24 Apr 2010

Dua Alam

M. Mahendran, “Dua Alam” dalam Kamariah Mohamed Ali (ed.), Tanpa Mengira Warna (KL: DBP, 1993), hlm. 99-109.
..
Punitha kononnya dirasuk hantu. Dia meracau-racau dan berkelakuan aneh. Keadaan ini membimbangkan emaknya. Punita sering kali berkata bahawa dia mahu pergi; tetapi entah ke mana. Apabila ditanya ke mana, katanya “Saya nak ikut dia. Dia panggil saya. Saya mesti pergi!”
.
Si emak sedaya upaya berusaha meredakan tingkah laku aneh anak gadisnya. Namun Punitha tetap berkeras hendak pergi.
.
Tiba-tiba dalam khayalan Punitha, dia berada di dalam sebuah gua yang sangat gelap. Muncul seorang lelaki yang berpakaian agak ganjil. Pakaiannya seperti pakaian zaman purba. Punita terasa gerun melihatnya. Lelaki itu memegang tangan Punita dengan kasar dan memimpinnya menuju ke sebuah dewan yang luas.
.
Punita diberitahu bahawa dia perlu tinggal di tempat itu. tubuhnya dililit dengan tali. Gadis itu gagal melepaskan diri. Bagaimanapun, Punita diberitahu bahawa segala permintaannya akan dipenuhi – kecuali permintaan untuk dibebaskan. Lalu Punitha meminta makanan.
.
Punita berada kembali di alam nyata; di atas katil di bilik tidurnya. Dia kembali terdiam. Tidak lama kemudian, dia meminta makanan. Apabila makanan dihidangkan, Punitha makan dengan gelojoh. Tetapi segera pula dia meludahkan nasi itu. Dia meminta daging ayam dan kambing.
.
Sejurus selepas itu, Punita berada di alam lain sekali lagi. Di sekelilingnya terdapat tengkorak manusia. Tiba-tiba muncul sekumpulan manusia purba yang bertanduk seperti kerbau. Mereka membawa dulang berisi makanan: ayam, kambing dan ikan. Punitha makan sehingga kenyang.
.
Kemudian dia tertidur. Apabila dia bangun, dia berada semula di alam nyata. Seorang bomoh India bernama Veerapandian telah datang untuk menghalau hantu yang kononnya merasuk Punitha. Pelbagai jampi dibaca. Namun, Punitha dengan berani mengarahkan bomoh itu supaya keluar dari rumahnya. Dua orang pembantu si bomoh cuba memegang Punita. Tetapi gadis itu tiba-tiba sahaja memiliki kekuatan untuk mampu melawan mereka.
.
Serta-merta Punita mendapati dirinya sedang diheret oleh empat lelaki berperut buncit dan bertanduk kerbau menuju ke ruang lain di dalam gua tadi. Dia dimasukkan ke dalam kurungan. Tidak lama kemudian, lebih ramai lagi manusia purba menuju ke arah tempat Punitha terkurung sambil menari-nari. Salah seorang daripada mereka membawa sebilah parang yang agak panjang.
.
Si bomoh terus berusaha menyelamatkan Punita daripada rasukan hantu. Bomoh itu mengakui bahawa hantu yang merasuknya sangat kuat. Namun, dia terus berusaha menghalau hantu berkenaan.
.
Di alam khayalan, Punitha diseret menuju ke kuali besar yang diletakkan di atas dapur. Minyak di dalam kuali itu mendidih. Barulah Punitha mula tertanya-tanya bagaimana dia boleh berada di masa silam. Dia mula meronta-ronta untuk melepaskan diri. Punitha mendapat tahu bahawa dia akan dikorbankan untuk dewa yang disembah oleh manusia purba tersebut.
.
Tiba-tiba Punitha membuka mata dan terpandang si bomoh. Bomoh itu terasa gembira kerana pada fikirannya hantu yang merasuk Punitha sudah berjaya dihalau. Bagaimanapun, Punitha tiba-tiba menggigit tangan bomoh Veerapandian. Rupa-rupanya gadis itu masih belum pulih.
.
Akhirnya Punitha dibawa ke hospital sakit mental untuk rawatan. Doktor mengesahkan bahawa gadis itu sakit jiwa. Dia masih terus meracau dan bercakap sendirian; kononnya bersama kumpulan manusia purba yang terus meletakkannya dalam sebuah kurungan.
..
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998).

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!