3 Apr 2010

Saroja Theavy Balakrishnan


Dilahirkan pada 7 April 1962, di Alor Setar, Kedah Darul Aman. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Hj. Mohd. Shariff dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda (dalam bidang Linguistik, Sastera dan Komunikasi), dan seterusnya memperoleh Diploma Pendidikan. Kemudian sarjana dalam bidang kesusasteraan dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
..
Saroja pernah bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kepong Baru, Kuala Lumpur; Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 18, Shah Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Megah, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.
..
Menulis cerpen untuk bacaan umum, remaja, dan kanak-kanak. Mula berjinak dalam bidang penulisan sejak di peringkat universiti. Pada mulanya, menulis puisi semasa sedang menuntut di UKM, dan aktif sebagai wartawan akhbar Nadi Bangi (akhbar keluaran Jabatan Komunikasi, UKM).
..
Semasa mula bertugas sebagai guru, cerpen yang berjudul “Bukit Sikikih Mengaum” mendapat hadiah sagu hati dalam Pertandingan Menulis Cerpen, anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (1987). Antara kejayaan besar yang diraih adalah kejayaan mendapat tempat pertama daripada lebih 450 buah cerpen dalam Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia 2000.
..
Anugerah Dalam Penulisan Cerpen:
1. Hadiah Penghargaan Hadiah Cerpen Utusan Melayu 2000, bagi kategori cerpen dewasa.
2. Hadiah Penghargaan dalam Peraduan Menulis Cerpen Kanak-kanak- Anjuran Kementerian Alam Sekitar, 2000.
3. Tempat Pertama dalam Peraduan Menulis Cerpen Formula Malaysia, 2000.
4. Tempat Pertama dalam Peraduan Menulis Cerita Kanak-kanak Kategori Bahasa Melayu Tahap 1, Kementerian Pendidikan Malaysia 1999. (sempena Hari Guru)
5. Hadiah Utama, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, kategori Cerpen Remaja, 1998.
6. Hadiah Penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP VII, 1996.
7. Tempat Kedua dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP VII, 1996.
8. Hadiah Penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-Kategori B, 1994/95.
9. Tempat Kedua dalam Peraduan Menulis Cerpen DBKL-BBP, sempena 100 tahun Kuala Lumpur, 1990.
10. Tempat Pertama dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP IV, 1991.
11. Tempat Kedua dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP II, 1989.
12. Hadiah Penghargaan dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP I, 1988.
13. Hadiah Penghargaan dalam Pertandingan Menulis Cerpen Remaja - Anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, 1988.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!