“Rugi kalau kau lepaskan peluang ini. Nijinsky khabarnya akan bersara tidak lama lagi …”
“Semua ini pasti gimik sahaja. Apa nama pengurus Ballets Russes? Diaghilev? Mungkin dia sendiri yang menyebarkan khabar angin itu bagi mengaut keuntungan,” bidas saya.
“Kau ni cukup pelik,” kata pak cik saya sebagaimana biasa. “Tapi kau jangan lupa, anak pak cik sukakan balet. Tambahan pula Nijinsky yang memegang peranan Roh Mawar dalam balet ini.”
“Ah! Penari simbol seks itu.”
Sambil merungut dan sekali gus melepaskan geram di atas sikap Julie yang keterlaluan dalam memuja Nijinsky, saya mencapai topi dan bersedia untuk keluar. Saya tidak sanggup lagi mencari alasan untuk menolak pelawaan Pak Cik Jean. Menyedari hakikat itu, dia tersenyum seraya mengambil topinya dari penyangkut. Julie pula sejak awal-awal lagi sudah bersedia.
“Bukan sembarangan orang boleh menerima kad undangan istimewa seperti ini,” kata Julie sewaktu kami mengambil tempat duduk di grand stand. “Michel Fokine sendiri yang memberikan ayah undangan ini. Kita cukup beruntung. Malah ayah berjanji akan membawa kita ke belakang pentas sebentar lagi untuk bertemu Nijinsky. Betapa seronoknya!”
Saya membiarkan sahaja Julie membisikkan semua itu ke telinga saya sambil merangkul lengan kanan sedang saya membelek-belek buku atur cara yang diberikan di pintu masuk tadi. Menyampah juga saya apabila Julie memuja-muja penari simbol seks itu di hadapan saya. Lelaki mana yang tidak marah! Malah gadis yang biasanya bersopan-santun itu sudah mula berubah sikap sejak dia berpeluang menonton beberapa balet Nijinsky sebelum ini.
“Kau dengar tak apa kataku?”
“Ya, ya,” jawab saya walaupun saya tidak tahu apa yang telah dikatakan oleh teman wanita saya.
Persembahan bermula dan ini sekali gus mematikan percakapan Julie tentang keagungan Nijinsky. Penari wanita sampai di tengah pentas yang dihiasi menyerupai sebuah bilik tidur tahun 1830-an dan mempunyai tingkap gaya Perancis. Segala perhiasan dan set yang diuruskan oleh Leon Bakst (demikian menurut buku atur cara) menimbulkan suasana romantik. Tambahan pula apabila penari wanita yang ayu itu menari perlahan-lahan seperti sedang menari berpasangan dengan seseorang yang ghaib. Tangannya memegang sekuntum mawar.
“Siapa tu? Dia menari dengan Roh Mawarkah?” tanya saya secara berbisik kepada Julie.
“Itulah Karsavina. Betulkah kau tak kenal; atau kau berpura-pura?” jawabnya secara menyindir.
Karsavina sedang duduk seperti tertidur di kerusi. Saya mengambil peluang membaca libretto dalam buku atur cara agar dapat mengikuti persembahan balet tersebut dengan penuh pemahaman. Tapi keayuan Karsavina kembali menarik pandangan mata saya ke arah pentas.
“Ah, muzik waltz! Lagu ‘Invitation to the Dance’! Nijinsky akan datang sekarang!” Gadis di sisi saya hampir menjerit; sedangkan setahu saya, para penonton di Opera House tidak bersuara – kecuali berbisik jika terpaksa – sewaktu persembahan sedang berlangsung.
Pada saat itu, sesuatu bagaikan dilontar masuk melalui tingkap yang menjadi sebahagian daripada prop. Ia terbang masuk bagaikan sehelai daun yang ditiup bayu. Kemudian ia terus bergerak mengelilingi Si Gadis. Hanya sejurus selepas itu saya sedar bahawa “benda” itu sebenarnya seorang penari. Tubuhnya diliputi perca-perca kain berupa daun pohon mawar.
(Uthaya Sankar SB, “Le Spectre de la Rose” dalam Dewan Sastera, Oktober 1995 dan Rudra Avatara, 2008)
No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!