4 May 2010

Bitara Sita

Sita bersiap sedia untuk meninggalkan Pulau Cinta. Sebentar lagi Rama akan datang membawanya pergi. Lega hati Sita kerana semua ini akan berakhir.
.

Ravana pun pasti lega. Dia sudah tidak perlu memakai topeng sepuluh kepala. Banyak kali juga kepalanya itu tertanggal semasa beraksi. Ravana memang rimas memakai topeng itu. Tapi permintaannya agar memiliki satu kepala sahaja telah ditolak oleh Rama. Alasannya kerana mahu mengekalkan tradisi. Kalau Ravana hanya berkepala satu, akan hilang unsur kebengisan dirinya. Sebagai alternatif, Ravana dibenarkan menggunakan backing. Ahli stunt dikerah memegang peranan Ravana dalam kebanyakan adegan.

.

Selain itu, proses perfileman banyak kali tergendala oleh tindakan Ravana. Dia meminta cuti pada hari pelancaran sebuah antologi stensilan yang mengandungi puisi-puisi berhubung kekebalan raja-raja. Katanya, dia mahu melihat kalau-kalau Bibasenam, bekas nujumnya turut menghantar karya untuk dimuatkan di dalam antologi berkenaan.

.

Apabila selesai penggambaran luar ini, bolehlah Sita pulang ke apartment yang ditinggalkannya dua belas tahun yang lalu. Sepatutnya Sita sudah pulang beberapa tahun yang lalu; tetapi disebabkan oleh beberapa masalah teknikal, penggambaran dokumentari ini mengambil masa yang lebih lama.

.

Salah satu sebabnya, Indrajit. Sita sendiri tidak pasti siapa pemuda terakhir yang memegang peranan itu. Indrajit yang asal telah menarik diri daripada terlibat dalam penggambaran filem dokumentari. Semuanya timbul setelah dia terbaca Kembang Kanigara karya S.M. Zakir. Indrajit meminta peranannya diubah agar wataknya diputihkan sebagaimana dalam novel tersebut.

.

Rama tidak setuju kerana takut Indrajit pula yang timbul sebagai wira dalam filem dokumentari itu nanti. Akhirnya Indrajit membawa diri ke Australia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Real Estate Management.

.

Selepas kejadian itu, beberapa orang dijadikan anak angkat oleh Ravana bagi menggantikan tempat Indrajit pergi menentang Rama. Semuanya tidak kena. Masing-masing ada alasan untuk menarik diri daripada menurut kehendak Ravana.


.

Pada akhirnya seorang pelakon telah digunakan sebagai Indrajit. Aksi dan dialog diminimumkan selaras dengan ketidakupayaan berlakon pemuda itu.

.

Dokumentari pengembaraan ini memakan belanja besar. Lokasinya juga banyak kali bertukar. Ravana terpaksa memindahkan istananya dari Langkapuri kerana tidak tahan dengan siri pengeboman LTTE. Akhirnya Ravana memilih Pulau Cinta berhampiran Pulau Ketam.

.

Tapi timbul masalah bagi Ravana mendapatkan permit daripada pihak berkuasa kerana pulau itu tidak wujud di atas peta. Ravana sendiri hanya menemui pulau tersebut setelah terbaca antologi cerpen Tinggalkanlah Pelabuhan Ini.

..

Petikan cerpen “Bitara Sita” dalam Siru Kambam (DBP, 1996&1997). Cerpen ini menerima Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1993.

2 comments:

  1. Penutup bagi cerpen 'Bitara Sita' menampakkan seluruh cerpen itu seperti 'real',(Rama telah meminta saya tolong carikan lokasi yang sesuai. Kalau anda ada cadangan, silalah hubungi saya melalui telefon 03-3424941 dengan segera; sebelum Deepavali.) Tentu Pak Cik menerima banyak panggilan kan..=)

    ReplyDelete
  2. Ya, benar. Sehingga nombor telefon itu berubah pada tahun 2000.

    ReplyDelete

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!