Keenam-enam unsur ini hadir secara bersama dan ada masanya tidak dapat dipisahkan kerana ia sering saling berkait. Bagaimanapun, ada kalanya tidak kesemua unsur berkenaan hadir dalam sebuah karya.
HIBURAN (entertainment) merupakan fungsi asas bagi sesebuah karya sastera. Fungsi ini lebih nyata dalam sastera lisan; misalnya si nenek bercerita kepada cucu-cicitnya. Kita juga sering menonton televisyen dan membaca buku komik bagi menghiburkan hati serta menenangkan jiwa.
Karya sastera juga berupaya menjadi bahan hiburan yang bermutu. Cerpen dan novel remaja, misalnya, menyajikan bahan bacaan ringan. Plotnya tidak kompleks. Temanya adalah biasa sahaja. Konflik yang timbul tidak memaksa kita berfikir secara mendalam. Selalunya ada ending yang memberi kepuasan kepada pembaca yang mahukan hiburan.
Perlu diingatkan bahawa kategori hiburan adalah berbeza antara seorang pembaca dengan seorang pembaca lain. Malah sebuah karya serius masih boleh dibaca sebagai sebuah karya yang menghiburkan. Ia tidak pula menjatuhkan nilai dan martabat karya berkenaan. Sebaliknya menunjukkan betapa karya berkenaan bersifat subjektif dan fleksibel.
Selain menghibur, karya sastera juga harus berupaya mendidik pembaca; terutama remaja. Dalam hal ini, karya sastera memiliki unsur DIDAKTIK (moral). Bagaimanapun, unsur pengajaran harus disampaikan secara halus melalui mesej yang tersirat dan bukannya secara berkhutbah.
Nilai, moral dan tatasusila yang diterapkan melalui karya sastera haruslah disampaikan secara tidak langsung.
Karya-karya tahun 1930-an dan 1940-an ada antaranya yang terlalu mementingkan nilai didaktik sehingga hilang nilai seni sebagai sebuah karya sastera.
Cuba perhatikan contoh cerpen Cerita Balasan Kebajikan Kelebihan Orang Yang Murah Hati Pada Perkara Agama (Kehidupan Dunia Akhirat, 15 Disember 1935). Penulis mengakhiri cerita dengan menyenaraikan unsur-unsur moral yang terkandung di dalam karyanya!
Wahai pembaca-pembaca sekalian:
Daripada cerita ini dapatlah kita buah pandangan yang berharga seperti di bawah ini,
1. Tentang pergaulan isteri yang ikhlas dan mesra dan tiada rela melihat suaminya di dalam kesusahan dan reda sama-sama susah.
2. Betapa susahnya orang yang berhutang. Masa berhutang senang, bila hendak membayar sangat susah.
3. Balasan membuat perkara yang kebajikan diserta dengan ibadat yang khusyuk dan tawaduk serta berserah kepada Tuhan.
Anda haruslah berwaspada agar tidak menulis mengikut gaya di atas. Sebaliknya anda perlu berusaha menyampaikan unsur didaktik, mesej atau pengajaran secara tidak langsung; secara yang tersirat.
Sebuah karya sastera yang bermutu memang kaya dengan nilai moral dan didaktik. Tetapi segalanya disampaikan secara tidak langsung melalui dialog, monolog, tindakan, aksi, tema dan teknik-teknik lain yang lebih bersahaja.
Dalam hal ini, sebagai seorang karyawan muda, anda tidak harus menulis Khandan adalah seorang pemuda yang suka menolong orang. Sebaliknya, tunjukkan (show) sikap itu melalui tindakan dan aksi watak Khandan. Atau melalui reaksi serta kata-kata watak lain; tetapi bukan oleh penulis sendiri. Biar pembaca menilai sama ada Khandan suka menolong orang.
Karya sastera adalah berciri imaginatif. Maka, IMAGINASI (imagination) adalah satu lagi unsur dalam karya sastera.
Anda tentu telah biasa dengan unsur ini. Tetapi untuk makluman anda, unsur imaginasi dalam karya sastera tidak merujuk pada khayalan semata-mata.
Keupayaan pengarang mengungkapkan semula realiti dalam karya sastera yang dihasilkannya juga memerlukan imaginasi.
