17 Apr 2010

Pembacaan Puisi Anggerik Di Galeri Shah Alam

Kami berempat pergi ke Galeri Shah Alam pada 15 Mac 2003 untuk menyaksikan acara Baca Puisi Anggerik atas jemputan Cikgu S.G. Prabhawathy dan Uthaya Sankar SB Sir. Anak mereka, Devishi Prabha Sankari dan wartawan akhbar Bacaria, Encik Ariffin Yasin juga hadir sama. .

Acara sudah pun bermula apabila kami sampai di tempat acara berlangsung. Begitu ramai penonton dan pembaca puisi. Ramai daripada mereka adalah pelajar UiTM, Shah Alam yang datang bersama-sama pensyarah mereka.

.

Kami juga berpeluang menyaksikan pembacaan puisi oleh beberapa tokoh penyair yang sebelum ini hanya kami kenal melalui nama dan karya. Misalnya Zurinah Hassan, Ismas Saring, Ahmad Razali Yusuf dan Sabar Bohari.

.

Puan Raja Rajeswari Seetha Raman yang merupakan antara penulis muda aktif masa kini telah pun membaca sajak beliau berjudul “Monolog Buana Palestina” sebelum kami sampai. Beberapa pelajar UiTM pula menyampaikan sajak dengan gaya tersendiri. Tidak kurang juga penyair mendeklamasikan sajak berkaitan rancangan Amerika Syarikat menyerang Iraq. (Serangan itu dilakukan lima hari kemudian.)

.

Cikgu S.G. Prabhawathy menyampaikan sebuah sajak ciptaan sendiri berjudul “Tugu Yang Kian Condong”. Sajak berkenaan membicarakan masalah di kalangan remaja masa kini yang semakin hilang harga diri. Sajak ini turut disiarkan dalam majalah Remaja, 1 April 2003 serta boleh dibaca dalam Kavya, April 2003.

.

Uthaya Sankar SB Sir pula tidak membaca puisi atau sajak. Sebaliknya beliau membaca petikan cerpen berjudul “Datuk Datang Ke Kampung Kami”. Apa yang menarik, beliau membaca dialog watak-watak tertentu dengan mengajuk cara percakapan beberapa individu yang dikenali umum.

.

Secara keseluruhan, kami berasa gembira kerana berpeluang menyaksikan acara baca puisi seperti ini bagi kali pertama. Hujan yang mula turun lebat sejurus selepas acara bermula tidak mematahkan semangat para penyair dan penonton.

.

Kami berharap dapat mengajak ramai lagi rakan-rakan kami untuk datang sama di masa hadapan. Malah, kami juga akan cuba mengambil bahagian dalam acara yang diadakan.

.

(Laporan Thinesh, Sre Murugan, Lesle Denver & Jordan Leon Kostka dalam Kavya, April 2003)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!