17 Apr 2010

Elak Hipokrasi Sastera Alaf Baru

TULISAN ini membincangkan seorang sasterawan muda berpotensi dan menyerlah yang pada masa kini sedang berkembang dan kita mengharapkan beliau akan menjadi karyawan terkemuka negara pada dekad akan datang. Sasterawan yang dimaksudkan ialah Uthaya Sankar SB.
.
Beliau terpilih membentangkan kertas kerja bertajuk “Genius dan Maru Malarchi pada Seminar Kebangsaan Kesusasteraan di Malaysia yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada November 1998.
.
Meskipun Uthaya diminta menyampaikan kertas kerja bersama Dr Krishanan Maniam dan Saroja Theavy Balakrishnan, tetapi awal-awal lagi Uthaya sudah memperjelaskan kedudukannya bukan sebagai penulis Tamil, tetapi penulis Malaysia yang menulis dalam bahasa kebangsaan; dengan salah satu agenda, menyorotkan latar masyarakat India di Malaysia.
.
Tajuk esei ini boleh dilihat dari dua perspektif: menyeru sasterawan mengelak daripada menjadi hipokrit; dan kedua, menyeru sasterawan jangan menghasilkan sastera yang berinti hipokrit.
.
Uthaya tidak mengharapkan khalayak yang besar; sekadar mereka yang sanggup berfikir dan menghayati karyanya adalah memadai. Dia tidak mahu menghasilkan karya bodoh justeru dia tidak mahu membaca karya bodoh; kerana hasil daripada pembacaan karya bodoh akan lahir dalam karangannya nanti kebodohan. Uthaya tidak mahu menipu khalayak dengan karya yang bodoh kerana matlamat khalayaknya [khalayak sasarannya] adalah mereka yang mampu berfikir.
.
Dalam kata-kata Uthaya: “Kalau saya menghasilkan karya bodoh, memang jumlah pembaca bermentaliti rendah boleh bertambah. Pada masa yang sama, kelompok bermentaliti tinggi akan kecewa kerana karya bodoh saya memang memperbodohkan mereka. Selayaknyalah mereka beralih membaca karya bijak.”
.
Bagi saya, visi seumpama ini bukan sesuatu yang salah; malah lahir sebagai penyumbang kepada khalayak sastera yang mahu berfikir. Di sebalik itu, kita juga perlu sedar bahawa tanggapan terhadap keindahan berbeza mengikut daya sugestif khalayak. Kita tidak ada hak untuk melabelkan sesuatu tidak indah kerana mungkin ia indah bagi orang lain.
.
Namun saya terpaksa membenarkan perjuangan Uthaya kerana bukan sahaja saya meminati dan menyanjungi karya serius yang meminta orang berfikir, tetapi kerana Uthaya berjuang untuk satu kelompok khalayak tertentu [kelompok yang mahu berfikir menggunakan otak].
.
Ini saya kira bukan memencil atau menyempitkan peluang mempopularkan sastera kepada khalayak ramai, tetapi sebenarnya meragamkan dan melengkapkan keperluan bagi setiap golongan khalayak.
.
Pemilihan kata bodoh bagi pembaca yang tidak mahu berfikir, di sebalik fungsi revolusioner atau dalam istilah kritikan sastera India disebut “kejutan” bagaimanapun tidak berupaya memberikan tafsiran jitu kepada kelahiran sastera dan karya sastera. Setahu saya, sastera mempunyai fungsi menghibur. Tanpa kehadiran fungsi ini, sastera akan terus memencil.
.
Khalayak akan bergantung kepada karya picisan dan kita tidak boleh mempersalahkan mereka. Pada pendapat saya, ini salah kita sebagai sasterawan kerana tidak dapat memenuhi keperluan jiwa dan emosi mereka [khalayak yang tidak mahu dan tidak tahu berfikir menggunakan otak].
.
Sekiranya Uthaya menafikan dirinya daripada menelaah karya bodoh, mahupun mengarang karya bodoh, bagi saya, dia belum memperlihatkan kepintarannya dalam menangani masyarakat sastera secara umumnya kerana dia masih berada pada tahap pertama dalam hierarki estetik sastera Hindu mahupun sastera Melayu kerana hanya menerima yang baik sebagai indah.
.
Penerimaan seperti ini adalah penerimaan terhadap bahagian dan bukan keseluruhan. Bahagian yang diterima sebagai indah itu sebenarnya bukanlah indah kerana ia tidak lahir dalam keseluruhan.
.
Keseluruhan bermakna, yang baik/indah dan yang tidak baik/tidak indah perlu hadir bersama-sama; untuk menentukan pada akhirnya bahawa kebaikan/keindahan mencapai kemenangan.
.
Konsep ini mendasari sastera, terutama sastera India dan tempiasnya banyak sekali pada sastera Melayu.
.
Kepintaran memerlukan keupayaan menyesuaikan diri. Dalam hal ini, saya rasa Uthaya masih perlu menyesuaikan diri dengan masyarakat untuk memenangi hati mereka.
.
Keupayaan mencari alternatif dan menawan khalayak adalah kepintaran; ditambah dengan keupayaan menghibur sambil mendidik, dan pada tahap yang lebih tinggi menjadi pelantar asas kepada peningkatan spiritual melalui penyerahan estetik dalam karya.
.
Kalau diukur dari perspektif Uthaya, apakah kita hendak melabelkan pengarang karya klasik sebagai pengarang bodoh kerana memaparkan adegan lebih bodoh seperti mitos, alegori yang tidak masuk akal, hiperbola yang sukar untuk dibayangkan dan metafora yang jelasnya penipuan dalam karya mereka?
..
Kanaga Saba, Berita Harian, 21 Mei 1999
.
[Catatan: Artikel yang sama, oleh penulis yang sama pernah juga tersiar di akhbar yang sama dengan judul “Penulis Usah Mudah Jadi Hipokrit” pada 6 Januari 1999.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!