24 Apr 2010

Emak

Uthaya Sankar SB, “Emak” dalam Orang Dimensi (KL: DBP, 1994), hlm. 1-5.
..
Syanker memujuk emaknya supaya menyertai rombongan lima hari ke Kedah dan Kelantan. Pada pendapat Syanker, emak hanya memerap di rumah sambil menjaga cucu, membuat kerja-kerja rumah dan menjaga ayam-itik.
.
Vani, kakak Syanker juga telah cuba memujuk emak agar setuju pergi makan angin. Pada mulanya emak memberikan alasan bahawa ayam-itik perlu dijaga. Kemudian dia memberikan alasan bahawa cucu-cucunya perlu dijaga. Vani menjelaskan bahawa Syanker boleh memberi ayam-itik makan sepeninggalan emak sementara Vizha pula boleh menjaga cucu.
.
Namun begitu emak tetap berdegil tidak mahu pergi. Vani terpaksa mengaku kalah. Syanker pula terus memujuk emaknya supaya bersetuju untuk pergi demi menenangkan fikiran. Sebaliknya emak meminta Syanker sahaja menggantikan tempatnya. Saranan itu ditolak bulat-bulat oleh anak muda tersebut.
.
Semasa kecil, emak memang pernah bercita-cita untuk belajar tinggi sehingga menjadi doktor. Dia mahu pergi dari satu tempat ke tempat lain untuk berkhidmat kepada masyarakat. Akan tetapi emak hanya bersekolah hingga darjah tiga. Tidak lama kemudian, dia dikahwinkan. Sejak itulah cita-cita emak terkubur. Emak sibuk mengurus hal rumah tangga.
.
Syanker merasakan bahawa emak sejak dahulu hanya berkorban untuk orang lain. Kali ini Syanker mahu emak pergi makan angin sambil menenangkan fikiran.
.
Sebaliknya, emak pula merasakan bahawa dia mahu menghabiskan sisa-sisa hidup bersama anak dan cucu. Melancong bukan keutamaan dalam hidupnya. Emak mahukan anak-anaknya hidup gembira. Itulah yang akan menenangkan fikiran dan hatinya.
.
Apabila Syanker terus memujuk emak, wanita itu tidak dapat menahan diri daripada meluahkan apa yang terbuku dalam jiwa. Katanya, dia bahagia tinggal bersama anak-anaknya. Dia tidak mahu Syanker memaksanya pergi ke suatu tempat yang tidak dapat menjanjikan ketenangan jiwa.
.
Akhirnya Syanker memahami perasaan emak. Serta-merta dia memeluk emak dan berjanji akan membatalkan program percutian yang dirancang itu.
..
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998).

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!