Malah, katanya, penulis bernama Leonard Loar juga telah mengaitkan kisah pergelutan Rama dan Ravana yang terdapat dalam cerpen saya. Dia bertanya sama ada saya telah memberikan izin kepada Leonard Loar untuk berbuat demikian.
Seorang lagi penulis menelefon saya dan mengucapkan tahniah. Katanya, walaupun saya menggunakan nama samaran, dia dapat meneka sayalah penulis penulis “Sasterawan Pulau Cinta”. Gaya bahasa dan teknik penulisan telah membantunya mengecam karya saya.
Pada masa yang sama, seorang lagi rakan penulis tidak mahu percaya bahawa Leonard Loar adalah saya! Ini kerana dia hanya mengenali nama-nama pena Shafie Uzein Gharib dan Hanuman O.
Insiden itu membuatkan saya berfikir tentang fungsi dan kedudukan “nama pena” dan “nama samaran”. Apakah ada perbezaan antaranya. Dan apakah ia membawa kesan baik atau sebaliknya menimbulkan kekeliruan semata-mata?
Antara nama pena yang dapat saya fikirkan ialah Pak Sako, Keris Mas, Arena Wati, Tongkat Warrant dan Pungguk. Nama-nama ini, saya kira, bermula sebagai nama samaran. Penulis terpaksa ‘menyamar’ bagi mengelakkan pihak tertentu daripada mengesan identiti sebenar mereka.
Akan tetapi, lama-kelamaan, nama-nama samaran ini beransur menjadi nama pena. Para penulis sudah mula menanggalkan nama samaran mereka. Tambahan pula negara sudah merdeka.
Namun begitu, nama-nama samaran yang digunakan terus sebati dengan jiwa penulis-penulis berkenaan. Lalu, nama samaran yang digunakan bertukar menjadi nama pena.
Malah ada kalanya nama pena/nama samaran itu lebih diketahui umum berbanding nama sebenar penulis berkenaan. Tetapi tidak semua penulis menggunakan nama samaran.
Shahnon Ahmad dan Azizi Abdullah, misalnya, masih boleh bersuara lantang melalui karya-karya mereka tanpa perlu berselindung di sebalik nama samaran mahupun namapena. Saroja Theavy Balakrishnan, Lim Swee Tin, Othman Puteh, Zainal Rashid Ahmad dan ramai lagi penulis, setahu saya tidak menggunakan nama pena.
Pun begitu, penulis pada zaman selepas merdeka masih gemar menggunakan nama pena. Dalam hal penggunaan nama pena, khalayak pembaca biasanya tahu siapakah penulis itu. Nama sebenar penulis biasanya disebutkan dalam biodata. Jadi, tidak timbul soal penulis “menyamar”.
Bagaimanapun, ada kalanya nama pena seseorang lebih dikenali berbanding nama sebenar. Sekadar contoh ialah Anis, Mattaib Nordin, Chulan Chin, Nassury Ibrahim, Anwar Ridhwan dan Zaen Kasturi.
Tidak ramai yang kenal Mohd Anuar Rethwan, Zainal Palit dan Muniyamin Ibrahim. Ramai pula pengkaji memasukkan nama Chulan Chin dalam senarai penulis Bukan Melayu.
Timbul juga situasi di mana nama sebenar dianggap oleh pembaca sebagai nama pena/samaran. Sekadar contoh ialah Mawar Shafei, Putri Al-Inshirah dan Monalita Mansor.
Terdapat pula penulis yang menggunakan nama pena wanita; contohnya Nora.
Saya sendiri menggunakan nama-nama pena Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Leonard Loar. Kebanyakan khalayak sastera sudah sedia mengetahui nama-nama pena ini. Jadi ia bukannya “nama samaran”.
Saya gunakan nama-nama pena ini mengikut kesesuaian. Shafie Uzein Gharib biasanya saya gunakan pada cerpen-cerpen berunsur Islam manakala Hanuman O bagi cerpen-cerpen parodi daripada epik Ramayana.
Tetapi kebelakangan ini, editor akan meminta saya mengekalkan nama sebenar pada by line. Kata mereka, ada demand bagi karya-karya yang ditulis oleh “Uthaya Sankar SB”!
Akan tetapi ada kalanya pula editor sendiri meminta saya menggunakan nama pena. Hal ini biasanya terjadi apabila karya saya agak kerap mendapat tempat di media yang saya. Malah, saya juga kadang-kadang menggunakan nama-nama samaran (dirahsiakan) apabila disarankan oleh editor.
Nama pena yang digunakan harus mempunyai individualiti. Pilihlah sesuatu yang asli. Sebenarnya, tidak ada syarat atau peraturan dalam pemilihan nama pena. Cuma anda harus bersedia untuk terus mengekalkan nama itu. Jangan sampai menyesal kemudian.
Misalnya, Wan Omar Ahamed mengakui di Perhimpunan Penulis Muda Malaysia III (2-4 Jun 1995) bahawa beliau terasa janggal apabila rakan-rakan masih memanggilnya “Saudara Sutung Umar”. Begitu juga apabila Usman Awang masih digelar “Tongkat Warrant”.
Bagi saya pula, saya cukup selesa dan tetap berbangga apabila dipanggil menggunakan nama-nama pena: Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Leonard Loar.