Kumpulan Cerita Rakyat India
Diceritakan semula oleh: Uthaya Sankar SB
Antologi Munis dengan Harimau (Fajar Bakti, 1996) mengumpulkan enam buah cerita rakyat India yang diambil daripada tradisi penceritaan lisan. Kesemua enam cerita ini diceritakan semula oleh Uthaya Sankar SB dengan olahan bahasa yang segar dan menarik. Cerita-cerita daripada tradisi lisan ini juga telah ditokok tambah dan diubah suai mengikut perkembangan semasa.
Kesemua enam cerita rakyat dalam kumpulan ini mempunyai banyak unsur murni dan teladan. Munis dengan Harimau sesuai bagi bacaan pelajar sekolah menengah rendah, khasnya pelajar tingkatan peralihan.
Kisah Gadis Kecil menceritakan tentang Malliga yang yatim piatu dan didera oleh Mak Cik Saras. Lantaran budi baik dan sifat-sifat murni yang dimiliki, Malliga dibantu oleh Chittu, seekor burung pipit sehingga akhirnya gadis itu menjadi anak angkat raja dan permaisuri di negeri Kerala.
Munis dengan Harimau pula mengisahkan seorang pemuda yang mahu dibaham oleh seekor harimau yang diselamatkannya. Si gajah, si ayam jantan dan si lembu menyokong tindakan sang harimau yang tidak mengenang jasa pemuda itu. Walau bagaimanapun, seekor serigala bernama Nari berjaya menyelamatkan Munis dengan cara yang licik.
Puspa dan Kanaga mengisahkan tentang Navamani yang meninggalkan dua orang anak perempuannya di dalam hutan. Kedua-dua gadis berkenaan menemui tempat tinggal seekor gergasi di tengah hutan. Setelah membunuh gergasi itu, Puspa dan Kanaga menyelamatkan seorang perempuan tua yang dijadikan tawanan oleh gergasi itu.
Melalui cerita Raja yang Kejam pula dikemukakan watak Maharaja Athiputra yang memerintah secara zalim. Pada suatu hari, dia berjaya mendapat tahu tarikh dan punca kematiannya. Lalu dia berusaha keras untuk menyelamatkan diri daripada maut. Akan berjayakah Maharaja Athiputra melawan takdir Tuhan?
Si Keldai dan Si Kuda memaparkan kisah tentang seekor kuda yang penat kerana terpaksa bekerja keras. Lalu rakannya, si keldai mencadangkan agar si kuda melarikan diri ke dalam hutan. Di sana, si kuda berjaya pula menghalau sang harimau dengan menyamar sebagai Kudrai. Sementara itu, setelah si kuda hilang, si keldai pula dikerah bekerja keras. Lalu si keldai juga lari ke dalam hutan. Akan tetapi, si kuda tidak mahu menolongnya. Maka si keldai membalas dendam terhadap perbuatan si kuda.
Secara umum, Munis dengan Harimau mengumpulkan cerita-cerita rakyat India yang cukup menarik, menghiburkan, bernilai didaktif, berunsur moral, mempunyai nilai-nilai murni serta merangsang pemikiran kreatif dan kritis di kalangan pembaca remaja. Pembacaan buku ini pasti memberi manfaat kepada para remaja. Malah buku ini juga sesuai bagi bacaan ibu bapa yang ingin bercerita kepada anak-anak mereka.
[Petikan Pendahuluan dalam buku Munis dengan Harimau]