21 Apr 2010

Memperkatakan Yang Tidak Diperkatakan

Suatu hal yang ketara (dan sesungguhnya saya senangi) dalam cerpen-cerpen saya adalah penampilan budaya, bahasa, adat dan cara hidup kaum India. Sebenarnya, saya beranggapan adalah menjadi tanggungjawab saya menampilkan kebudayaan kaum India untuk tatapan dan pemahaman para pembaca yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia.
.

(Uthaya Sankar SB, Siru Kambam: 1996)

.

Mukadimah

.

Pembicaraan cerpen yang dilakukan di sini adalah kumpulan cerpen Siru Kambam karya Uthaya Sankar SB. Beliau merupakan seorang karyawan Bukan Melayu yang berjaya menghasilkan cerpen-cerpen yang memiliki kekuatan tersendiri dalam Bahasa Malaysia.

.

Pencapaian beliau adalah melalui pengasahan bakat yang terpendam dalam dirinya dengan menghadiri seminar dan bengkel cerpen yang dikendalikan oleh Prof Madya Dr Othman Puteh dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kehadiran beliau telah dirasai apabila beliau memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP (Kategori A).

.

Kematangan penulisan beliau dapat dilihat daripada karya-karya yang tersiar dalam majalah dan akhbar tempatan. Seterusnya, buku Siru Kambam, Orang Dimensi, Munis Dengan Harimau dan novel parodi Hanuman: Potret Diri mengetengahkan peningkatan beliau dalam alam penulisan kreatif.

.

Kumpulan cerpen Siru Kambam memuatkan cerpen-cerpen yang membicarakan pelbagai tema dan perwatakan. Latarnya adalah kampung Siru Kambam yang merupakan sebuah daerah yang berhampiran dengan Taiping, Perak. Beliau sangat serasi dengan daerah ini kerana beliau tinggal di sini lebih kurang dua puluh tahun sejak lahir sebelum beliau berpindah ke Klang, Selangor. Dengan itu, sudah tentulah beliau lebih yakin menjadikan daerah ini sebagai latar bagi cerpen-cerpen beliau.

.

Selain itu, perwatakan juga adalah terdiri daripada kaum India yang beliau kenali dengan lebih mendalam kerana beliau berasal daripada golongan ini dan ketinggalan juga kaum Melayu dan Cina yang turut dipaparkan. Ini adalah suatu penglibatan yang baik kerana generasi yang mewakili Uthaya adalah generasi yang lebih berpeluang bercampur-gaul sejak bangku sekolah dan kefahaman juga lebih mantap kerana penguasaan Bahasa Malaysia oleh kaum-kaum lain. Lebih-lebih lagi, selain mendalami isu-isu kaum India, Uthaya juga cuba mendampingi masyarakat Melayu dan Cina dengan mengutarakan persoalan-persoalan dari segi kaca mata masyarakat tersebut.

.

Kaedah Pembicaraan

.

Pembicaraan cerpen-cerpen ini dianalisis berpandukan kaedah strukturalisme kerana ia sesuai untuk memberi gambaran secara keseluruhan. Strukturalisme juga menitikberatkan teks itu sebagai media yang membawa sesuatu mesej. Ini dijelaskan oleh M. McLuhan yang berkata, “the medium is the message” (A. Teeuw, Teori dan Kritikan Kesusasteraan: 1984).

.

Seterusnya, A. Teeuw juga memberi penjelasan mengenai kehendak strukturalisme seperti berikut:

.

Analisis struktural bertujuan untuk membongkar dan memaparkan secermat, seteliti, semendetail dan mendalam mungkin keterkaitan dan keterjalinan semua anasir dan aspek karya sastera yang bersama-sama menghasilkan makna menyeluruh.

.

Justeru itu, dengan bantuan kaedah strukturalisme ini, struktur-struktur sesuatu genre dapat dianalisis dengan rapi berasaskan penjalinan cerita. Kajian terperinci seperti ini akan mengupas mesej yang dibawa oleh genre tersebut.

.

Selain daripada itu, teori strukturalisme juga digunakan untuk mendalami sesuatu teks supaya makna yang tersirat boleh difahami. Michael Cane berkata:

.

Strukturalisme meneliti sesuatu struktur bukan pada tahap permukaan "yang tersurat" atau tahap yang boleh dilihat, tetapi pada tahap dalaman atau di sebalik realiti yang tersirat.

