17 Apr 2010

Latar Belakang Bahasa Malaysia

Berikut sedikit maklumat mengenai Bahasa Malaysia untuk rujukan dan manfaat bersama. Mana-mana pihak yang menuduh istilah “Bahasa Malaysia” sebagai TIDAK WUJUD amat wajar membaca maklumat ini serta melakukan “pembetulan diri”.
.
Bahasa Malaysia  juga dikenali sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Melayu. Ia telah digunakan di Kepulauan Melayu sejak abad ke-7. Terdapat lebih 200 bahasa di Kepulauan Melayu pada waktu itu. Namun, penggunaan Bahasa Melayu pada waktu itu amat meluas kerana mudah dipertuturkan. Maka ia menjadi lingua franca.
.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Perlu diingat bahawa pada waktu perlembagaan digubal, istilah “Malaysia” belum wujud. Pada tahun 1970 pula, Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan dan Bahasa Melayu dikenali sebagai Bahasa Malaysia. Malangnya masih ada pihak yang tidak menyedari - atau cuba menafikan - hakikat ini.
.
Pada tahun 1961, Perdana Menteri Tanah Malaya, Tunku Abdul Rahman mencadangkan pembentukan Malaysia dan cadangan itu menjadi realiti pada 16 September 1963.
.
Pilihan raya 1969 menyaksikan pihak Perikatan [Barisan Nasional] menghadapinya dengan penuh yakin kerana percaya rakyat sudah bersatu. Bagaimanapun, rakyat Bukan Melayu pula ternyata kurang senang dengan kedudukan bahasa Melayu. Pada tahun 1957, Perlembagaan menyatakan bahawa Bahasa Inggeris boleh digunakan selama 10 tahun – sehingga 1967. Jadi, kini, timbul soal kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa bagi Bangsa Malaysia.
.
Pilihan raya pada 12 Mei 1969 ternyata penuh emosi. Kedudukan politik dan bahasa/budaya Bukan Melayu menjadi topik hangat dalam kempen. Malah, rakyat Bukan Melayu mula mempersoalkan hak mereka dalam hal berkenaan.
.
Natijahnya, undi bagi Perikatan susut 10 peratus dan Perikatan menghadapi masalah mendapatkan majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.
.
Penyokong Gerakan dan DAP meraikan “kemenangan” mereka dengan mengadakan ‘pesta’ di jalan-jalan raya di Kuala Lumpur. Penyokong UMNO turut mengadakan ‘pesta’ yang sama. maka tercetuslah Krisis 13 Mei 1969 yang menjadi titik hitam dalam sejarah negara Malaysia yang berbangga dengan gambaran rakyat pelbagai kaum hidup bersatu-padu, harmoni dan saling memahami. Ramai terkorban - terutama kaum Cina.
.
Darurat diisytihar, perlembagaan digantung, parlimen dibubar, pilihan raya di Sabah dan Sarawak ditangguh, pemerintahan pusat dilaksanakan. Itulah antara langkah segera yang diambil kerajaan pada waktu itu.
.
Krisis 13 Mei 1969 ternyata membawa perubahan drastik pada polisi kerajaan/pemerintah. Perpaduan nasional, tolerensi, hapus jurang perkauman dan seumpamanya menjadi agenda utama rakyat dan kerajaan. Semua pihak sedar bahawa perbezaan sosial dan ekonomi memang wujud di kalangan rakyat dan menjadi masalah utama rakyat Malaysia.
.
Pada 31 Ogos 1970, Rukun Negara dan Rukun Tetangga diperkenalkan. Dasar Pelajaran Kebangsaan pula dilaksanakan pada 1970 di mana istilah Bahasa Malaysia diperkenalkan di sekolah dan dalam segala urusan rasmi. Minggu Bahasa dan Bulan Bahasa diadakan dengan cogan kata “Bahasa Jiwa Bangsa” – di mana pasti sahaja “Bahasa”; merujuk pada “Bahasa Malaysia” dan “Bangsa” merujuk pada “Bangsa Malaysia”. Masakan pula cogan kata “Bahasa Jiwa Bangsa” – dalam konteks ini – membawa makna “Bahasa Melayu Jiwa Bangsa Melayu”!
.
Pada September 1970, Tunku Abdul Rahman diganti Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia. Polisi Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) dilaksanakan, antara lain, bagi mempercepatkan usaha murni kerajaan dan rakyat malaysia menjadikan Bahasa Malaysia bahasa pengantar di sekolah.
.
Kempen Cintai Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa, Bahasa Menunjukkan Bangsa dan yang seumpamanya dipergiat oleh kerajaan, badan-badan tertentu serta agensi kerajaan dan swasta.
.
Pada tahun 1990, Bahasa Malaysia mula digunakan di mahkamah. Memang agak pelik jika kita berpeluang mendengar perbicaraan kes di mahkamah menggunakan Bahasa Malaysia tetapi adalah satu kejayaan mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar utama.
.
Generasi yang lahir pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an terbukti fasih dan menganggap Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik bersama setiap rakyat Malaysia. Mereka sedar bahawa Bahasa Malaysia bukan milik kaum Melayu sahaja. Kaum Bukan Melayu di Malaysia mampu berinteraksi menggunakan Bahasa Malaysia yang betul dan lancar. Ironinya, sekumpulan kaum Melayu pula lebih suka menggunakan Bahasa Malaysia yang tidak betul. Misalnya: Husband I drebar mini bas di mana frasa ini bukan Bahasa Inggeris dan bukan juga Bahasa Malaysia!
