Rajendran Rengasamy, “Cabaran Hidup” dalam Menara (KL: DBP, 1988), hlm. 63-68.
Muniammah seorang gadis berumur 23 tahun. Dia telah berhenti sekolah sejak berumur 16 tahun dan menoreh getah di Ladang Heng Keng untuk menampung kos belajar dua adiknya, Rajen dan Madhu. Ibunya, Minachi telah membunuh diri semasa Muniammah berumur 14 tahun.
Krishnan, si bapa, seorang kaki botol dan kaki cemburu. Apabila dia mendapat tahu bahawa Minachi sedang mengandungkan anak keempat, Krishnan menuduh kononnya anak yang dikandungkan itu adalah hasil hubungan sulit Minachi dengan seorang penyelia ladang tempatnya bekerja. Oleh kerana tidak dapat menerima penghinaan seperti itu, Minachi membunuh diri dengan mencurah minyak tanah ke seluruh badan dan membakar diri.
Selepas itu, Krishnan semakin boros menghabiskan wang dengan berseronok bersama seorang janda. Kejadian ini berlaku semasa umur Muniammah 18 tahun. Hasil hubungan tersebut, janda berkenaan mengandung. Lalu Krishnan dan wanita simpanannya lari meninggalkan Ladang Heng Keng.
Selepas itu, Muniammah terpaksa bekerja keras untuk menyara hidup kedua-dua adiknya. Oleh kerana gadis itu memiliki kecantikan, ramailah pemuda yang cuba memikat – malah menggodanya.
Pada bulan Februari 1987, penyelia ladang bernama Sarjit Singh cuba memperkosa Muniammah. Dia diselamatkan oleh Hassan yang berumur 25 tahun. Lalu mereka berdua jatuh cinta walaupun berlainan kaum dan agama.
Sementara itu, Sarjit Singh yang gagal memiliki Muniammah mula menyebarkan fitnah kononnya Muniammah dan Hassan sering melakukan pertemuan sulit di ladang getah. Usahanya membuahkan hasil apabila para penduduk kaum India mula menghina Muniammah, Rajen dan Madhu. Mereka juga menentang hubungan cinta antara Muniammah dan Hassan yang berlainan kaum dan agama. Akhirnya Muniammah memutuskan hubungan cintanya dengan Hassan.
Waktu berlalu. Rajen berjaya memasuki politeknik dalam bidang perakaunan. Dia bercinta dengan anak gadis Encik Daniel, pengurus Ladang Heng Keng. Ini menyebabkan Muniammah, Rajen dan Madhu dihalau dari ladang tersebut.
Dalam keadaan itu, hanya Hassan yang tampil untuk membantu. Dia membawa Muniammah dan adik-adiknya untuk tinggal bersama keluarganya. Lama-kelamaan, cinta Muniammah dan Hasan mula bercambah semula. Muniammah juga semakin berminat untuk mempelajari agama Islam secara mendalam.
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998).
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!