.

(Hashim Awang, Kritikan Kesusasteraan: Teori dan Penulisan: 1988)

.

Dengan demikian, cerpen yang mempunyai mesej tersirat dapat didalami dengan bantuan teori strukturalisme. Kebanyakan cerpen dalam kumpulan Siru Kambam mempunyai mesej tersirat. Justeru, pembicaraan cerpen-cerpen sedemikian hendaklah dilakukan dengan cermat.

.

Unsur Kepercayaan Kaum India

.

Unsur kepercayaan dalam kaum India harus dilihat dari pelbagai sudut. Ada unsur-unsur yang dipercayai turun-temurun dan tidak boleh dipersoalkan; sebaliknya diterima oleh semua. Ada pula kepercayaan yang diterima secara individu dan ada pula golongan yang menentangnya.

.

Dalam cerpen “Persaudaraan Banyan”, Uthaya cuba membangkitkan kepercayaan segolongan kaum India yang mengatakan bahawa seseorang itu akan dapat menyempurnakan hasrat mereka sebelum meninggal dunia.

.


Khandan yang mengidap AIDS akibat pemindahan darah sangat ingin bertemu dengan kawan-kawannya sebelum meninggal dunia. Tetapi sebelum hasratnya tercapai, ia terlibat dalam suatu kemalangan dan berada dalam keadaan koma.

.

Tetapi, kawan-kawan yang tertemu selepas kematian Khandan, masing-masing membawa cerita bahawa Khandan berada di sisi mereka sehari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir. Balakrishna yang berada di London turut dapat bertemu dengan Khandan.

.

Sebagai mengukuhkan kemungkinan peristiwa ini berlaku, ibu Khandan berkata:

.

Mak cik selalu menyuruhnya berdoa dan memberitahu, “Tuhan tidak akan mengecewakan harapan hamba-hamba-Nya.”

.

Ini merupakan suatu perkara yang sukar diterima tetapi sesetengah golongan masyarakat India mempercayainya. Kepercayaan kepada Tuhan dan penganutan agama adalah kepercayaan yang diterima secara keseluruhan oleh masyarakat India.

.

Tetapi, oleh kerana golongan Brahmin mengambil kesempatan kedudukan mereka sebagai teratas dalam struktur kasta dan menggunakan kepercayaan/agama untuk menindas kasta-kasta lain, maka wujudlah suatu fahaman menyangkal kewujudan Tuhan, ia dikenali sebagai “Gerakan Reformasi Sosial” yang dipimpin oleh E. V. Ramasamy Naiker dalam tahun 1940-an di India.

.

Mereka lebih mementingkan usaha menghapuskan sistem kasta yang menjadi agen penindasan di kalangan masyarakat India. Tetapi, ia hanya dapat dilakukan dengan menentang kepercayaan kewujudan Tuhan kerana agama dan sistem kasta mempunyai kaitan yang erat.

.

Kepercayaan ini juga telah menular ke Malaysia kerana golongan penentang kewujudan Tuhan adalah golongan yang bertanggungjawab menaikkan martabat bahasa dan kaum India/Tamil.

.

Walaupun Uthaya tidak meneliti masalah ini secara mendalam, tetapi dia sempat mengemukakan watak Senduram yang mewakili puak menentang kepercayaan kewujudan Tuhan. Lebih-lebih lagi, Uthaya mengambil kesempatan dengan menggunakan watak Senduram untuk membicarakan hasrat hati golongan yang tidak percaya kepada Tuhan.

.

Tetapi, Uthaya masih merupakan orang yang konvensional dengan tidak lari daripada golongan majoriti yang percaya kepada Tuhan dengan mematikan watak Senduram dalam cerpen “Siru Kambatil”.

.

Dalam cerpen “Pancayat”, Uthaya juga membawa persoalan kepercayaan kepada Tuhan dan sebarang tindakan negatif yang dilakukan akan dihukum oleh Tuhan.

.

“Pancayat” membawa kisah Sitambaram, James Arivalahan, Kim Seng dan Mahmood yang melah mencuri berhala emas Kaali Devi dari kuil Maha Kaali. Pada akhir cerita, keempat-empat mereka mati secara misteri. James dikatakan mati ditanduk lembu pelaga, Kim Seng mati tertembak senapangnya sendiri, Mahmood mati lemas di balongnya dan Sitambaram pula mati dengan berhala Kaali Devi menerobos perutnya.

