17 Apr 2010

Ramayana dari Sudut Pandangan yang Lain

Rata-rata penganut agama Hindu masih menganggap Ramayana sebagai teks kudus dan suci. Maka kandungan teks berkenaan perlu diterima tanpa dipersoalkan. Ajaran yang terkandung dalam Ramayana dijadikan panduan hidup.
.

Bagaimanapun, mengikut peredaran zaman, para pengkaji dan peneliti sudah mula memberi interpretasi baru terhadap kandungan karya sastera agung atau adi-kavya berkenaan. Tindakan ini tidak pula mencemarkan keagungan Ramayana. Sebaliknya, membuktikan bahawa teks itu boleh ditafsir dari pelbagai sudut.

.

Kalau dikaji secara teliti, Ramayana juga memiliki ciri teks sejarah atau itihasa kerana membuat rujukan pada peristiwa dan tempat-tempat yang memang terdapat dalam catatan sejarah. Misalnya mengenai pelayaran dari Benua Kecil India ke Kadaram (Kedah).

.

Ramayana turut berciri politik dan melakukan sindiran halus terhadap golongan diraja. Malah, apa yang lebih menarik, kisah-kisah dalam Ramayana masih relevan hingga hari ini.

.

Teks asal Ramayana dipercayai ditulis oleh seorang penyair agung bernama Valmiki. Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Sanskrit iaitu bahasa yang dikaitkan dengan sastera dan agama di India pada zaman dahulu. Tarikh sebenar Ramayana ditulis tidak diketahui. Namun, pengkaji percaya bahawa teks berkenaan ditulis antara abad ke-4 SM dan abad ke-2 M.

.

Jangka masa yang lama ini juga memberi ruang untuk para pengkaji membuat andaian bahawa Ramayana sebenarnya tidak ditulis oleh seorang pengarang. Mungkin cerita asal mengenai Rama adalah daripada tradisi lisan yang kemudian diubahsuai dan ditulis secara bersiri oleh beberapa pengarang dalam bentuk teks.

.

Ramayana juga bukanlah teks milik orang Tamil seperti yang disangka ramai. Teks asal ditulis dalam Bahasa Sanskrit iaitu bahasa yang dikuasai oleh golongan Arya di bahagian utara India. Hanya kemudian seorang penyair Tamil bernama Kamban mengolah semula teks Ramayana ke dalam Bahasa Tamil lalu diberi judul Ramayanam. Barulah golongan Dravida di bahagian selatan India berpeluang menikmati cerita Ramayana.

.

Di negara India, Ramayana terdapat dalam Bahasa Tamil, Telegu, Malayalam serta bahasa-bahasa lain. Oleh kerana diberi status sebagai teks suci dan teks keagamaan, Ramayana tersebar luas ke negara-negara Asia bersama penyebaran agama Hindu. Jadi, tidak hairanlah Ramayana tidak asing lagi di Malaysia, Thailand, China, Jepun, Tibet, Fiji, Surinam, Indonesia dan Burma. Malah, kini, Ramayana terdapat di seluruh dunia dalam kesemua bahasa utama dunia.

.

Wayang kulit di Malaysia, Thailand dan Indonesia tidak lengkap tanpa cerita yang diambil daripada teks Ramayana. Malah, wayang kulit itu sendiri berasal dari Mysore dan Kerala, India. Wayang Wong dan Tari Puteri di Indonesia serta Nang Talung, Nang Yai dan Khon yang terkenal di Thailand juga dipersembahkan berdasarkan cerita Ramayana.

.

Di India pula, kisah-kisah dalam Ramayana menjadi dasar bagi dramatari Kutiyattam, Kathakali, Yakshgana, Ramlila dan Therukuttu. Di Asia Tenggara, Ramayana sudah menjadi sebati dengan penduduk Thailand dan Indonesia.

.

Kisah Ramayana adalah mengenai watak Rama yang merupakan putera dari Ayodhya di bahagian utara India. Berikutan konspirasi licik ibu tirinya, Rama terpaksa tinggal dalam buangan selama 14 tahun. Turut menyertainya ialah adiknya, Letchumanen, dan isterinya, Sita. Mereka adalah golongan Arya.

.

Ditakdirkan, Sita diculik Rawana iaitu raja Dravida yang digambarkan sebagai ketua raksasa di Langkapuri (Sri Lanka). Di sini, terbukti terdapat motif politik diselitkan secara halus oleh pengarang Ramayana. Orang Arya digambarkan sebagai wira manakala orang Dravida iaitu peribumi di India digambarkan sebagai raksasa, lotong dan beruang.

.

Walau bagaimanapun, Valmiki tidak ketinggalan mengkritik dan menyindir orang Arya secara tersirat. Misalnya, apabila Vaali dan Sugriva tertarung, Rama melepaskan anak panah dari tempat persembunyian. Sebelum meninggal dunia akibat terkena anak panah, Vaali sempat melahirkan rasa kecewa atas tindakan dayus Rama menyerangnya secara tidak adil.

.

Malah, semasa berada di hutan, Sita ternampak seekor kijang emas lalu mahu memilikinya. Rama pula mengejar kijang emas itu untuk ditangkap dan dihadiahkan kepada isteri tersayang. Pada kesempatan itulah Rawana menculik Sita. Sebenaranya, kijang emas itu adalah lambang maya atau kejahilan manusia. Rama sebagai seorang putera yang terpelajar dan tahu segala ilmu tetap terpedaya dengan kewujudan kijang emas.

.

Selepas Rawana ditewaskan, Rama, Sita dan Letchumanen pulang ke Ayodhya. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Rama mencurigai kesucian Sita yang telah tinggal lama bersama Rawana. Lalu, Sita yang sarat mengandung dihantar ke hutan. Di hutan itulah, kononnya, menurut Valmiki, dia bertemu Sita. Wanita itu menceritakan kisahnya kepada Valmiki lalu penyair agung berkenaan menghasilkan teks Ramayana.

.

Untuk memberikan nilai kudus kepada Ramayana, maka Rama digambarkan sebagai avatara atau inkarnasi Dewa Vishnu. Watak Hanuman, si lotong yang membantu Rama pula kononnya inkarnasi Dewa Shiva yang kesebelas iaitu Rudra Avatara.

.

Ramayana juga dipercayai dijadikan “senjata” untuk mengatasi penyebaran ajaran agama Buddha di India pada zaman dahulu. Sebab itulah Ramayana diberi status teks suci supaya lebih mudah dijadikan wahana bagi penyebaran agama Hindu. Apa yang menarik, penganut ajaran Buddha pula membuat sedikit pengubah suaian dan mengatakan bahawa Rama adalah inkarnasi Sidharta Gautama Buddha.

.

Walau apapun agenda sebenar di sebalik penghasilan Ramayana, karya berkenaan sudah membuktikan bahawa ia tahan diuji zaman. Ramayana kini dikenali penduduk seluruh dunia. Malah, kisah-kisah dalam Ramayana diberi interpretasi baru dan dijadikan bahan kajian. Ramayana turut menjadi bahan bagi karya parodi.

.

[Sila KLIK DI SINI untuk membaca "Ramayana dalam Pelbagai Versi"]

..

(Makalah oleh Uthaya Sankar SB disiarkan dalam Siasah, Mei 2003; ArahKiri, 15 Mei 2003 dan Kavya, Jun 2003)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!