“Salah satu makalah terakhir Allahyarham Dr Othman Puteh ... disampaikan pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum V di Hotel Promenade, Kota Kinabalu pada 23 Ogos 2003.” - Warta Gapena, November 2003
Menelusuri Jalur Kepengarangan Uthaya Sankar SB
Oleh Dr Othman Puteh
Hingga pada akhir abad ke-20, tidak kurang daripada 60 pengarang kaum India terlibat menyumbang dalam kehidupan jagat kesusasteraan moden di tanah air. Jalur kepengarangan pengarang-pengarang kaum India – seperti halnya pengarang sastera kreatif kaum lain – jelas mempunyai kecenderungan pemikiran dan sikap hidup, mencipta karya sastera genre kreatif yang bernilai estetik, dengan pengucapannya punya relevansi kepada konteks zamannya dan masyarakat yang cenderung pula mencetuskan pelbagai isu acuan kepada tafsiran nilai dan pemikiran pengarang, yang tidak mustahil dengan segala kemungkinan punya kuasa mendorong dan atau memaksa; atau sekali gus memperuntukkan wahana @ wacana kebebasan kepada pengarang menghantar ideologi, dasar anutan yang tentunya punya signifikan dan relevan serta logik berlandaskan konvensi kepengarangan yang diyakini bagi menemu dan atau menghadirkan diri @ teks di hadapan khalayak pembaca.
Dari sisi yang lain pula, apatah lagi jika ditelusuri gerak perkembangan dalam konteks kesusasteraan Malaysia Moden itu sendiri, dapat ditemukan betapa dalam jalur kepengarangan yang melibatkan pengarang kaum India yang berkarya secara konsisten, dominan dan menyerlah bakat kepengarangan ialah Saroja Theavy Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB. Dua nama ini amat menonjol dan kini mungkin disaingi pula beberapa nama baru dalam sayembara penulisan karya kreatif. Begitupun, Saroja Theavy Balakrishnan masih tetap komited, mantap dan menyerlah; di samping Uthaya Sankar SB kembali bangkit daripada “protes”-nya setelah tiga tahun (Ogos 1999 – Ogos 2002) melancarkan semacam suatu pegangan keyakinan dirinya lalu tidak menyiarkan karya-karyanya di mana-mana wadah media cetak yang tidak mengiziniktirafkan pemakaian istilah “Bahasa Malaysia”. [Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut mengenai protes yang dimaksudkan.]
Berkaitan dengan isu “protes peribadi” ini yang agak semacam kurang disedari tetapi ternyata agak kontroversi, sesunggunya bermula selepas tersiarnya cerpen “O” (Dewan Masyarakat, Julai 1999) dan berakhir apabila tersiarnya pula cerpen “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” (Dewan Masyarakat, September 2002).
Anak kelahiran Aulong Lama, Taiping, Perak ini memperoleh pendidikan formal di Sekolah rendah Kebangsaan Aulong, Sekolah Menengah Darul Ridwan, Sekolah Menengah King Edward VII, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya dan Jabatan Persuratan Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia. Dan dengan kelayakan akademik yang sedemikian itu, memungkinkan Uthaya Sankar SB bertugas, menyandang jawatan dan berpengalaman sebagai Penyunting Berita Televisyen (Bahasa Malaysia) di Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta pensyarah kursus Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pengajian Malaysia di beberapa kolej swasta.
Dalam jagat aktiviti sosial dan atau sastera, Uthaya Sankar SB merupakan tenaga penggerak dan bertanggungjawab terhadap Kavyan yang ditubuhkan pada 22 Ogos 1999 serta Baca Cerpen Kavyan secara berterusan selama 96 jam dari 29 Ogos hingga 2 September 2003 di Galeri Shah Alam yang melibatkan sekitar 166 penyertaan dan 385 buah cerpen.
Penglibatan Uthaya Sankar SB dalam jagat penulisan yang sekali gus mencabar kehidupan ujana kepengarangannya bertitik tolak awal sewaktu menghadiri Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur. Pada kesempatan itu, beliau banyak mendengar ceramah SN Arena Wati, SN Shahnon Ahmad dan SN A. Samad Said; di samping dua pembimbing bengkel penulisan genre cerpen (Dr Othman Puteh) dan sajak (Prof Madya Rahman Shaari). Seentara itu, pengarang generasi muda yang ditemuinya, Ahmad Patria Abdullah berkata, “Uthaya, versatility is an advantage. To be able to use the sword with both hands is a great gift.” Tuan Faridah Syed Abdullah menyebut secara simple dan klise, “Sekali menulis, terus menulis”.