.

Keempat-empat kematian disengajakan oleh penulis kerana masyarakat India/Hindu menaruh kepercayaan mutlak terhadap berhala di kuil. Sesiapa yang menganiaya atau berkelaluan buruk terhadap berhala di kuil, maka ia akan dihukum dengan kematian misteri. Kepercayaan ini tidak dapat dipersoalkan kerana ia adalah abstrak dan dipercayai secara keseluruhan tanpa dipersoalkan.

.

Cerpen “Doa Tahun Baru” pula membawa kepercayaan masyarakat India bahawa wanita dalam sesebuah keluarga sebagai isteri serta ibu adalah unsur yang menyerikan keluarga tersebut. Dalam cerpen ini, ketua keluarga mengatakan kepada isterinya:

.

Awaklah Lakshmi dalam rumah ini. ... Awaklah yang memberikan nafas pada rumah tangga ini. Mungkin anak-anak kita pun patut memandang awak sebagai objek pertama. ...

.

Di sini, Uthaya cuba membangkitkan dua kepercayaan iaitu isteri adalah penyeri keluarga seperti mana Dewi Lakshmi (Tuhan yang memberi kebahagiaan dan kekayaan). Seterusnya, objek pertama yang harus seseorang pandang apabila bangun pada pagi tahun baru haruslah suatu objek yang akan membawa kebaikan kepada mereka sepanjang tahun berkenaan. Dengan itu, kesemua orang akan memilih untuk membuka mata di hadapan imej Tuhan.

.

Penulis juga memberi gambaran tersebut melalui usaha-usaha watak isteri di mana beliau cuba membawa anak-anaknya serta suaminya berhadapan dengan imej/berhala Tuhan. Tetapi, watak suami dan anak-anak memilih untuk memandang watak isteri/ibu untuk memenuhi hasrat mereka ini.

.

Kepercayaan seperti ini memberikan kedudukan yang tinggi kepada wanita dalam keluarga masyarakat India. Tetapi, dalam banyak keadaan, kedudukan ini tergugat. Dan golongan wanita mengalami rintangan-rintangan yang tersendiri.

.

Selain daripada itu, cerpen ini juga turut membawa kepercayaan bahawa Tuhan akan memakbulkan segala doa yang diminta kepada-Nya. Watak anak mengatakan:

.

Saya percaya Tuhan akan menerima doa tahun baru kanak-kanak yang tidak nakal.

.

Sebagai mengulas doanya terdahulu, iaitu dia ingin mendampingi ibu untuk kesemua perayaan yang akan datang kerana ia khuatir apabila ibunya pengsan. Kepercayaan kepada Tuhan adalah sangat tebal di kalangan masyarakat India. Dan ini dipupuk sejak awal.

.

Cerpen “Krishna: Potret Diri” membawa kepercayaan agama yang mempunyai nilai falsafah yang tinggi. Sebenarnya, kepercayaan/agama Hindu mengatakan bahawa semua roh iaitu “athman” (roh) akan bersatu dengan Tuhan iaitu “Brahman” (Pencipta) atau “Paraathman” (Roh Besar).

.

Krishna dalam cerpen ini mewakili Brahman dan kesemua wanita itu adalah “athman”. Penulis juga membicarakan bahawa jikalau dipandang dengan mata kasar, maka ia menjadi suatu perbuatan yang dilakukan oleh iblis. Ertinya, perlakuan penyatuan roh dengan Tuhan akan selalu diganggu oleh iblis dan roh-roh yang berjaya mengatasi dugaan iblis sahajalah yang boleh berjaya bersama-sama dengan Tuhan.

.

Ini merupakan falsafah agama Hindu yang sukar ditafsirkan. Tetapi Uthaya cuba memberi pengamatan yang serius kepada isu ini dengan menggunakan watak-watak Purana.

.

Unsur Mitos Daripada Purana

.

Uthaya ternyata banyak menggunakan unsur-unsur mitos dari purana-purana untuk memberi keyakinan kepada persoalan-persoalan yang dibawa dalam cerpen-cerpennya.

.

