15 Feb 2010

Bhool Bhulaiyaa

Ada saya nyatakan sebelum ini bahawa filem Tamil Chandramukhi dialih bahasa ke Hindi pada 2008 walaupun filem Hindi Bhool Bhulaiyaa terbit pada 2007. Mungkin kerana penonton mahu melihat Super Star Rajnikanth memegang watak utama.
.

Filem Hindi Bhool Bhulaiyaa (2007) diarah oleh Priyadarshan yang bertugas sebagai pembantu pengarah kepada Fazil bagi filem Manichitratazhu (1993).

.

Kisahnya mengenai sebuah istana lama yang dipercayai dihuni roh Manjulika, penari dari Bengal. Suatu hari, Siddharth (lakonan Shiney Ahuja) dan Avni (Vidya Balan) pulang bercuti selama sebulan dari Amerika Syarikat. Mereka tinggal di istana berpuaka itu.

.

Selepas Avni dirasuk roh Manjulika, Siddharth mendapatkan bantuan daripada rakannya, Dr Aditya Shrivastav (Akshay Kumar), seorang pakar psikiatri. Maka, mulalah watak Dr Aditya melakukan aksi “komedi bodoh” – yang membuatkan Aishwarya Rai sejak awal-awal lagi memilih untuk tidak berlakon dalam filem ini.

.

Dipendekkan cerita, Dr Aditya berjaya mendapatkan maklumat bahawa Raja Vibhuti Narayan menculik Manjulika yang mencintai Shashidhar (Vineeth). Raja Vibhuti membunuh Shashidhar dan mengunci Manjulika di dalam bilik; menyebabkan dia membunuh diri.

.

Roh Manjulika mahu membunuh Siddharth yang dianggapnya sebagai Raja Vibhuti. Maka, atas kebijaksanaan Dr Aditya, Manjulika/Avni membunuh patung yang disangkanya Siddharth/Raja Vibhuti.

.

Maka, Priyadarshan telah berusaha mengembalikan Bhool Bhulaiyaa (2007) kepada kisah asal dalam Manichitratazhu (1993); di mana watak si suami – bukan watak pakar psikiatri dari Amerika Syarikat – mahu dibalas dendam oleh roh penari.

.

Malangnya, unsur “komedi” (baca: “komedi bodoh”) diberi keutamaan berlebihan dalam filem versi Hindi.

.

Sila KLIK DI SINI untuk membaca lebih lanjut.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!