Saroja Theavy Balakrishnan, “Hari Penentuan” dalam Kamariah Mohamed Ali (ed.), Tanpa Mengira Warna (KL: DBP, 1993), hlm. 31-39.
Fikiran Selvi tidak tenang mengenangkan keputusan peperiksaan SPM yang akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi. Dia sedar bahawa bapanya, Paramasivam menaruh harapan yang cukup tinggi terhadapnya; apatah lagi setelah anak-anak lelaki yang lebih tua telah mengecewakan harapan si bapa.
Paramasivam berulang kali melahirkan keinginannya untuk melihat Selvi menjadi guru di sekolah Tamil tempat dia belajar dahulu. Untuk itu, Paramasivam mahu anaknya memasuki maktab perguruan selepas mendapat keputusan SPM.
Walau bagaimanapun, Selvi tetap risau. Sudah dua kali dia menduduki peperiksaan SPM sebelum ini. Kali pertama, dia gagal dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia. Kali kedua pula dia lulus Bahasa Malaysia tetapi gagal dalam semua mata pelajaran lain.
Namun begitu, Paramasivam telah menyuruh Selvi belajar di sekolah swasta untuk mengambil peperiksaan SPM bagi kali ketiga. Pada kali ini pun sebenarnya Selvi benar-benar tidak yakin bahawa dia boleh lulus. Ini adalah kerana Selvi baru sahaja ditinggalkan kekasih semasa membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Kejadian itu banyak mempengaruhi Selvi sehingga mengganggu tumpuannya terhadap pelajaran dan peperiksaan.
Selvi sering meluahkan perasaan takut dan bimbang kepada rakannya, Halimah. Selvi mengakui bahawa dia terasa sangat takut dan semacam hendak gila memikirkan keputusan peperiksaan SPM yang bakal diterima. Dia sedar bahawa dia pasti gagal mendapat keputusan yang baik. Pada masa yang sama, dia sedar bahawa bapanya menaruh harapan yang sangat tinggi terhadapnya. Segala perkembangan ini membuatkan Selvi memberitahu Halimah bahawa dia terfikir hendak membunuh diri jika gagal lagi dalam SPM.
Jika Selvi gagal, dia memutuskan untuk tidak akan bertemu muka dengan bapa dan emaknya lagi. Dia lebih rela mati. Malah dia sedar bahawa ramai gadis dan wanita di kawasan tempat dia tinggal membunuh diri dengan meminum racun lalang. Selvi memutuskan untuk membunuh diri dengan cara yang sama jika dia ternyata gagal dalam peperiksaan SPM bagi kali ketiga.
Akhirnya keputusan diumumkan. Apa yang sudah sedia diduga dan ditakuti oleh Selvi benar-benar terjadi. Dia gagal dalam semua mata pelajaran kecuali Bahasa Malaysia dan Bahasa Tamil. Tanpa berfikir panjang, Selvi menuju ke arah air terjun sambil mendakap erat beg kain berisi sebotol besar racun lalang. Dia sudah nekad untuk membunuh diri.
Semasa Selvi duduk menangis di tepi air terjun mengenangkan jasa bapa dan emaknya, tiba-tiba dia ternampak seorang gadis yang berlari ke arah air terjun tersebut dan dengan pantas terjun ke dalam air. Tanpa berfikir panjang, Selvi turut terjun ke dalam air dan menyelamatkan gadis itu daripada lemas.
Gadis itu ialah Maliga yang turut gagal dalam peperiksaan SPM. Bapanya, Vellu telah memarahinya. Sebab itulah Maliga cuba membunuh diri. Setelah Maliga diselamatkan, dia dibawa pulang oleh Maliga yang buat seketika sudah melupakan tujuan asalnya datang ke kawasan air terjun berkenaan. Vellu pula mengucapkan terima kasih dan menyatakan rasa terhutang budi kepada Selvi kerana menyelamatkan nyawa Maliga.
Tidak lama kemudian, Paramasivam bertanyakan keputusan yang diperoleh oleh Selvi dalam peperiksaan SPM. Gadis itu berterus-terang memberitahu bapanya bahawa dia gagal lagi. Walau bagaimanapun, Paramasivam tidak marah. Dia menggalakkan Selvi mencuba lagi jika dia mahu.
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998).
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!