Pertama, kita perhatikan dulu unsur imaginasi berupa khayalan. Semasa menulis cerpen, anda mungkin membayangkan sebuah cerita. Cerita itu lahir daripada khayalan anda. Anda akan memilih watak-watak untuk mendukung cerita anda. Watak-watak itu juga selalunya khayalan semata-mata. Latar tempat yang digunakan turut merupakan tempat yang anda reka sendiri.
Cerita, latar dan watak yang anda gunakan itu lahir daripada khayalan anda; imaginasi anda. Jadi karya yang terhasil adalah berciri imaginatif.
Watak yang anda kemukakan tidak wujud dalam realiti. Latar tempat yang anda sebutkan hanyalah khayalan semata-mata. Kisah yang dipaparkan juga adalah rekaan dan khayalan semata-mata. Itulah imaginasi.
Cerita anda mungkin berlatarkan sebuah alam lain: angkasa lepas, dasar laut, alam bunian, kayangan atau alam mimpi.
Bagaimanapun, anda tidak semestinya mencipta segala latar tempat dan watak daripada imaginasi semata-mata. Ambil latar sekolah anda dan lakukan pengubahsuaian menggunakan imaginasi.
Ambil watak guru di sekolah anda dan ubahsuai sedikit untuk dijadikan watak bagi cerita anda. Atau ambil watak dan perwatakan jiran anda dan ubahsuai untuk dijadikan watak pengetua dalam cerpen yang anda tulis.
Gunakan imaginasi. Kali ini, bukan imaginasi berupa khayalan tetapi imaginasi yang kreatif dan terarah. Bukan lagi khayalan mengenai UFO dan makhluk dari Marikh tetapi kemampuan menjadikan sekolah dan guru anda sebagai bahan dalam cerpen yang dihasilkan secara kreatif.
Imaginasi juga penting untuk menggambarkan semula sesuatu latar, watak atau peristiwa yang berlaku untuk tatapan pembaca.
Misalnya, katakanlah anda mahu menggambarkan suasana di pasar malam. Masakan anda hanya menulis begini: Keadaan di pasar malam itu sangat sibuk dan bising. Sebaliknya anda harus mampu membuatkan pembaca membayangkan suasana sebenar yang ingin anda gambarkan.
Jika anda mampu membuatkan pembaca melihat, merasai, menghidu serta mendengar suasana sibuk, bising dan hanyir di pasar malam, maka anda berjaya mengeksploitasi imaginasi anda untuk berkarya.
Imaginasi juga penting dalam menggambarkan watak dan perwatakan. Apabila selesai membaca sebuah karya, pembaca seharusnya sudah boleh membayangkan rupa fizikal serta sifat dan perangai watak dalam karya yang dibaca. Pembaca sudah tahu rambutnya begini, gaya cakapnya begini, mimik mukanya begini, gaya jalannya begini dan seterusnya.
Ia membuktikan bahawa anda berjaya menggunakan imaginasi sebagai seorang pengarang untuk mengemukakan satu watak yang benar-benar hidup; lalu pembaca boleh menggunakan daya imaginasi mereka untuk melihat watak berkenaan.
Seterusnya, sebuah karya sastera tidak berguna jika ia tidak memiliki unsur INTELEK. Unsur intelek mungkin ditemui dalam satu ayat, satu perenggan, satu halaman atau dalam mesej keseluruhan selepas selesai membaca sebuah cerpen.
Sebuah karya sastera harus malah wajib merangsang pembaca berfikir. Pembaca tidak boleh pasif. Sebaliknya dipaksa supaya berfikir secara aktif mengenai apa yang berlaku dalam cerita, mengapa satu watak berbuat demikian, apa yang berlaku dalam cerita dan sebagainya.
Unsur intelek dalam cerpen boleh jadi merujuk pada moral yang dikemukakan; pembaca diajak untuk memikirkan mesej yang disampaikan. Ada falsafah.
Atau pembaca dipaksa mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh satu watak. Pembaca memprotes kesudahan cerita. Pembaca memikirkan sendiri kesudahan cerita. Pembaca terangsang untuk berfikir. Inteleknya tercabar dan dicabar.
Untuk memungkinkan kewujudan unsur intelek dalam karya, perlu ada penulis yang intelek dan pembaca yang juga intelek. Atau secara kasar: penulis dan pembaca yang mempunyai otak dan tahu menggunakan otak untuk berfikir.
