Berikut komen beberapa individu yang menjadi penyumbang modal sosial bagi menjayakan projek penerbitan buku Bhagavad Gita (2021).
“Saya sedia menyumbang apabila melihat iklan atau post di Facebook disebabkan kepercayaan terhadap penulis dan karya beliau. Segala usaha Uthaya dalam menghasilkan sesebuah karya harus dibukukan. Saya akan berasa terharu apabila melihat buku berjaya diterbitkan dan dipaparkan di dinding Facebook. Saya gembira kerana sumbangan kecil yang saya berikan mampu mengurangkan beban penulis tersebut.” – Thiruselvam K. Padmanabhan (Klang, Selangor)
“Bagi saya, sumbangan yang diberikan ini tidaklah seberapa berbanding dengan ilmu dan kebenaran (fakta) yang diperoleh oleh pembaca. Saya inginkan kebenaran melalui fakta disampaikan kepada pembaca agar mereka tahu dan sedar akan cerita sebenar.” – Hanusuya Gunasegran (Seremban 2, Negeri Sembilan)
“Sumbangan? Taklah! Bagi saya, saya cuma membayar untuk buku yang hendak dibeli (prabayar). Saya memang berniat untuk membeli buku Uthaya setelah diterbit nanti. Jadi, apabila diminta sumbangan dengan menghadiahkan buku (lebih daripada sebuah) siapa tak nak? Umpama minum air sambil menyelam!” – Murali Mohan (Kota Tinggi, Johor)
“Saya sedia salur modal kewangan yang kecil bagi buku yang belum wujud (belum terbit) kerana saya yakin dan berani membuta tuli terhadap penulis ini. Perasaan saya amat bangga di mana saya berpeluang menjadi salah seorang tapak atau batu loncatan kepada impian Uthaya menerbitkan buku. Lahir rasa gembira dalam hati kerana walaupun saya tidak mampu menulis sebuah buku, saya berpeluang memberi sumbangan kepada penulis untuk menerbitkan bukunya.” – Prem Kanna a/l Dorairaj (Rawang, Selangor)
“I am honoured to be able to participate in Uthaya’s publishing projects since I have every confidence that the books he will publish are of good quality and beneficial to those who read. By supporting Uthaya’s initiatives, I feel that I am also indirectly contributing to the national archive of high standard local publication. I am very happy and pleased that Uthaya achieved his missions – time and again.” – Naz Ghazali (Bangsar, Kuala Lumpur)
“Kepercayaan kepada Uthaya menjadi pendorong. Penulis menghasilkan karya yang berkualiti dan bermutu untuk dijadikan santapan minda generasi akan datang. Selalunya tulisan Uthaya merangkumi maklumat tentang pelbagai kaum. Unik dan luar biasa cara menyampaikan. Saya seronok membaca buku-buku beliau, maka tampil menyokong sebagai penyumbang.” – Sasitharan SG (Ayer Itam, Pulau Pinang)
“Saya seorang yang gemar membaca. Majalah ilmiah dan buku bukan fiksyen menjadi pilihan saya. Buku yang diterbitkan oleh Uthaya sangat bermutu dengan bahasa yang mudah difahami. Kebanyakan buku tersebut sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Saya mula memberikan modal sosial kerana saya yakin dengan kandungan yang bermutu dan jalan cerita yang menarik dalam buku-buku tersebut. Tidak sekali pun saya rasa tertipu dengan kualiti bahan bacaan yang saya peroleh melalui sumbangan modal sosial. Malah, saya lebih yakin untuk memberikan sumbangan pada masa akan datang.” – Anuradha Chelliah (Banting, Selangor)
“Saya berasa bangga dan amat berbesar hati dapat menyumbang kepada buku-buku terbitan Uthaya Sankar SB kerana beliau menerbitkan buku-buku berkaitan masyarakat India dan agama Hindu dalam Bahasa Malaysia. Usaha menerbit buku sendiri sebegini dilihat sebagai suatu usaha baik demi memastikan keaslian karya serta penyebaran kepada orang ramai melalui modal sosial daripada penyokong serta kenalan beliau. Ini adalah usaha yang amat wajar dicontohi.” – Calvin Ohsey ak Ah Sen (Bau, Sarawak)
“Bukan untuk semua penulis saya berani beri sumbangan modal sosial. Sebagai rakan Uthaya dan tahu akan kualiti buku-buku beliau, saya berasa bangga kerana dapat menyumbang. Buku-buku beliau tergolong dalam kategori ‘sudah pasti akan terbit’ serta mengandungi ilmu pengetahuan yang harus diketahui oleh semua lapisan masyarakat. Semoga sumbangan kecil saya turut membawa manfaat kepada khalayak pembaca.” – M. Mahendran (Bentong, Pahang)