25 Aug 2025

“Nayagi” — Pandangan Vasudevan Letchumanan

Mungkin ini kali ketiga saya membaca semula cerpen “Nayagi” dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013). Namun, pembacaan semula pada kali ini memainkan semula babak-babak sejarah tahun 1940-an dan 1950-an, mengingatkan kisah pembunuhan Mahatma Gandhi, serta peristiwa sebelum kemerdekaan Indonesia dan Malaya (Tanah Melayu). Imbasannya bukan hitam putih, tetapi berwarna dalam tirai minda.

Watak utama iaitu Madhavi terserlah umpama puisi-puisi bertema pembebasan wanita atau pen viduthalai (பெண் விடுதலை) dalam karya Mahakavi Bharati!

Cerpen ini memperkisahkan konsep “kemerdekaan” diri watak utama iaitu seorang gadis (wanita). Namun, di sebalik kisah ini, penulis berjaya mengatur langkah strategik menyemai unsur semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang boleh bersatu dan hidup damai walaupun berbeza pendapat.

Saya turut terasa seronok apabila membaca bahagian yang menyebut “… di negara ini akan lahir seorang Sudirman!” Sebagaimana kita semua tahu, lagu-lagu patriotik nyanyian Allahyarham Sudirman Arshad masih dimainkan setiap tahun  pada bulan kemerdekaan di radio dan televisyen.

Saya seiring pandangan dengan Retna Devi Balan yang menyunting cerpen “Nayagi” bagi buku Kisah dari Siru Kambam. Sesungguhnya, penulisan Uthaya Sankar SB hanya untuk mereka yang sanggup berfikir.

[Reaksi ini dikirim oleh Vasudevan Letchumanan (Skudai, Johor) pada 25 Ogos 2025. Beliau menyertai Bicara Bharati di Anak Baba (23 Ogos 2025). Beliau akan turut terlibat dalam Bicara Nayagi dan Pameran Solo Sai Vijay (27 September 2025).]