5 May 2010

Catatan Sipahi Muda

Kami sampai di darat jauh malam. Orang-orang Maharaja Lela tidak kelihatan. Mereka fikir tentu Tuan Birch akan sampai ke sini pada 3 November.
.

“Naik ke darat,” arah Mat Arshad, menterjemah arahan Tuan Birch. “Tuan Birch mahu tidur.”

.

Kami – sepuluh orang sipahi dan dua belas anak kapal kaum Melayu – menurut. Secara senyap kami naik ke darat dan berbaring untuk tidur. Masing-masing keletihan setelah sepanjang hari mengedarkan notis-notis di kawasan hilir.

.

“Awak pastikah?” Tanyaku pada Ramu yang berbaring di sisiku.

.

Dia yang memberitahu aku semalam tentang notis-notis yang Tuan Birch edarkan tadi. Katanya, Tuan Birch telah mendapatkan tandatangan Sultan Abdullah secara paksaan.

.

“Betulkah Tuan Birch memaksa sultan itu?” Tanyaku.

.

“Begitulah yang saya dapat tahu. Awak tahu kan tentang perebutan kuasa antara Raja Yusof, Raja Abdullah dan Raja Ismail?” Tanyanya dengan mata masih tertutup.

.

“Ya, ya,” jawabku tidak sabar.

.

“Raja Abdullah dijadikan sultan oleh pemerintah British melalui Perjanjian Pangkor. Semua ini saya dengar daripada beberapa orang rakan Melayu,” kata Ramu dengan mata yang sudah semakin segar sekarang. “Jadi, apabila Sultan Abdullah enggan menandatangani surat meminta kawalan British, Tuan Birch mengancam membuang Sultan Abdullah dan menggantikan Raja Yusof sebagai sultan.”


.

“Oh!” Balasku sambil mengangguk.

.

Ramu kembali melelapkan mata. Dia berbaring dengan berbantalkan lengan. Aku melihat keliling. Sipahi-sipahi lain kukira sudah tidur. Anak-anak perahu kaum Melayu sedang berbual-bual dengan suara rendah.

.

Jurubahasa Tuan Birch yang bernama Mat Arshad agaknya sudah lama terlena di bawah pokok. Tuan Birch pula tentu tidur lena di dalam bilik khas di atas perahu Dragon.

.

Memang semua orang keletihan sejak sehari dua ini. Kami telah mengedarkan notis-notis di bahagian hilir. Kalau tidak silap aku, ada dua notis tentang perkara pungutan cukai. Selebihnya tentang pengisytiharan penguasaan British di negeri ini.

...

Petikan cerpen “Catatan Sipahi Muda” dalam Kathakali (2009). Terjemahan Inggeris [di sini].