5 May 2010

Rudra Avatara

Balakhandan sudah berusia sepuluh tahun sekarang. Sudah bersekolah dan sudah lancar membaca. Sewaktu usianya lima tahun, kami – aku dan isteriku – suakannya dengan bahan-bahan bacaan yang mampu mengembangkan minda. Namun, minat utamanya pada buku-buku cerita. Aku belikan versi ringkas Ramayana yang dipenuhi ilustrasi.
.

“Hanuman,” katanya sambil menuding ilustrasi monyet – maaf, lotong – pada buku cerita. “Appa! Hanuman.”

.

Aku berusaha mengawal rayapan minda sebagaimana disarankan oleh Uthaya hampir tiga tahun lalu. Tetapi wajarkah aku menipu diri sendiri berhubung apa yang aku sudah yakini sepenuhnya?

.

Balakhandan begitu meminati watak Hanuman. Bukankah mendiang adikku juga meminati lotong putih bermata hijau itu? Balakhandan khusyuk mendengar apabila aku bacakan novel Hanuman: Potret Diri. Dimintanya aku bacakan pada setiap malam. Dan apabila dia sudah pandai membaca, dibacanya sendiri novel itu; entah sudah berapa puluh kali!

.

“Mungkin kebetulan sahaja.” Demikian kata isteriku. “Kanak-kanak suka akan binatang. Lagi pun, Hanuman sangat gorgeous. Tidak hairanlah anak kita sukakannya.”

.

“Bagaimana dengan Mickey Mouse atau Garfield atau Sang Kancil? Atau Dewa Ganesha yang berkepala gajah?”

.

Isteriku cepat mengalah. Katanya, aku terlalu banyak terkenangkan mendiang Khandan. Terlalu memikirkan kelahiran Balakhandan dengan tubuh berbulu putih. Katanya, ketidaksempurnaan lengan kiri anak kami adalah kerana lahir tidak cukup bulan; tidak ada apa-apa kaitan dengan mendiang Khandan.

.

“Hanuman tidak cacat, bukan?” katanya sekali itu. “Jadi, bagaimana Khandan boleh cacat?”

.

Walau apa sekalipun pandangan orang lain, aku tidak berupaya menghalang naluri dalaman yang terus berkata: Balakhandan … Khandan … Khan … Han … Hanuman!

.

Malah, terdapat banyak persamaan antara Hanuman, Khandan dan Balakhandan. Hanuman lahir untuk membantu Rama menyelamatkan Sita serta untuk memusnahkan Ravana. Khandan penuh percaya bahawa kelahirannya adalah untuk tujuan yang lebih kurang begitu. Hanuman dan Balakhandan pula sama-sama mengalami kelahiran yang agak luar biasa; seperti dalam cerita-cerita dongeng, hikayat dan purana.

.

Terlalu imaginatif; seperti komen Uthaya? Aku adalah seorang doktor bertauliah yang sepatutnya berfikir secara saintifik.

.

Lima tahun lalu, setelah retina matanya selamat dibedah dan kami memutuskan untuk memakaikan Khandan – maksudku, Balakhandan – dengan kanta lekap, dia tidak mahu yang jernih. Dia berkeras memilih kanta lekap berwarna hijau. Nah! Dia tidak tahu-menahu tentang Hanuman pada waktu itu.

..

Petikan cerpen “Rudra Avatara” dalam Rudra Avatara (2008)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul apabila mengemukakan komen. Hanya komen yang menggunakan bahasa yang betul dari segi ejaan, tanda baca dan struktur ayat akan dilayan. Pencemaran bahasa diharamkan!