24 Apr 2010

(2) Post-mortem

Uthaya Sankar SB, “(2) Post-mortem” dalam Othman Puteh (ed.) Angin Pagi (KL: Fajar Bakti, 1994), hlm. 130-141.
...
Watak ‘Aku’ – seorang pemuda yang tidak disebutkan namanya –seorang mahasiswa Dental Technician di salah sebuah universiti di Australia. ‘Aku’ pulang ke Malaysia semasa cuti pengajian. Semasa memandu di Kamunting (Perak), ‘Aku’ terlanggar seorang wanita tua.
Wanita itu emak kepada Periasammi iaitu lelaki yang sudah dijatuhkan hukuman atas kesalahan mendera sehingga membawa kepada kematian Sinnapayya @ Boy. Wanita itu memberitahu ‘Aku’ bahawa dia percaya anaknya tidak bersalah; Periasammi sebenarnya dianiaya teman wanitanya yang bernama Suppamah.
‘Aku’ mula meneliti segala laporan akhbar berhubung kes penderaan Sinnapayya dan perbicaraan mahkamah. ‘Aku’ mula yakin bahawa Periasammi tidak membunuh Sinnapayya.
Untuk mencari bukti, ‘Aku’ menemui seorang teman sekolah bernama Teow Tick Kiong. Rakan itu menceritakan apa yang berlaku dalam kes penderaan Sinnapayya. Kemudian ‘Aku’ mengadakan dua pertemuan dengan Periasammi di penjara. Banduan yang sedang menunggu hukuman gantung itu berkali-kali mengatakan bahawa dia tidak bersalah.
‘Aku’ turut menemui Suppamah, seorang pelacur yang pernah bersekedudukan dengan Periasammi. Wanita itu enggan bercakap dengan ‘Aku’ tentang kes penderaan Sinnapayya. ‘Aku’ dapat merasakan bahawa Suppamah sedang dalam ketakutan dan sedang cuba melindungi sesuatu atau seseorang.
Selepas itu – dalam jangka masa beberapa hari – ‘Aku’ mengadakan pertemuan dengan Zulfikar Nader Ali iaitu peguam bela Periasammi sepanjang perbicaraan kes di mahkamah. Peguam bela itu turut yakin bahawa Periasammi tidak bersalah; tetapi tidak dapat dibuktikan.
Seterusnya, ‘Aku’ bertemu Inspektor Jijian untuk membicarakan apakah benar dakwaan Periasammi bahawa dia kononnya dipukul dan dipaksa oleh pihak polis untuk mengaku mendera Sinnapayya. Namun, inspektor itu tetap menegaskan bahawa dakwaan itu tidak benar. Dia juga mengatakan bahawa Periasammi sengaja mencipta watak ‘Misai’ untuk melepaskan diri daripada tuduhan mendera Sinnapayya.
Sedikit demi sedikit ‘Aku’ mula mengumpul pelbagai maklumat berhubung kes tersebut. ‘Aku’ mula melihat beberapa kelonggaran dalam perbicaraan kes. Misalnya, ‘Aku’ mendapati Mak Kiah, jiran Suppamah sebenarnya tidak pasti sejak bilakah Sinnapayya berada di rumah Suppamah walhal dia menjadi antara saksi utama semasa perbicaraan.
Akhirnya, ‘Aku’ menemui seorang lagi pelacur bernama Kanaga. Pelbagai maklumat berguna diperoleh dalam pertemuan ini. Sinnapayya sebenarnya anak kandung Kanaga. Watak ‘Misai’ yang disebut-sebut oleh Periasammi rupa-rupanya ialah Alex, bapa kandung Sinnapayya.
Alex bapa ayam yang mengugut Suppamah, Kanaga, Malathi, Nancy dan sejumlah wanita lain untuk melacur diri. ‘Aku’ berjaya mengumpul segala maklumat yang perlu untuk membuktikan bahawa Periasammi tidak bersalah. Malangnya, sebelum sempat ‘Aku’ bertindak lebih lanjut, Alex muncul dan menembak Kanaga. ‘Aku’ pula dipukul hingga koma.
...
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998). Cerpen ini boleh dibaca dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013). 

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!