang Islam atau orang bukan Islam? Apakah patut mereka dilepaskan begitu sahaja?
Isu agama adalah amat sensitif. Pantang sekali agama Islam dipermainkan dalam apa juga bentuk sekalipun. Contoh, isu kalimah ALLAH, karikatur Nabi Muhammad SAW dan sebagainya. Apatah mempermainkan kitab suci al-Quran. Agama tidak boleh dijadikan bahan gurauan atau sindiran.
Bayangkan selepas ini kita menerbitkan filem menghina agama lain. Tentu kita masih ingat isu peristiwa perarakan kepala lembu suatu masa dahulu. Begitu juga dengan anak muda Melayu yang masih meringkuk di dalam penjara akibat cubaan membakar gereja. Malangnya, apabila anak muda bukan Islam mencampak kepala babi ke dalam surau, maka tidak dikenakan tindakan.
Apabila kena kita, tidak mengapa. Tetapi apabila kena kepada mereka, tidak boleh. Budaya politik rimba apakah ini? Kesabaran umat Islam ada had. Walaupun orang berpecah, itu bukan bermakna bukan Islam boleh mengambil kesempatan sewenang-wenang dan mempermainkan kita.
Pernahkah kita bersungut ketika perayaan Thaipusam? Seminggu sebelum perayaan, seluruh kawasan sekitar Batu Caves sesak. Kenderaan diparkir sesuka hati. Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah tidak ada warna lain lagi di negara ini.
Hari ini pergilah ke mana sahaja. Jika dahulu, rumah ibadat dan patung-patung tidak banyak kelihatan meriah. Kalau adanya pun agak suram dan tidak nampak tombolnya. Tetapi selepas PRU 12, keadaan jauh berubah. Mereka mendapat peruntukan sana sini, pusat dan negeri. Rumah ibadat kecil menjadi besar, tombol rendah menjadi tinggi dan berwarna-warni.
Apa yang saya lihat, kita sudah memberi segala-galanya bagi menagih simpati dan undi. Negara ini tidak ada lagi identiti. Agenda Islam dan Melayu entah ke mana. Saya amat yakin jika BN menang sekalipun dalam PRU 13 ini, keadaan tidak ada bezanya dengan apa berlaku hari ini. Kita akan terus menjaga hati orang lain daripada hati sendiri.
Persoalan saya, apakah agenda kita hanya untuk pilihan raya? Kita tidak bertegas dalam melaksanakan agenda negara. Tidak cukup dengan kontroversi filem tersebut, amat meloyakan apabila semua parti komponen BN meramalkan mereka akan menang banyak kerusi yang ditandingi dalam PRU 13. Hairannya, kerusi yang diramalkan menang dan mahukan itu adalah kerusi yang ditandingi kawasan majoriti Melayu.
Mereka mendesak diberikan tambahan kerusi. Jika benar-benar ikhlas, pergilah menawarkan diri bertanding di kawasan majoriti ultra kiasu (Cina). Mintalah kerusi sebanyak mana pun. Tetapi beri laluan kepada orang Islam bertanding di kawasan majoriti Melayu.
Saya cadangkan agar PRU 13, jika kita mahukan sangat orang India bertanding di kawasan majoriti Melayu, carilah kalangan India Muslim seperti KIMMA dan MIM, tetapi bukan mereka yang tidak Islam. Orang Melayu tidak teragak untuk memangkah mereka, tetapi apakah mereka memangkah kita apabila laluan diberikan? Apakah mereka akan menjaga dan menghormati sensitiviti agama Islam. Kontroversi filem Vishwaroopam jelas menunjukkan mereka langsung tidak sensitif terhadap agama rasmi negara ini.
(Tulisan Ridhuan Tee
Abdullah, seorang individu
keturunan Cina, disiarkan di akhbar Sinar Harian pada 18 Februari
2013. Untuk rekod, saya tidak pernah menaruh walau setitik rasa hormat terhadap individu ini sejak dahulu. Pendirian saya tidak pula berubah
berikutan penyiaran tulisan ini. Sila rujuk juga makalah Antara Konvoi Rumah Ibadat dan Ultra Kiasu dan kenyataan media Ridhuan Tee Perlu Didakwah.)
Komen Pyanhabib Rahman pada 20 Februari 2013:
ReplyDeleteSAUDARA baru Ridhuan Tee Abdullah, apakah yang merasuk otak anda semasa anda merujuk perayaan Thaipusam yang disambut setahun sekali itu? Kata anda, `Seminggu sebelum perayaan, seluruh kawasan sekitar Batu Caves sesak. Kenderaan diparkir sesuka hati.' Saya sekadar bertanya, bagaimana disiplin kita yang beragama Islam meletak kenderaan semasa menunaikan solat Jumaat pada setiap minggu? Kata anda lagi, `Lautan manusia satu warna berhimpun, seolah-olah tidak ada warna lain lagi di negara ini.' Ketika anda menulis ayat tersebut, apakah yang merasuk anda? Adakah anda terbayangkan warna kulit anda yang kuning langsat itu? Maaf, bertanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ridhuan-tee-abdullah/kesabaran-umat-islam-ada-had-1.132091