Dari sudut lain, beliau juga cuba berusaha mengetengahkan unsur-unsur mitos ini kepada para pembaca yang belum mengenali unsur-unsur berkenaan.

.

Unsur-unsur mitos ini mempunyai mesej tersendiri dan ada kalanya beberapa perlakuan watak-watak purana yang sama boleh dimunculkan balik untuk menguatkan perlakuan watak dalam karya kreatif.

.

Cerpen “Siru Kambatil” yang membawa kisah antara percaya atau tidak pada kewujudan Tuhan telah dikukuhkan dengan pemilihan peristiwa purana. Dalam cerpen ini, penulis telah melukiskan watak seorang wanita iaitu Abhirami, anak kepada Sri Ramani yang menjadi sami di kuil.

.

Sebenarnya, nama Abhirami dipilih kerana ia adalah perwatakan Tuhan dalam Purana yang akan membunuh orang yang berdosa. Dalam cerpen ini, Senduram mati bermuntahkan darah; kononnya selepas meminum madu yang dibelinya sendiri.

.

Kesemua orang tidak dapat menyimpulkan kematiannya bahawa dia dibunuh oleh Tuhan Yang Maha Esa kerana dia telah mencabar kewujudan-Nya.

.

Walaupun kesudahan cerita tidak menjelaskan kematian itu, penulis terlebih dahulu memberi isyarat bahawa Abhirami sebagai watak Purana akan melakukan sesuatu.

.

Perwatakan Abhirami digambarkan pada permulaan cerpen seperti ini:

.

Abhirami membeliakkan matanya yang beralis tebal.

.

Kemudian, ada penggambaran seperti berikut:

.

Sementara itu, tanpa Senduram sedari, sepasang mata beralis tebal sedang memperhatikannya melalui lubang di dinding rumah buruk itu. Siapakah dia dan apakah tujuan kedatangannya?

.

Kata-kata ini telah menjelaskan siapakah yang bertanggungjawab atas kematian Senduram.

.

Di samping itu, watak Abhirami juga disamakan dengan perlakuan Draupathi dalam Mahabharata di mana ia membiarkan rambutnya terurai dan tidak bersanggul sehingga Dhuryodhana dibunuh oleh Bhima.

.

Cerpen “Siru Kambatil” pula membawa penggambaran seperti berikut:

.

Abhirami membiarkan sahaja rambutnya terurai mengerbang. Dia tersenyum.

.

dan

.

Senduram jatuh ke bumi Siru Kambam. Dia tidak bangkit semula. Dan Abhirami yang menyaksikannya tersenyum di dalam hati sambil mengikat rambutnya menjadi sanggul.

.

Ini jelas menunjukkan bahawa penulis telah mengungkit semula peristiwa pembinasaan dalam mewarnai cerpen sekarang untuk meyakinkan lagi para pembaca.

.

Cerpen “Bitara Sita” membawa watak-watak yang mengambil nama-nama daripada epik Ramayana iaitu Rama, Sita, Ravana, Inderjit, Hanuman dan sebagainya.

.

Seperti mana Uthaya sendiri mengakui bahawa beliau telah membuat satu percubaan intertekstual untuk menggabung-jalin peristiwa sekarang dan dahulu. [Baca juga mengenai intertekstual DI SINI]

.

Dengan menonjolkan unsur-unsur mitos, penulis juga mengambil kesempatan memasukkan peristiwa-peristiwa terkini. Peristiwa pengeboman LTTE, tindakan merobohkan Masjid Babri yang kononnya dibina di atas tapak kelahiran Rama, penahanan seorang kenamaan dari Malaysia di lapangan terbang Amerika Syarikat dan seorang belia yang menyeludup masuk ke bahagian ruang tayar kapal terbang yang berlaku di Malaysia (dan sebagainya) juga turut dibawa masuk dalam cerpen ini.

.

Cerpen “Krishna: Potret Diri” adalah mitos yang dibawa daripada karya Krishnalila. Mitos ini membawa falsafah sufi di mana Tuhan boleh didampingi dengan memuja-Nya sebagai kekasih. Ia juga dikatakan suatu saluran untuk mencapai moksha. Cerpen ini juga mengungkit mitos-mitos ini yang tidak lagi berapa popular di kalangan generasi muda kaum India.

.