EMOSI (emotion) pula merupakan unsur yang membezakan karya sastera dan non-sastera secara mutlak. Karya ilmiah tidak mementingkan perasaan atau emosi. Kita tidak dituntut berasa sedih atau gembira semasa membaca buku Fizik dan Ekonomi. Kita tidak terasa suspen sewaktu membuat latihan Matematik Tambahan atau membuat graf Pengajian Am.
Sebaliknya sebuah karya sastera boleh memainkan perasaan dan mengusik emosi pembaca. Kita mungkin turut membenci watak Patriarch sewaktu membaca novel Patriarch (1991). Kita mungkin terasa sedih apabila watak dalam cerita meninggal dunia.
Antara emosi yang biasa adalah: sedih, gembira, menyampah, hairan, terkejut, benci, cemburu, terharu, tidak percaya, protes, dilema, kebingungan dan lega.
Segala emosi ini mungkin dialami oleh watak dalam cerita atau dialami oleh pembaca semasa membaca cerita berkenaan.
Beralih melihat unsur TEKNIK pula. Anda tentu maklum bahawa cara menulis karya sastera tidak sama dengan cara menulis karya ilmiah. Di sinilah teknik memainkan peranan.
Teknik merujuk pada cara sesuatu bahan disampaikan. Cara cerita disampaikan. Cara watak beraksi dan berperanan. Cara latar tempat dilukiskan. Cara jalan cerita dibuat. Cara penulis menarik perhatian dan minat pembaca supaya terus membaca apa yang ditulisnya.
Antara teknik penulisan yang biasa digunakan dalam karya sastera adalah teknik dialog, monolog, sudut pencerita, imbas kembali, babakan, suspen, klimaks, plot kompleks, naratif, gaya bahasa, ayat panjang, ayat majmuk serta istilah saintifik.
Sekadar contoh, fikirkan bagaimana anda akan menggambarkan rupa fizikal watak dalam cerpen yang anda hasilkan. Anda boleh sahaja menggunakan teknik penceritaan langsung dengan mengatakan bahawa watak itu tinggi, berkulit cerah, berhidung mancung dan sebagainya.
Malkit berkulit cerah dan berhidung mancung. Tubuhnya pula tinggi. Akan tetapi, kepalanya botak.
Dalam contoh di atas, teknik to tell telah digunakan di mana penulis menceritakan secara langsung segala hal mengenai watak.
Atau anda boleh menggunakan teknik pelukisan watak secara tidak langsung. Dengan cara ini, anda tidak terburu-buru memperkenalkan rupa fizikal watak terbabit. Sebaliknya, mungkin watak lain akan bercakap mengenai rupa fizikal watak itu. Penulis menggunakan teknik to show iaitu menunjukkan rupa fizikal watak tersebut.
“Apa kau nak risaukan, Malkit? Hidung kau mancung; kulit cerah. Dah tu tinggi pula macam Mat Salleh!” Osman mengusik.
“Ini?” Malkit menudingi kepalanya yang tidak berambut.
Penggunaan unsur teknik dalam penulisan cerpen tidak hanya terhad pada bentuk-bentuk yang dibincangkan di sini. Seperti yang dijelaskan tadi, teknik merujuk pada apa sahaja dan segala cara yang digunakan oleh penulis secara sedar untuk menyampaikan cerita dengan cara yang menarik supaya dibaca oleh khalayak sehingga tamat. Apa yang pasti, teknik menulis sebuah karya sastera berbeza daripada teknik menulis karya ilmiah.
Bagaimanapun, tidak pula bermakna anda tidak boleh menggunakan teknik penulisan non-sastera dalam karya sastera. Malah jika ditangani dengan baik, ia boleh menjadi satu penulisan yang menarik pula!
Keenam-enam unsur sastera yang telah dijelaskan hiburan, didaktik, imaginasi, intelek, emosi dan teknik adalah saling berkaitan. Biasanya adalah sukar untuk memisah-misahkannya.
Misalnya, berikut adalah petikan perenggan pertama (intro) cerpen Selamat Jalan, Ayya (Orang Dimensi, 1994). Cuba teliti petikan ini untuk mengesan keenam-enam unsur sastera.
Aku terpaksa berpisah dengan Ayya. Aku terlalu menyayanginya. Tapi aku tiada pilihan lain. Malah aku terpaksa berpisah dengan Ayya kerana aku terlalu menyayanginya.
Latihan Lanjutan:
Pilih sebuah cerpen dalam Sasterawan Pulau Cinta dan tandakan unsur-unsur sastera yang terdapat di dalamnya.
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!