24 Apr 2010

Cerpenis

Uthaya Sankar SB, “Cerpenis”, Karya, Oktober 1997, hlm. 12-14.
..
Sejak di bangku sekolah, Vasanthi berminat menulis cerpen untuk dikirim ke pelbagai akhbar Tamil. Kekasihnya, Prakash, memberikan galakan. Malah dia memuji-muji hasil karya Vasanthi.
Tetapi galakan dan pujian itu hanya sementara mereka masih bercinta dan mula-mula berkahwin. Beberapa bulan selepas berkahwin, sikap Prakash mula berubah. Dia sudah tidak menggalakkan Vasanti meneruskan minatnya dalam bidang penulisan. Katanya, kalau Vasanti asyik berkarya, siapa yang akan menjaga kebajikan dirinya dan hal rumah tangga.
Namun begitu, apabila Prakash menyedari bahawa Vasanti mengandung anak sulung, dia mula berlembut. Dengan itu, sepanjang sembilan tahun mengandung, Vasanthi berpeluang untuk berkarya seperti dahulu. Setelah melahirkan anak sulung, Vasanthi terlalu sibuk sehingga tidak ada masa untuk berkarya.
Setahun kemudian, Vasanthi bercadang hendak aktif semula. Seperti yang sudah diduga, Prakash menghalang dengan keras. Maka berlakulah sedikit pertelingkahan mulut antara pasangan suami-isteri itu. Vasanthi cuba menerangkan bahawa bidang penulisan sudah sebati dengan jiwanya. Dia juga mahu membimbing pembaca – wanita khususnya – melalui karya yang dihasilkan.
Sebaliknya Prakash menyindir dengan mengatakan bahawa Vasanthi sebenarnya mahu mendapat ramai peminat daripada kalangan pembaca lelaki. Dia ternyata cemburu.
Apabila Vasanthi sekali lagi menyatakan keinginannya pada keesokan harinya, Prakash memintanya agar jangan membazir masa. Katanya, biarlah bidang penulisan menjadi kenangan masa silam. Prakash meminta Vasanthi menerima hakikat bahawa zaman penulisannya sudah berakhir.
Selepas suaminya ke pejabat, Vasanthi mula menangis. Pada waktu itu datang kakaknya, Mallathi. Vasanthi menerangkan apa yang telah terjadi. Mereka lalu membincangkan apa agaknya punca sebenar Prakash menghalang Vasanthi daripada meneruskan minatnya dalam penulisan.
Mallathi kemudian mencadangkan supaya Vasanthi terus menulis tanpa pengetahuan suami; iaitu dengan menggunakan nama samaran. Saranan itu membuatkan Vasanthi semakin runsing memikirkan segala kemungkinan yang mungkin terjadi.
Akhirnya Vasanthi memutuskan bahawa dia tidak mahu menipu suaminya. Sebaliknya dia mahu menjadi cerpenis dengan izin suami. Pada masa yang sama, dia mahu Prakash memperakui dan menghormati keputusannya untuk kekal sebagai cerpenis. Untuk itu, Vasanthi memutuskan untuk berbincang secara mendalam dengan suaminya.
..
Maklumat yang dipaparkan adalah petikan Bab Tiga tesis Uthaya Sankar SB bertajuk Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia (Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya: 1998).

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!