Cerpen “Menyimpang” (“Sengketa Pulau Cinta”) membicarakan tema kekuasaan politik dengan bersandarkan pada unsur-unsur mitos. Pada masa sekarang, ada kalanya dalam kerajaan demokrasi, timbul masalah antara ketua-ketua negara tentang siapa yang lebih berkuasa.

.

Dengan demikian, akan berlakulah beberapa tindakan untuk menundukkan satu sama lain dengan pelbagai cara. Walaupun pada suatu ketika, pertarungan ini akan berakhir, dan seorang harus tunduk/mengalah, namun ada keadaan di mana orang yang mempunyai kuasa yang sedikit itu tidak akan mengalah.

.

Kejadian-kejadian seperti ini yang berlaku sekarang dapat digambarkan melalui watak-watak purana. Di Pulau Cinta, Ravana yang menjadi maharaja kehilangan kuasa mutlak dan Rama, ketua perwakilan rakyat, memiliki segala kuasa pemerintahan.

.

Ravana hanya diberi penghormatan apabila lalu di jalan raya dengan cara mengosongkan jalan raya untuk memberi laluan kepada ratanya.

.

Pada suatu hari, Rama dan Ravana telah bertemu di simpang jalan dan berlakulah pergelutan.

.

Rama dan Ravana terus terguling-guling di atas jalan raya sambil saling cekik-mencekik.

.

Pergelutan ini juga digambarkan sebagai suatu penghinaan kepada manusia yang berakal fikiran berbanding dengan binatang. Penulis dengan nada yang cukup sinis telah memberi gambaran selanjutnya gelagat dua ekor anjing seperti berikut:

.

Mereka terpinga-pinga Rama dan Ravana yang bergelut di atas jalan. Kedua-dua anjing itu berpandangan. Kemudian melihat jalan raya yang lengang. Lalu, sambil menggerak-gerakkan ekor masing-masing, kedua-dua anjing itu melintas simpang.

.

Penceritaan seperti ini lebih meyakinkan pembaca tentang mesej yang tersirat dalam cerpen seumpama ini.

.

Unsur Budaya Masyarakat India

.

Uthaya juga banyak memaparkan banyak unsur kebudayaan masyarakat India supaya pembaca daripada budaya lain boleh memahami budaya kaum India dengan lebih dekat.

.

Dalam cerpen “Nayagi”, Uthaya membawa kisah Madhavi yang dipaksa kahwin dengan pak ciknya, iaitu adik lelaki ibunya. Sebenarnya, dalam sistem keluarga masyarakat India, ada juga amalan mengahwini anak perempuan kakak seseorang, ataupun anak kepada adik-beradik perempuan ayah seseorang. Ataupun, sebaliknya, anak kepada abang atau adik ibu seseorang.

.

Dalam cerpen ini, perkahwinan paksa dan penentangan seorang gadis telah dilukiskan. Sebenarnya, dalam sistem keluarga India, gadis tidak diberi peluang untuk menyuarakan hasrat hatinya. Apabila anggota keluarga lelaki atau perempuan yang lebih dewasa membuat keputusan, maka orang muda terpaksa mengikut.

.

Dalam cerpen ini, Madhavi dipaksa berkahwin dengan pak ciknya, Ravi Kumar kerana Madhavi menjaga anak Ravi Kumar, Hari Kumar yang kehilangan ibunya. Tetapi, Madhavi pula mencintai anak Ravi Kumar iaitu Vijay Kumar yang juga merupakan sepupunya.

.

Uthaya juga dapat menyelitkan peristiwa Vijay Kumar mendengar ceramah pengikut Subramaniam Barathi iaitu seorang pujangga yang banyak menghasilkan karya supaya wanita kaum India dibebaskan daripada belenggu sistem kekeluargaan masyarakat India.

.

Pada akhirnya, Madhavi bertekad tidak mengahwini Ravi Kumar dan tetap dengan pendiriannya untuk berkahwin dengan Vijay Kumar. Ini adalah suatu suara positif yang sukar kedengaran dalam keluarga India.

.

Dalam cerpen “Doa Tahun Baru” juga, Uthaya banyak menjelaskan banyak amalan kaum India yang menyambut tahun baru. Dalam cerpen ini, penulis telah menjelaskan upacara keagamaan, makanan, pakaian, upacara mandi minyak dan siakai serta penerimaan kunjungan dengan memberi buah tangan (kaivisyesham).

