17 Nov 2014

Thanusya Shanmuganathan

Anak jati Selangor dan anak bongsu daripada enam adik-beradik, Meera Natasya atau nama sebenarnya, Thanusya Shanmuganathan, merupakan seorang graduan Sarjana Muda Sastera Universiti Malaya. Bekas wartawan akhbar ekonomi The Malaysian Reserve ini mula bergiat secara aktif dalam bidang sastera sejak di bangku sekolah rendah lagi. Karya-karya beliau ketika itu hanya dicoretkan untuk tatapan rakan-rakan sekelas.

Pertama kali beliau membaca novel Melayu adalah ketika menuntut di Sekolah Menengah (P) Sri Aman, Petaling Jaya. Novel pertama yang dibacanya ialah novel yang menjadi novel wajib Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan Empat, Bukit Kepong, novel sejarah nukilan Ismail Johari. Dari sana, beliau diperkenalkan dengan novel berunsur cinta melalui novel KOMSAS Tingkatan Lima, Konserto Terakhir nukilan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain.

Minat beliau terhadap sastera mula berkembang dan beliau giat menghasilkan novel berantai dan skrip untuk bacaan kawan-kawannya. Berkat sokongan kawan-kawan, beliau serius menimba ilmu dalam bidang penulisan ketika menjadi pelajar di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Beliau mula mengumpul dan membaca novel Melayu dan kini sudah mempunyai lebih 200 buah novel dalam koleksinya.

Setelah tamat belajar di Universiti Malaya, beliau mencuba pelbagai pekerjaan yang semuanya tergolong dalam bidang media, dengan tujuan mencari pengalaman. Namun, minatnya terhadap sastera semakin membara dalam hati. Beliau mula menghadiri bengkel penulisan dan menjadi ahli aktif dalam kumpulan Mari Menulis di Facebook. Grup yang diasaskan oleh beberapa penulis senior dalam bidang penulisan tanah air itu menjadi sumber rujukan buat Thanusya kerana setiap hari, beliau didedahkan dengan ilmu baru mengenai penulisan dan penghasilan karya yang bermutu.

Sedikit demi sedikit, beliau mula menulis dan karya-karya beliau mula disiarkan dalam blog Wordpress milik beliau untuk tatapan kawan-kawan di laman Facebook. Pada awal penulisan, genre yang menjadi fokus adalah genre cinta. Namun, setelah banyak membaca dan menganalisis karya penulis-penulis lain, beliau mula menghasilkan karya yang lain daripada yang lain.

Dengan itu, maka terhasillah karya sulung beliau, Tak Sengaja Cinta (Penerbitan Fajar Pakeer: Oktober 2014). Novel tersebut berkisar mengenai watak Sanjana yang diburu seorang lelaki yang obses terhadap dirinya. Novel itu bukan sahaja sebuah cerita, tetapi sebuah kitab yang menyentuh mengenai adat dan budaya masyarakat Hindu di Malaysia. Inilah matlamat utama beliau menulis novel Melayu. Beliau ingin memperkenalkan kepada pembaca pelbagai kaum mengenai adat dan budaya masyarakat India. Menurut beliau, karya-karya yang menyentuh mengenai unsur budaya India tidak begitu menyerlah di Malaysia. Beliau berjanji untuk terus menghasilkan karya yang menitipkan mesej-mesej yang bermanfaat kepada pembaca.

Thanusya bukan sahaja menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia, tetapi juga dalam Bahasa Inggeris, yang boleh dibaca dalam blog beliau. Kebanyakan sajak nukilannya menyentuh mengenai kehidupan seharian beliau, termasuklah cinta, persahabatan, dan keluarga.

Beliau kini seorang pelajar separuh masa program Sarjana Pengajian Penerbitan di Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera, Universiti Malaya, di samping bertugas sebagai Pelatih Pengurusan di Kedai Buku MPH. Beliau tinggal bersama keluarganya di Petaling Jaya dan berhasrat menjadi seorang penulis berkualiti kelak.


* Maklumat yang terkandung dalam biodata ini dikirimkan oleh penulis pada 16 November 2014 untuk tujuan dokumentasi Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). [Rujukan lanjut: BIODATA SASTERAWAN KAVYAN]