12 Jun 2017

Sikap Endah Tidak Endah Penulis Merugikan Siapa?

Berikut versi asal (uncut) komentar Uthaya Sankar SB yang disiarkan dalam majalah Pelita Bahasa, September 2003 (hlm. 7):
   
Sikap Endah Tidak Endah Penulis Merugikan Siapa?

Saya merasakan amat perlu mengeluarkan kenyataan ini selepas meneliti kandungan artikel bertajuk “Sikap Endah Tidak Endah Bahasa Merugikan Siapa?” (Pelita Bahasa, Ogos 2003, hlm. 14-15).

Gambaran dan mesej yang dipaparkan oleh Raja Rajeswari Seetha Raman melalui artikel berkenaan ternyata memberi idea palsu atau sekurang-kurangnya gambaran tidak tepat mengenai “rakyat Malaysia, khususnya penduduk bukan Melayu”.

Pada bahagian awal rencana, dia merujuk pada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1948/58?) dan Ordinan Pelajaran 1956. Sayang sekali dia tidak mengemas kini artikelnya dengan merujuk pada Perlembagaan Persekutuan selepas pindaan terbaharu dan Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970.

Sudah terbukti wujud sikap endah tidak endah dalam penulisannya.

Raja Rajeswari juga ketara menjatuhkan hukuman bahawa bahasa kebangsaan tidak mendapat tempat dalam sanubari “penutur bukan Melayu” dan “penduduk bukan Melayu” kerana mereka “tidak memiliki semangat patriotik terhadap bahasa kebangsaan mereka”.

“Bukti” yang cuba diketengahkan oleh wanita itu untuk menegakkan benang yang basah adalah dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Ismail Hussein pada 17 Ogos 1985. Kenyataan yang dibuat lapan belas tahun lalu tentu sekali tidak relevan dalam konteks artikel berkenaan.

Dia sepatutnya telah mengambil inisiatif meminta pandangan terkini Tan Sri Ismail Hussein kerana tokoh berkenaan mungkin sahaja memiliki pandangan yang berbeza selepas 18 tahun.

Penelitian saya terhadap artikel berkenaan juga membuktikan bahawa Raja Rajeswari keliru antara “bahasa kebangsaan” dan “mata pelajaran Bahasa Melayu”.

Dia mengatakan bahawa ahli psikologi (siapa?) bersetuju bahawa pelajar “tidak akan dapat mengingati perkara yang dipelajari sekiranya mereka tidak berminat dalam mata pelajaran tersebut”.

Kenyataan dan rujukan sebegini amat menghairankan; apatah lagi memandangkan dia sendiri seorang guru mata pelajaran Bahasa Malaysia. “Bahasa kebangsaan” bukan suatu “mata pelajaran” yang menuntut pelajar mengingati perkara yang dipelajari.

Kekeliruan Raja Rajeswari terhadap “bahasa kebangsaan”, “mata pelajaran Bahasa Melayu” dan “sastera bahasa kebangsaan” semakin jelas apabila dia memilih untuk menjadikan Minggu Penulis Remaja (MPR) sebagai bukti “penduduk  bukan Melayu tidak memiliki semangat patriotik terhadap bahasa kebangsaan”.

Dia mengeluarkan kenyataan bahawa “sikap pelajar bukan Melayu yang negatif terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu” menyukarkan usaha mengisi kuota pelajar bukan Melayu dalam MPR.

Ternyata dia menganggap peserta MPR dipilih berdasarkan pencapaian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah!

Sebagai mantan MPR yang berhubung rapat dengan penganjur MPR sejak tahun 1991, ingin saya tegaskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh wanita yang cetek ilmu itu adalah tidak berasas. Memang benar ada masanya kuota yang diperuntukkan untuk pelajar bukan Melayu – khususnya remaja kaum India – tidak terisi langsung.

Walau bagaimanapun, kekosongan ini disebabkan perkara-perkara lain dan bukan berpunca daripada “sikap pelajar bukan Melayu yang negatif terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu”.

Raja Rajeswari juga membuat kesimpulan bahawa sekiranya “masyarakat bukan Melayu” tidak memiliki semangat cinta akan bahasa kebangsaan, maka bahasa Melayu akan “pupus sebagai akibat tidak dituturkan dan tidak digunakan oleh rakyatnya sendiri”.

Kenyataan di atas sekurang-kurangnya memiliki “nada positif” kerana wanita itu sedar akan pentingnya peranan “masyarakat bukan Melayu” bagi menjamin kelangsungan hidup bahasa kebangsaan dan meningkatkan potensinya sebagai bahasa ilmu dan bahasa supranasional.

Bagaimanapun, dia sepatutnya telah membuat rujukan lebih mendalam sebelum menjatuhkan hukuman terhadap “masyarakat bukan Melayu” yang kononnya tidak mencintai bahasa kebangsaan.

Pengalaman Kavyan serta pengalaman saya sendiri mengendalikan pelbagai bengkel dan ceramah sejak hampir sepuluh tahun lalu (sejak 1994) sudah memadai untuk menyangkal kenyataan Raja Rajeswari tentang sikap endah tidak endah bahasa dalam kalangan “masyarakat bukan Melayu” dalam artikel berkenaan.

Jika dia berminat mengemas kini maklumat berkaitan semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan “masyarakat bukan Melayu”, saya menjemputnya melayari Blog Kavyan.

Tidak salah jika dikatakan bahawa kandungan artikel berkenaan tidak sesuai dengan tajuk – atau sebaliknya. Artikel ini mungkin relevan jika telah disiarkan lebih sepuluh tahun lalu.

Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya artikel berkenaan mendedahkan sikap endah tidak endah Raja Rajeswari terhadap kewujudan semangat cinta akan bahasa kebangsaan dalam kalangan “masyarakat bukan Melayu” di negara ini.
  
Catatan: Ini adalah versi asal. Rujuk majalah Pelita Bahasa, September 2003 (hlm. 7) untuk membaca versi yang tersiar. Baca juga – Masih Ada Yang Sayang Padamu dan Data Palsu di Dewan Sastera.