.

Cerpen-cerpen seperti ini adalah sangat berguna kepada pembaca yang bukan dari kaum India. Bahkan, ia juga menjadi pencelik mata kepada anak-anak muda kaum India generasi baru.

.

Satu lagi isu yang dibangkitkan oleh Uthaya dari segi budaya adalah pengambilan nama suami oleh wanita kaum India selepas mereka berkahwin. Hal ini dibicarakan dalam cerpen “Wanita”.

.

Sebenarnya, tidak siapa pun tahu bagaimana amalan ini wujud dalam kalangan wanita kaum India. Malah, budaya India tidak menyebut amalan sedemikian. Ini adalah suatu amalan yang diikuti akibat pengaruh barat.

.

Ini merupakan suatu isi penting yang harus dibicarakan oleh khalayak kerana ia bukanlah kebudayaan kaum India. Justeru, mengapa pula kita harus terikut-ikut cara orang lain tanpa sebab?

.

Unsur-unsur Lain

.

Selain daripada itu, Uthaya juga menyingkap tema-tema lain seperti muhibah, persaudaraan akrab, politik, pergolakan jiwa dan juga cetusan fikiran daripada peristiwa yang dibaca dalam surat khabar.

.

Dalam cerpen-cerpen sedemikian, ia juga tidak ketinggalan menyelitkan mesej yang tersirat.

.

Dalam cerpen “Orang Pulau”, penulis kaum India cuba mengambil kaca maya watak-watak kaum lain. Beliau membicarakan betapa segolongan manusia menunggu saat untuk mencetuskan perkelahian walaupun melalui perkara remeh-temeh.

.

Beliau cuba mengutarakan bahawa perasaan dengki dan ketidakpuasan tidak boleh terpendam untuk jangka waktu yang panjang. Ini mungkin suatu ingatan daripada Uthaya supaya segala urusan haruslah dilakukan dengan tulus supaya tidak wujud perasaan syak wasangka.

.

Cerpen “Vis-à-vis” yang berbau politik menonjolkan pembicaraan seorang ahli politik dengan hatinya sendiri. Pada keseluruhannya, di dapati orang politik akan mengambil kesempatan untuk mencapai kemewahan sendiri. Ini diakui oleh orang politik yang dipaparkan oleh Uthaya.

.

Cerpen “Sang Penulis” yang juga berbau politik memberi suatu gambaran kepada para penulis yang bersikap sudah pun mencapai tahap kematangan, walhal, mereka tidak menyedari bahawa mereka akan ketinggalan dengan hanya berlabuh di tempat yang sama sedangkan orang lain pula telah sampai ke atahap yang lebih tinggi dan mampu menghasilkan karya yang lebih bermutu.

.

Kesimpulan

.

Penulisan Uthaya harus dilihat dengan teori strukturalisme di mana selepas penghasilan karya dilakukan, hanya teks akan diberikan tumpuan dan pengarang pula akan ditiadakan. Dengan ini, ia memberi peluang kepada para pembaca dan pengkritik membuat perhitungan masing-masing dari segi alat yang mereka boleh gunakan untuk mengukur.

.

Cerpen Uthaya berjudul “Mengubah Teks” sendiri menjelaskan keadaan ini; iaitu cerpen tersebut akan mencurahkan pelbagai makna kepada pembaca mengikut kemampuan tatapan masing-masing.

.

Uthaya telah berjaya menghasilkan genre cerpen dengan bahasa yang kuat, mencakupi fikiran para pembaca. Ia juga berjaya mempamerkan budaya masyarakat India kepada masyarakat lain dengan teliti.

.

Pada keseluruhannya, melalui kata-katanya sendiri, penulis kreatif Uthaya Sankar SB merumuskan:

.

Penulis adalah penimbul persoalan untuk renungan pembaca.

.

.

[Ditaip semula daripada kertas kerja bertajuk “Siru Kambam: Memperkatakan Yang Tidak Diperkatakan” oleh Dr Krishanan Maniam dari Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya pada Seminar Karya Generasi Baru III (Genre Cerpen) anjuran Bahagian Anugerah dan Penataran Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) di Sudut Penulis DBP pada 21 November 1998. Turut dimuatkan dalam surat berita Kavya keluaran Oktober 2002.]