Dari biru jantung pergunungan,
kudengar degup suara Bonda bersua,
berdesur-desir di sayap angin,
merdu gemerisik berkesiur mersik,
menggesa lembut, manja membelai,
di kala pagi raya,
terjaga aku dari katil kehidupan.
..
Betapa hatiku cair mengalir,
memikir kasih Bonda kepadaku sekian lama,
memikir budi Bonda kepada keluarga besar,
yang kian permana di dada bonda.
..
Tanpa tanah hijau ini,
Tanpa kibaran jalur gemilang,
Siapalah kita,
di pentas dunia yang pantas berkalih.
..
Dari jantung pergunungan biru,
kudengar gema suara Bonda bersemboyan,
menyeru kalian anak-anaknya,
bersatu, berjuang menyalakan kandil setia,
tanpa beza rupa wajah dan rona kulit,
demi membakar akar mungkar,
di segenap jasad ibu pertiwi.
..
Sudah selamanya aku mendulukan aku,
sudah selamanya kau mendulukan kau.
Sudah tiba masanya,
kita mendulukan ibu pertiwi,
membelakangkan beza,
menyimpulkan kasih,
membina meja bulat di puncak pergunungan biru,
dalam damai permai pelukan kasih Bonda.
..
Di kala pagi raya,
kudengar suara Bonda dalam siulan unggas,
kutatap wajah Bonda di puncak pergunungan biru,
dari katil kehidupan kubangun,
kuucap syukur kepada Yang Esa,
kerana menganugerahkan,
seorang Bonda yang maha utuh,
kepada kita,
anak-anak terbilang di susur kala.
(Karya Saroja Theavy Balakrishnan sempena Ratib Seribu Syair)
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!