.
Walau bagaimanapun, apa yang lebih penting, istilah “Bahasa Malaysia” yang diperkenalkan pada tahun 1970 berikutan Krisis 13 Mei 1969 terbukti sudah berjaya membina Bangsa Malaysia sebagaimana yang diimpikan.
.
Pembinaan “Bangsa Malaysia” bermula dengan “Bahasa Malaysia”, demikian saya tegaskan pada Forum Bahasa Kebangsaan dan Bangsa Malaysia di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 Jun 2002.
.
Kini terdapat ramai penulis pelbagai kaum yang menghasilkan karya sastera Bahasa Malaysia. Golongan penulis/sasterawan ini mempunyai bakat penulisan dan menguasai Bahasa Malaysia. Mereka juga berjiwa Malaysia. Jadi, lahirlah karya sastera berjiwa Malaysia yang menampilkan citra budaya masyarakat pelbagai kaum – dalam Bahasa Malaysia bermutu. Maka penulis pelbagai kaum, sastera dan bahasa mula seiring memupuk semangat dan jiwa “Bangsa Malaysia”dalam kalangan rakyat negara ini.
.
Walau bagaimanapun, pada 1999, tiba-tiba sahaja mula ada usaha menafikan kewujudan dan kesahihan istilah Bahasa Malaysia dan kononnya hanya istilah Bahasa Melayu sah digunakan di negara ini. Isu ini dimulakan oleh seorang editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
.
Penerbit terbabit menafikan kewujudan serta kesahihan istilah “Bahasa Malaysia” tetapi tetap terus menerbitkan buku-buku “Bahasa Malaysia Tahun Satu-Tingkatan Lima” untuk kegunaan sekolah kerajaan. Apakah makna semua ini? ... hipokrit? takut bayang? anti polisi kerajaan? anti semangat kebangsaan? anti perpaduan? anti kaum tertentu? [BACA DI SINI]
.
Walau apa sekalipun tindakan pihak tertentu sejak tahun 1999, Bahasa Malaysia sudah terbukti dapat membina Bangsa Malaysia. Tapi kalau kewujudan istilah Bahasa Malaysia terus dinafikan, nescaya Konflik 13 Mei 1969 akan berulang dan golongan berjiwa Malaysia seperti saya dan para sasterawan tidak akan dapat berbuat apa-apa untuk mengembalikan semangat kebangsaan dan perpaduan nasional kerana istilah Bahasa Malaysia dikatakan tidak wujud dan tidak sah digunakan.
.
Sejak tahun 1970, Bahasa Malaysia berjaya membuka laluan ke arah perpaduan nasional tetapi Bahasa Malaysia tidak akan dapat meneruskan usaha itu selagi kewujudan istilah Bahasa Malaysia dinafikan.
.
Ikuti juga catatan berhubung keputusan Kabinet pada Mei 2007 dan pendirian DBP mulai Januari 2010 DI SINI. Manakala KLIK DI SINI untuk pendirian DBP mulai 2012.
.
FUNGSI BAHASA MALAYSIA
Bahasa Kebangsaan melahirkan semangat perpaduan, kekitaan dan kebangsaan. Bahasa Jiwa Bangsa. Satu Bangsa/Negara, Satu Bahasa.
Bahasa Rasmi dalam komunikasi dan acara rasmi, segala surat-menyurat rasmi, pentadbiran, minit mesyuarat, memo dll.
Bahasa Perpaduan perpaduan antara kaum/keturunan, perpaduan politik.
Bahasa Ilmu dalam bidang ilmu, sains, teknologi, komputer, saintifik, ilmiah. Menjadikan Bahasa Malaysia setaraf Bahasa Inggeris; antarabangsa. [Baca isu PPSMI DI SINI]
Bahasa Pendidikan bahasa pengantar di sekolah rendah, menengah, universiti, kolej.
.
BAHASA MALAYSIA FORMAL
Bahasa formal merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam situasi formal. Juga disebut bahasa baku. Bahasa formal adalah bahasa yang telah diterima untuk digunakan dalam situasi rasmi seperti perundangan, surat rasmi, majlis rasmi, sekolah, berita, akhbar dan media massa. Walaupun terdapat banyak dialek bahasa di Malaysia, hanya satu bentuk bahasa formal; iaitu bahasa kebangsaan/bahasa rasmi Bahasa Malaysia.
.
BAHASA MALAYSIA TIDAK FORMAL
Bahasa tidak formal merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam situasi yang tidak formal. Contohnya bahasa yang digunakan dalam perbualan seharian bersama rakan-rakan dan ahli keluarga atau rakan-rakan sekerja. Disebut juga bahasa tak baku atau bahasa umum. Termasuk juga dialek negeri-negeri serta bahasa daerah.
..
Kedudukan dan taraf Bahasa Kebangsaan terkandung dalam:
a) Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan
b) Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67
c) Akta Pendidikan (asalnya Akta Pelajaran 1961)
.
Sistem ejaan baru Bahasa Malaysia yang ada sekarang telah mula digunakan secara rasmi mulai 16 Ogos 1972.
..
Sajak-sajak bertema Bahasa Malaysia – DI SINI.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!