4 Apr 2018

Malaysia Rangkul 6 Anugerah NTFF


Malaysia berjaya merangkul enam anugerah berprestij di Festival Filem Tamil Norway (NTFF) menerusi dua filem dan dua filem pendek.

Filem Thottam (2017) arahan Arangkannal Raj mengangkat kisah perjuangan penduduk sebuah estet yang menuntut hak berikutan ladang tempat mereka bekerja sejak turun-temurun dijual bagi tujuan pembangunan. Filem ini meraih Anugerah Filem Terbaik. [Tonton Treler Thottam]


Sementara itu, filem Sughamaai Subbulakshmi terbitan M A Productions House Sdn Bhd mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Pengarah Terbaik bagi Karthik Shamalan, dan Anugerah Pelakon Wanita Terbaik bagi Punitah Shanmugam. [Tonton Treler Sughamaai Subbulakshmi]


Filem ini yang turut menampilkan pelakon seperti Saresh D7, Bagya Arivuckarasu, Kuben Mahadevan dan G Crack Karnan bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 17 Mei 2018. [Senarai Pawagam]

Sughamaai Subbulakshmi menyajikan kisah dilema dan keperluan membuat pilihan antara cinta dan cita-cita. Ia mengungkapkan tema cinta dari sudut yang agak berbeza. Perasaan cinta, persahabatan dan impian mencapai cita-cita disajikan menerusi kehidupan watak-watak utama pada usia yang berbeza. [Ulasan Penuh]


Dalam kategori filem pendek pula, Thiruvin Manggai arahan Viknish Lokarag Asokan menerima Anugerah Filem Pendek Terbaik. Ia mengangkat kisah seorang pemuda cacat penglihatan yang menaruh hati terhadap seorang wanita yang pernah dikecewakan kekasih. [Tonton Thiruvin Manggai]


Dua lagi anugerah menjadi milik Malaysia menerusi filem pendek Mudhal Padayal iaitu Anugerah Pengarah Terbaik bagi Mathankumaran Madawan, serta Anugerah Khas Juri untuk Dinakaran Ramesh.

Festival Filem Tamil Norway Ke-9 berlangsung di Oslo, Norway pada 26-29 April 2018. Ia bertujuan mengiktiraf filem, filem pendek, dokumentari, dan video muzik Bahasa Tamil yang dihasilkan di Sri Lanka, Tamil Nadu (India), Malaysia, Kanada, Norway, Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Oman, Denmark dan Jerman.

[Kenyataan media ini disiarkan di Malaysiakini pada 2 April 2018.]

Pertanyaan dan Maklumat Lanjut

012-5594708 (Dato’ Murugan Alimuthu – Telefon & WhatsApp)
011-11411952 (Uthaya Sankar SBWhatsApp)
018-2214269 (Uthaya Sankar SB – Telefon)