Selepas itu, Uthaya Sankar SB terus berkarya dan selepas itu, seluruhnya tercipta mencatat sejarah. Dan sehingga kini, pengarang Uthaya Sankar SB telah menghasilkan 30 buah cerita rakyat yang diadaptasi dan atau diceritakan semula dalam majalah Dewan Pelajar dan buku (kumpulan & antologi); 75 buah cerpen dan telah diterbitkan dalam bentuk buku kumpulan perseorangan iaitu Orang Dimensi, Siru Kambam, Yang Aneh-aneh, Surat Dari Madras (menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/1999 Kategori Sastera Remaja), Nayagi dan Sasterawan Pulau Cinta. Karya cerpennya juga terhimpun dalam antologi Panglima Hitam, Menara 7 dan Vanakam. Sementara itu, lima daripada 75 cerpennya yang baru tersiar semenjak Uthaya Sankar SB “membebaskan dirinya daripada protes peribadi” ialah “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta”, “Air”, “Kathakali”, “Arkitek Keluarga” dan “Cat2”. Dalam penulisan genre lain pula, pengarang generasi baru ini telah menghasilkan novel Panchayat dan Hanuman: Potret Diri serta cerita bersiri berjudul “Perjuangan Berterusan” dalam majalah dwibulanan Nila mulai April 2003.
Beliau yang berketurunan Malayalam pernah menggunakan nama-nama pena Leonard Loar, Shafie Uzein Gharib, Hanuman O dan Kavya.
Dalam usaha menelusuri karya-karya Uthaya Sankar SB – genre cerpen dan genre novel – ditemukan jalur-jalur tertentu yang sekali gus menyerlahkan kekhasan dan keyakinan, kecenderungan dalam pengucapan pemikiran dan sikap hidup pengarang dengan segala isu atau fenomena yang wujud di persekitaran semasa dan sekali-sekala dapat ditelusuri jejak parodi dan intertekstualiti.
Kumpulan cerpen perseorangannya amat ketara pengucapannya terhadap isu-isu kontemporari yang berlangsung di sekitar kehidupan kaum India yang diasosiasikan pula dengan gejolak sosial-politik-ekonomi. Isu-isu itu ditampilkan dengan pemikiran bernas dan serius serta tafsiran yang meminta khalayak pengguna (pembaca) ikut sama memanfaatkan intelek masing-masing dalam upaya menghayat karya tersebut. Apatah lagi, Uthaya Sankar SB amat mengutamakan khalayak pembaca yang cerdik-matang, bukannya peminat @ penghayat popular walaupun nanti saiz jumlah amat kecil. Jelas, pengarang ini mementingkan kualiti audiends berbanding kuantiti.
Tidak sekadar membicarakan masyarakat kaumnya cuma (seperti dalam “Nayagi”, “Persaudaraan Banyan”, “Wanita”, “Doa Tahun Baru” dan “Sebuah Cerita Biasa” yang fokus pemberatannya pada keluarga kaum India-Hindu), dan dengan cerpen-cerpen parodi-interteks (seperti “Bitara Sita”, “Sasterawan Pulau Cinta” dan “Krishna: Potret Diri” yang diangkat daripada Ramayana, Mahabharata dan Krishna Lila); akan tetapi, dalam kasus tertentu, pengarang muda ini berusaha meninggalkan kelaziman menutup diri dalam kelompok sendiri lalu melakukan hijrah memasuki lokasi lain bagi menemukan watak-watak kaum lain dengan anutan kepercayaan yang berbeza (seperti “Orang Pulau”, “Impian Syarif” dan “… dan”).
Meneliti kepengarangan Uthaya Sankar SB, ternyata secara keseluruhannya, pengarang ini yakin diri dan senang dengan karya-karya yang mencabar minda. Justeru, di tangan pengarang ini terhasil cerpen-cerpen yang bernafas dan beraroma baru, cuba melakukan eksperimen, berada pada jalur serba aneh dan kadang kala hadir dengan judul berkonotasi dan atau membawa makna berganda seperti “Liar”, “Cat”, “Air”, “SB” dan “Cat2”.
Sementara novel Panchayat merupakan lanjutan kembangan daripada cerpen “Pancayat” yang mengupas kehilangan dan atau kemisterian berhala emas Kaali Devi. Satu hal yang jelas dan amat disenangi oleh Uthaya Sankar SB dalam berkarya adalah “penampilan budaya, bahasa, adat dan cara hidup masyarakat India yang terdiri daripada beberapa keturunan yang bangga dengan identiti keturunan masing-masing … adalah menjadi tanggungjawab saya menampilkan kebudayaan kaum India untuk tatapan dan pemahaman para pembaca yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia” seperti dinyatakan dalam novel berkenaan.
Pernyataan atau konfensi ini juga memberi semacam senario kepada kita betapa Uthaya Sankar SB amat prihatin dengan masyarakatnya dan hubung kaitnya dengan seputar realiti objektif kehidupannya sendiri. Malah, katanya dalam Sasterawan Pulau Cinta, “Saya akan mengumpul segala bahan yang perlu dalam menghasilkan karya yang masih mementingkan faction (fakta & fiksyen)”.
(Kertas kerja ini disampaikan oleh Dr Othman Puteh pada Simposium Penulis Pelbagai Kaum V sempena Festival Sastera Perpaduan Malaysia, 23-24 Ogos 2003 di Kota Kinabalu, Sabah. Disiarkan juga dalam Warta Gapena, November 2003 dan Kavya, Januari 2004)
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!