24 Apr 2010

Emak II

Uthaya Sankar SB, “Emak II” dalam Orang Dimensi (KL: DBP, 1994), hlm. 12-26.
..
Emak mencari pelbagai alasan untuk menghalang Balakrishna @ Ris daripada pergi bertemu rakan sekelasnya, Khandan @ Han. Walaupun Ris sudah berumur 17 tahun, namun emak masih mahu mengawal segala apa yang dilakukannya.
.
Ris sendiri tidak faham mengapa emak bersikap demikian. Remaja itu menyampah dengan sikap emak tetapi dia tidak berani membantah. Ini kerana sejak kecil, emak telah mengawal segala aspek dalam kehidupan Ris. Pada pendapat Ris, mungkin juga emak terbawa-bawa dengan cara dia mendidik kanak-kanak bermasalah di sekolah tempat dia mengajar.
.
Ayah tidak seperti emak. Dia tegas tetapi penyayang. Sebab itulah Ris lebih selesa untuk meluangkan masa bersama ayah. Malangnya pada hari berkenaan, ayah telah ke sekolah atas urusan tertentu. Maka terpaksalah Ris mendapatkan izin emak untuk pergi ke rumah Han yang terletak di kawasan kampung.
.
Ris mula terkenangkan segala sikap buruk emak. Malah Ris berpendapat emak tidak menghormati ayah. Segala perkembangan ini membuatkan Ris semakin membenci emak.
.
Ris juga mengimbas hubungannya dengan Han yang dikenalinya sejak tingkatan satu. Pemuda itu mengalami sedikit kecacatan pada tangan kiri dan sering menjadi bahan gurauan rakan-rakan di sekolah. Han cukup rapat dengan Ris walaupun Ris turut mempermainkan Han pada setiap masa.
.
Sekali itu, Ris telah berpeluang membaca diari Han. Di dalam diari itu, Han merujuk Ris sebagai abangnya. Setelah selesai membaca diari itu, Ris menyedari betapa Han mengharapkan kasih-sayang daripadanya. Han juga sering diketepikan oleh rakan-rakan lain. Maka Han sangat bergantung kepada Ris untuk membantunya bersosial.
.
Sejak kejadian itu, Ris menerima Han sebagai adik angkat. Hubungan mereka cukup intim; tambahan pula Ris anak tunggal. Malangnya emak tidak suka Ris bergaul dengan Han. Ris hairan dengan sikap emak. Kalau Han seorang gadis, emak ada juga alasan untuk menghalang hubungan mereka. Demikian fikir Ris.
.
Setelah memikirkan segala aspek secara mendalam, Ris memutuskan untuk tetap pergi menemui Han. Dia pasti bahawa Han memerlukannya. Akhirnya Ris mengayuh basikal menuju ke kampung di mana Han tinggal. Emak terpinga-pinga melihat Ris pergi. Ris juga bercadang untuk menceritakan masalahnya kepada Han.
..
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998).

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!