24 Nov 2021

Didik Masyarakat Kesalahan Plagiat

KEHANGATAN isu plagiarisme, terutama di media sosial, memang lumrah dalam era teknologi maklumat kerana hak menyatakan pandangan sudah dikuasai masyarakat umum tanpa batas.

Berbanding dengan era media tradisional, media baharu memberikan kuasa kepada sesiapa sahaja untuk masuk ke dalam bandwagon atau sampan tunda, memberikan pendapat, malah menjatuhkan hukuman kepada sesiapa sahaja dianggap bersalah. Inilah sifat citizen journalism atau kewartawanan awam.

Justeru, terjadi keributan dalam media sosial, malah dalam sembang tertutup kalangan pengarang mengenai satu kes dikatakan perbuatan plagiat oleh seorang penulis daripada karya orang lain dan kemudian disiasat satu demi satu untuk membongkar perbuatan berkenaan.

Satu hantaran dalam media sosial disambut ghairah warga media dengan pelbagai nada, termasuk tuntutan supaya individu itu diberi hukuman berat dengan menarik anugerah pernah diterima.

Hakikatnya, plagiarisme salah di sisi undang-undang. Berdasarkan laman web Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), perlindungan undang-undang diberikan terhadap pemilik asal karya.

 

Perlindungan itu terkandung dalam Akta Hakcipta 1987 yang kemudian dipinda pada 1997 berikutan masalah pemindahan karya hak cipta melalui internet. Semuanya jelas, tetapi huraian permasalahan itu perlu dibuat menurut undang-undang. Dalam situasi kini, setiap ‘kesalahan’ tertakluk kepada undang-undang sivil, apatah lagi membabitkan individu.

Individu melakukan kesalahan perlu dirujuk kepada sistem perundangan sedia ada. ‘Salah laku’ itu pun bukannya membabitkan kerosakan pada ketenteraman awam. Oleh itu, lebih harmoni jika ia diselesaikan menurut perundangan, bukan secara ‘anarki’ hingga menafikan hak pihak lain bersuara atau membela diri.

Baca juga Ketika Institusi Bisu, “Anarki” Bangun Melondeh Penciplak (Malaysiakini, 23 November 2021)

Selain itu, sekiranya ada mana-mana institusi terasa teraniaya, berikan ruang kepada mereka mengambil tindakan sewajarnya. Setiap institusi memiliki tatacara tersendiri dalam apa-apa sahaja urusan membabitkan hukuman disiplin atau kesalahan tata laku.

Bagaimanapun, hak membuat hukuman sudah jatuh ke tangan orang awam. Perbuatan pelaku bukan sahaja dianggap melanggar undang-undang, bahkan dianggap tidak bermoral dan tidak beretika.

Lanjutan itu, seorang ‘pesalah’ diberi hukuman dalam media sosial yang secara moralnya, hukuman itu sudah diterima si pelaku berdasarkan beberapa petanda.

Persoalannya, apakah semua orang berhak menjatuhkan hukuman selagi si pelaku tidak menerima hukuman daripada pihak berkuasa? Bukankah setiap hukuman mesti berdasarkan tatacara teratur, bukannya hanya berdasarkan persepsi awam.

Benar plagiarisme bukan sahaja salah dari segi undang-undang dan moral sekiranya kesalahan itu disabitkan menurut undang-undang. Tidak ada pertikaian dari segi perkara itu, tetapi sekali lagi dinyatakan serangan awam terhadap seorang pelaku dalam media sosial sebenarnya bukan bertujuan menghapuskan plagiarisme bahkan membunuh jiwa seseorang. Hak itu tidak ada pada orang awam.

Lantaran negara kita ada undang-undang, eloklah semuanya dibuat menurut kaedah betul, bukannya secara anarki. Barangkali juga konsep plagiarisme belum difahami semua penulis. Dalam dunia akademik, plagiarisme ditentang hingga ada peraturan supaya setiap tesis diuji dengan perisian Turnitin untuk memastikan plagiarisme tidak berlaku.

Namun, sepanjang pemerhatian, dalam amalan penulisan ilmiah atau separa ilmiah, banyak perbuatan plagiat dilakukan tanpa disedari penulis. Kekurangan pengetahuan perlu diatasi dengan memberikan penjelasan mengenai maksud plagiarisme.

Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Disiarkan di Berita Harian (23 November 2021). Reaksi Uthaya Sankar SB — “Ketika Institusi Bisu,‘Anarki’ Bangun Melondeh Penciplak(Malaysiakini, 24 November 2021).