17 Apr 2010

Kata Mereka ...

Petikan kata-kata beberapa penulis kaum India yang disiarkan dalam majalah Dewan Sastera, Mei 1997.

...

Sejak kecil, saya amat gemar membaca buku cerita. Sewaktu belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, saya mula menulis puisi. Kemudian saya mula berani menulis cerpen dan menyertai pertandingan cerpen bagi guru-guru Wilayah Persekutuan. Saya mendapat hadiah saguhati. Lalu saya semakin yakin terhadap keupayaan saya menghasilkan cerpen. Masalah masyarakat India di Malaysia sentiasa menjadi tema pilihan saya. Mungkin kerana saya memang selalu memikirkan masalah dalam masyarakat, maka mudah untuk saya mengungkapkannya dalam bentuk karya. Saya mahu pembaca turut memikirkan tentang masalah yang melanda masyarakat India khasnya dan para penduduk negara kita amnya. - Saroja Theavy Balakrishnan

...

Pada peringkat awal, saya menulis dalam Bahasa Tamil sahaja. Kemudian saya mula mempelajari teori penulisan. Waktu itu baru saya sedar betapa dalam cerpen Bahasa Tamil di Malaysia, penulis hanya diharapkan bercerita; semacam propaganda terhadap hal-hal yang klise dan tidak mengembangkan minda. Lalu saya menceburi penulisan cerpen Bahasa Malaysia di mana penerbit dan pembacanya lebih berfikiran terbuka dan mampu berfikir secara kritikal terhadap hal-hal yang dikemukakan dalam karya. Saya cuba juga menghasilkan karya Bahasa Tamil yang terlepas daripada konvensi tetapi nampaknya khalayak sastera Bahasa Tamil di Malaysia masih belum mampu berhadapan dengan karya sedemikian. Mereka sudah terlalu dibiasakan dengan karya konvensional yang tidak menuntut mereka berfikir secara mendalam. Saya percaya, ada masa depan yang cerah bagi penulis kaum India yang menghasilkan karya sastera dalam Bahasa Malaysia. - M. Balachandran

...

Cerpen sulung yang saya hasilkan mendapat hadiah saguhati Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1992. Ini tentunya menggembirakan saya. Saya semakin berminat untuk menulis secara aktif. Keluarga saya memang sentiasa memberikan galakan dan dorongan. Mereka memahami minat dan bakat saya dalam penulisan cerpen Bahasa Malaysia. Cerpen-cerpen saya selalunya menyentuh soal kemasyarakatan; tidak terhad kepada kaum India semata-mata. Saya tidak menghadapi masalah dari segi bahasa. Cuma saya rasakan agak sukar untuk menduga cerpen bagaimana yang digemari khalayak masa kini. Tembahan pula, pembaca kini berfikiran matang dan tidak mudah ditipu dengan cerpen-cerpen yang tidak bermutu. Ini sebenarnya merupakan suatu cabaran positif kepada para penulis. - Srivali Seeridaram

...

Saya sebenarnya masih agak baru dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia. Saya mula menulis dalam Bahasa Tamil sewaktu di Tingkatan Enam. Namun, perlu saya akui bahawa karya non-konvensional yang saya hasilkan kurang mendapat sambutan penerbit dan media cetak Bahasa Tamil. Penulisan saya dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris bermula setelah saya menyertai beberapa siri bengkel yang dikelolakan Uthaya Sankar SB di Universiti Malaya. Saya dapati penerbit serta khalayak sastera kedua-dua bahasa ini berfikiran lebih terbuka. Lalu saya terangsang untuk menulis dalam Bahasa Malaysia. Tema manusia dan kemanusiaan sering menjadi pilihan saya. Penulis kaum India mempunyai masa depan yang cerah dalam sastera Bahasa Malaysia. Tetapi tentulah mereka perlu mampu menguasai Bahasa Malaysia dan menyajikan karya bermutu kepada khalayak. - V. Vijayaletchumy

...

Saya mula meminati bidang penulisan kreatif selepas mengikuti kursus Penulisan Cereka di Jabatan Penulisan (kini Jabatan Pengajian Media) di Universiti Malaya. Salah satu cerpen yang saya hasilkan bagi tujuan kursus, saya kirim ke sebuah akhbar nasional dan tersiar. Sebuah lagi termuat dalam antologi terbitan mahasiswa UM. Perkembangan awal seperti inilah yang antara lain mencambahkan minat saya untuk terus menulis. Tema-tema pilihan saya lebih bersifat global; khususnya tema kemanusiaan sejagat. Cerpen-cerpen saya yang tersiar setakat ini pun mengangkat tema global. Dari segi peluang berkarya, saya percaya bahawa penulis kaum India mempunyai peluang sama rata dengan penulis kaum lain. Generasi muda Malaysia sudah fasih menggunakan Bahasa Malaysia. Jadi tidak timbul masalah penguasaan bahasa bagi penulisan. Namun, mereka perlu terus diberi galakan kerana belum ramai penulis kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia. Mungkin kempen penggalakan penulis kaum India perlu diadakan bagi mencungkil lebih ramai bakat baru. - Devaraj P. Thangaraju

...

Saya tidak menghadapi masalah bahasa kerana belajar di sekolah kebangsaan sejak Darjah Satu. Sebenarnya, saya tidak pernah berminat untuk menulis cerpen sehinggalah saya menyertai bengkel penulisan yang dikendalikan oleh saudara Uthaya Sankar SB. Saya bersyukur kerana akhirnya menyedari bakat yang terpendam dalam diri saya. Saya juga banyak menerima bimbingan yang berguna apabila menyertai Minggu Penulis Remaja 1996. Remaja kaum India sekarang sudah ada penguasaan Bahasa Malaysia yang amat baik. Jadi tentu tidak timbul masalah untuk mereka turut menghasilkan karya Bahasa Malaysia. Guru dan ibu bapa perlu memberi galakan dan dorongan kepada remaja yang berbakat dalam penulisan. Penulis muda seperti saya masih memerlukan bantuan penulis lain untuk mengedit, memberi tunjuk ajar dan mencarikan ruang penerbitan bagi karya yang dihasilkan. Saya yakin ada masa depan cerah bagi penulis kaum India. - A. Sardah

....

Terus terang, minat saya untuk menulis cerpen timbul lantaran rasa mual sewaktu membaca karya-karya yang termuat dalam antologi cerpen remaja yang terbit sebelum tahun 1988. Mungkin juga saya hanya terbaca karya yang kurang bermutu. Namun, rasa mual itulah yang membuatkan saya mahu menghasilkan karya yang lebih baik daripada karya-karya yang sudah terbit itu. Maaf jika ada yang terasa. Mengapa saya menulis karya yang tidak konvensional? Saya yakin bahawa hanya orang yang tahu menggunakan otak akan membaca karya saya. Jadi, saya perlu menghormati minda dan intelektualiti mereka. Saya berpegang pada ideologi bahawa penulis adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca. Saya mahu sentiasa menjadi sasterawan yang berani mengkritik bagi tujuan membina. Namun, bukan mudah untuk mengkritik pihak tertentu. Sebab itulah saya hasilkan karya-karya parodi yang ketara berlatarkan Siru Kambam dan Pulau Cinta. Mungkin benar tidak ramai yang menggemari karya saya. Tetapi saya hanya memerlukan 10 pembaca berotak untuk membuatkan saya terus berkarya! Tidak sukar mencari 10 manusia berotak, bukan? - Uthaya Sankar SB

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!