17 Apr 2010

Kursus Kewartawanan

Wartawan harus mampu mengawal perasaan supaya emosi tidak mempengaruhi laporan mereka. Golongan wartawan juga perlu memiliki disiplin diri dan bersikap objektif dalam membuat laporan. .

Demikian antara perkara yang ditekankan dalam Bengkel Penulis Muda: Kursus Kewartawanan anjuran Institut Kajian Dasar (IKD) dan Konrad Adenauer Foundation (KAF). Bengkel diadakan di Shah Village Hotel, Petaling Jaya dari 28 Februari hingga 2 Mac 2003.

.

Saya merupakan satu-satunya peserta kaum India pada bengkel ini. Saya hadir mewakili Kavyan.

.

Seramai 18 peserta mendapat bimbingan secara langsung daripada Fathi Aris Omar, Wan Hamidi dan Eddin Khoo yang berpengalaman luas dalam bidang penulisan berita dan rencana. Masing-masing mempunyai kredibiliti sebagai wartawan yang berani menulis secara objektif tanpa bersikap bias dan propagandis.

.

Dalam bengkel tiga hari ini, peserta didedahkan pada asas penulisan berita berdasarkan petikan temubual oleh Fathi Aris Omar dan Wan Hamidi. Manakala sesi menulis rencana pula dibimbing oleh Eddin Khoo yang dilabel sebagai “anak haram semua bangsa” kerana “parasnya Melayu, ayahnya Cina dan ibunya India” (Tempo, 3 September 2000).

.

Pada malam kedua, diadakan acara santai di mana peserta diberi peluang menunjukkan bakat berpuisi, membaca petikan teks dan menyanyi. Saya membaca petikan teks “Sasterawan Pulau Cinta”. Acara turut diserikan dengan gesekan violin oleh Vimalan dan bacaan sajak oleh S.G. Prabhawathy. Uthaya Sankar SB pula menyampaikan petikan cerpen “Datuk Datang Ke Kampung Kami” (Sasterawan Pulau Cinta, 2001).

.

Bengkel ini ternyata memberi manfaat serta memberi pendedahan awal kepada para peserta tentang bidang kewartawanan dan penulisan yang lebih kreatif, kritikal, berbobot dan objektif. Para peserta pulang dengan dada penuh ilmu, minda terbuka dan fikiran matang.

.

Kami juga dijemput menyumbangkan bahan bagi majalah Siasah dan SiasahOnline. Tentu sahaja para peserta tidak harus melepaskan peluang keemasan yang ditawarkan.

..

(Laporan oleh Nyanaambigai Rajanthran disiarkan dalam Kavya, April 2003; ArahKiri, April 2003; Nila, 1 Mei 2003 dan Nayanam, 7 Mei 2003)


No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!